[ KALAM PIMPINAN: NORMALISASI YANG MERUNCING UMAT KINI ]

بسم اللّه الرحمن الرحيم

الحمد للّه رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT di atas nikmat yang besar kepada kita iaitu nikmat iman dan nikmat Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sabda Nabi.


تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Maksudnya: Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kalian berpegang pada keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.

Riwayat Al-Imam Malik di dalam al-Muwatto’.

Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan 2 perkara kepada kita iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Maka wajib kepada kita selaku umatnya untuk beriman dan beramal pada kedua-dua perkara ini supaya hidup kita sentiasa diberkati dan diredai Allah.

Ulama-ulama kita juga telah mengajar dan berpesan kepada kita supaya tidak melakukan perkara atau perbuatan yang tidak memberi manfaat pada diri kita dan agama Islam.

Sebelum itu, normalisasi membawa maksud proses menjadikan sesuatu yang agak asing dan luar biasa kepada tidak asing lagi hingga diterima umum. Jika sesuatu itu memberikan kebaikan tidak mengapa jika tidak ia akan menimbulkan kesan yang sangat buruk terutamanya pada generasi akan datang.

Pada perkongsian kali ini, saya akan berkongsi beberapa budaya atau amalan yang tidak sihat yang sudah menjadi normalisasi dalam kalangan masyarakat kita kini.

• Budaya troll •

Bila mana zaman semakin maju dan teknologi semakin berkembang, maka semakin mudah untuk kita menyebarkan sesuatu perkara dengan hujung jari kita.

Secara ringkasnya, troll ini tujuannya untuk menyebarkan fitnah, mencetuskan permusuhan dan menjatuhkan maruah seseorang sama ada dalam bentuk ayat, video atau gambar.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;”

(Surah al-Hujurat: 11)

Rasulullah SAW juga mengingatkan kita di dalam sabdanya:

إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا، يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.” 

Riwayat Ahmad (7215)

Maka jelaslah budaya troll ini sangat dilarang dan boleh membawa kepada dosa. Selidiklah setiap sesuatu yang kita peroleh dan pastikan kesahihan serta kebenaran sesuatu maklumat itu.

• Budaya "Spill the Tea" •

Jika diterjemahkan kepada bahasa kita, mungkin maksudnya agak kurang jelas tetapi bahasa mudahnya adalah membuka aib seseorang dalam khalayak ramai terutamanya di media sosial masa kini.

Daripada Ibn Umar r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَتَبَّعَ عَوْرَةَ أَخِيهِ المُسْلِمِ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ، وَمَنْ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ فِي جَوْفِ رَحْلِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.

Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi (2032)

Hadis di atas sangat bertepatan dengan apa yang berlaku dalam media sosial kita kini. Lebih parah ianya menjadi ikutan dan diteruskan oleh orang lain.

Daripada Jarir bin Abdullah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ، وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya: Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal denganya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun, dan barangsiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah yang buruk, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan baginya dosa sesiapa yang beramal dengannya, tanpa berkurang dengan satu dosa suatu apa pun.

Hadis riwayat Muslim (1017)

Budaya "Spill The Tea" ini jelas mendatangkan dosa dan sangat merugikan bagi orang yang melakukannya. Ianya tidak mendatangkan sebarang faedah malah memberi mudarat kepada mangsa yang diperlakukan sedemikian rupa.

• Pengaruh Budaya Barat •

Sebahagian anak-anak muda kini sangat mudah dipengaruhi melalui media sosial. Setiap sesuatu maklumat itu boleh diakses dan dicapai dengan mudah dan sangat meluas.

Jika kita perhatikan, terdapat pelbagai ideologi-ideologi dari Barat yang mempengaruhi pemikiran anak muda masa kini. Kesemua ideologi ini sangat bercanggah dengan agama Islam dan ianya sangat luas disebarkan di media sosial.

Lama kelamaan ianya akan melahirkan budaya yang boleh membawa kepada keruntuhan akhlak dan moral seseorang jika tidak ditangani dengan segera. Antaranya ialah:-

- Pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan.
- Menyambut hari kekasih.
- Melakukan "challenge" yang tidak memberikan sebarang manfaat terutamanya melalui aplikasi Tiktok.
- Menayangkan maksiat yang dilakukan di media sosial.

Kesemua budaya tersebut bukanlah budaya yang diamalkan dalam agama Islam. Ikutilah apa yang telah digariskan oleh agama Islam kerana Rasulullah SAW telah berpesan kepada kita:

Daripada Ibn Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” 

Riwayat Abu Daud (4031)

Akhir kalam, agama Islam mengajar umatnya untuk sentiasa berakhlak mulia dan menjaga hubungan baik sesama manusia. Budaya-budaya yang dijelaskan diatas tidak sepatutnya diamalkan oleh kita selaku umat Islam malah mendatangkan dosa berdasarkan dalil-dalil yang dinyatakan.

Marilah sama sama kita berubah dan beramal dengan apa yang Islam ajarkan kepada kita. Kembalilah kepada Islam nescaya hidup kita sentiasa berada di dalam rahmat Allah. Semoga kita semua tergolong di dalam golongan orang yang bertakwa kepada Allah.

Sekian, terima kasih. 

Disediakan oleh:
MUHAMMAD FAIZ BIN MOHAMAD SHAHARIN
Ketua Unit Kemasyarakatan Sukan dan Rehlah
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2019/2020 

"Memperkasakan Kebajikan, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM MANTAN NAIB PENGERUSI HEWI BKAWM SESI 2015/2016 ]