[ KALAM PIMPINAN: SYUKUR PENYUBUR IMAN ]


[ KALAM PIMPINAN: SYUKUR PENYUBUR IMAN ]

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر كبيرا، والحمد لله كثيرا، وسبحان الله بكرة وأصيلا.

أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، له الملك وله الحمد وهو على كل شئ قدير، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، البدر الدُّجى والسِّراج المنير

اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد، نبي الرحمة وشفيع الأمة، وعلى آله وصحبه ومن تبعه ونصره ووالاه، أما بعد.

Alhamdulillah, syukur pada Allah yang masih menghidupkan kita, yang memberi peluang kepada kita untuk sampai ke penghujung Ramadan dan dipilih oleh Allah untuk berada di bulan Syawal (bulan kemenangan bagi umat Islam).

Berkat kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi bulan Ramadan selama 30 hari, membuatkan kita berasa lebih syukur kepada Allah kerana diberi peluang merasai nikmat ibadah yang luar biasa. Tidak seperti bulan-bulan yang lain.

Allah SWT mengganjarkan ganjaran yang berlipat kali ganda pada setiap amalan yang dilakukan. Terdapat juga amalan yang tidak dilakukan dalam bulan lain seperti solat sunat tarawih yang hanya dilakukan pada bulan Ramadan sahaja. Suatu amalan yang membuatkan kita rasa lebih dekat dengan Allah serta menambahkan iman agar terus taat dan patuh pada perintah Allah di samping menjauhkan kita dari terus melakukan maksiat yang berterusan.

Budaya membaca al-Quran juga terus menjadi amalan harian dan perlu diteruskan juga di bulan-bulan yang lain agar dapat menghubungkan hati kita dengan Sang Pencipta.

Secara tidak sedar, segala amalan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan telah mengisi masa lapang kita serta mendidik jiwa untuk merasai kemanisan dalam beribadah pada Allah SWT.

Mudah-mudahan dengan berlalunya bulan Ramadan, dapat mempertingkatkan iman kita dan terus istiqamah dalam beribadah. Iman merupakan hak mutlak yang harus dimiliki oleh setiap orang muslim. Tanpa adanya keimanan, segalanya hanyalah kosong dan tidak akan bererti. 

Iman akan bertambah dengan amal-amal soleh dan akan berkurang dengan maksiat. Setiap kali seseorang muslim menambah ketaatannya, maka bertambahlah keimanannya dan akan semakin besar (iman tersebut) di dalam hatinya. Sebaliknya, setiap kali seseorang itu kurang dalam ketaatan, atau terjatuh dalam lembah kemaksiatan, maka berkuranglah imannya. 

Antara tanda-tanda iman seseorang semakin bertambah adalah:
1) Takut pada Allah.

Ciri yang utama pada seorang yang beriman adalah ia takut pada Allah SWT. Ia tidak akan berani melanggar apapun larangan Allah dan akan selalu mentaati setiap perintah Allah SWT. 

Allah SWT berfirman:
إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah, maka gementarlah hati mereka” (Surah al-Anfal: Ayat 2). 

فَلَا تَخْشَوُا النَّاسَ وَاخْشَوْنِ وَلَا تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَنًا قَلِيلًا

Maksudnya: “Kerana itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku. Dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit” (Surah al-Maidah: Ayat 44).


2) Khusyuk di dalam solatnya.

Ciri kedua dari orang yang beriman adalah lebih khusyuk dalam solat baik solat wajib mahupun sunat. Orang yang telah memiliki keimanan yang kuat akan lebih khusyuk dalam solat meskipun banyak gangguan.

Allah SWT berfirman:
ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ

Maksudnya: “(iaitu) orang-orang yang mendirikan solat”. (Surah al-Anfal: Ayat 3).

الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: "(iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya". (Surah al-Mukminun: Ayat 2)


3) Selalu membaca dan mengamalkan ayat suci al-Quran.

Allah SWT berfirman:
وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَٰتُهُۥ زَادَتْهُمْ إِيمَٰنًا

Maksudnya: “dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka”. (Surah al-Anfal: Ayat 2)

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Orang mukmin yang membaca al-Quran dan mengamalkan isinya, ibarat buah jeruk manis, rasanya enak dan baunya harum. Sedangkan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran tetapi mengamalkan isinya, ibarat buah kurma, rasanya enak dan manis tetapi tidak ada baunya. Adapun perumpamaan orang munafik yang membaca al-Quran, maka ibarat minyak wangi, baunya harum tetapi rasanya pahit. Sedangkan orang munafik yang tidak membaca al-Quran, ibarat buah kamarogan, rasanya pahit dan baunya busuk.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)


4) Rajin bersedekah.

Orang yang beriman juga sangat rajin berinfak kerana dia tahu bahawa infak dan sedekah adalah bukti keimanan seseorang. Allah SWT berfirman:
وَمِمَّا رَزَقْنَٰهُمْ يُنفِقُونَ

Maksudnya: “dan yang menginfakkan rezeki yang Kami berikan kepada mereka”. (Surah al-Anfal: Ayat 3).

Rasulullah SAW pun pernah menjelaskan tentang bukti keimanan seseorang dapat dilihat dari solat dan sedekah seseorang. 
وَالصَّلَاةُ نُورٌ وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ

Maksudnya: "Solat adalah cahaya dan sedekah adalah bukti". 
(Riwayat Muslim)


Kesimpulannya, dengan perbanyakkan rasa syukur kita pada Allah, akan membuatkan kita rasa mahu lebih banyak melakukan ibadah tanpa rasa jemu dan sentiasa ingin berbuat kebaikan dan kebajikan. Itulah tanda-tanda orang yang beriman kepada Allah SWT. 

Tidak lupa juga, dalam kita menyambut Syawal yang penuh berbahagia ini, marilah sama-sama kita saling bermaafan serta mendoakan kesejahteraan sesama manusia terutama saudara-mara kita yang berada di Palestin. 

اللهم أعز الإسلام والمسلمين، وأذل الشرك والمشركين، والنفاق والمنافقين، والظلم والظالمين
اللهم انصر إخواننا المجاهدين والمستضعفين في فلسطين وفي غزة وفي كل مكان. اللهم قو عزائمهم، واجمع كلمتهم، وثبت أقدامهم، وانصر على أعدائهم. 

Jom berpuasa 6 hari di bulan Syawal! 
Rasulullah SAW bersabda:
من صام رمضان، ثم اتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر

Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian diikuti 6 hari di bulan Syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh". 


Disediakan oleh:
AIMAN HAZIQ BIN HAJI KAMARUDDIN
Timbalan Yang Dipertua, 
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2021

"Memperkukuh Keilmuan, Memperkasakan Kebajikan" 
"BKAWM Keluarga Kita" 
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah