Kalam Pimpinan - Tabung Kebajikan tanggungjawab bersama


Assalamualaikum wbt.
Lumrah kehidupan di dunia ini ada yang berkemampuan dan ada yang sebaliknya. Justeru itu agama Islam amat menggalakkan umatnya untuk membantu sahabat-sahabat seakidah yang lain dalam soal kebajikan dan skop sosial lain.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) 13 yang lepas, ahli mesyuarat telah sepakat untuk memperkembangkan dan mempergiatkan lagi usaha Tabung Kebajikan kesinabungan daripada penubuhan Tabung Kebajikan pada MAT 12 yang lepas.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“ Kamu tidak akan memperolehi kebajikan (kebajikan) sebelum kamu menginfakkan sebahagian harta yang kamu cintai “

Tabung Kebajikan ini merupakan satu daripada lima usul MAT 13 yang wajib dipikul dan dilaksanakan oleh setiap ahli tanpa ada yang terkecuali. Tanggungjawab ini bukan terpundak pada bahu pimpinan sahaja, bahkan ahli BKAWM wajib turut sama menjayakan usul ini demi memastikan kebajikan ahli-ahli Wilayah di Mesir terpelihara dan terjaga.

Di samping menyumbang dan membayar Tabung Kebajikan, ia juga dapat merapatkan ukhuwah sesama ahli Wilayah sama ada di Kaherah mahupun di cawangan serta sesama pimpinan dan ahli. Bertepatan dengan tema BKAWM sesi ini “Kesatuan Ukhuwah Pemangkin Kecemerlangan”.

Hubungan antara pimpinan dan ahli dalam sesebuah organisasi amat dititikberatkan untuk menjana kesatuan dan keutuhan untuk jangka masa yang panjang. Justeru itu, BKAWM telah mengadakan Jaulah AJKT HEWI (JOMLA) di tiga muhafazah Tanta, Zagazig dan Mansurah.

Sesi ini BKAWM telah membuat perubahan baru dengan menziarahi rumah ahli di setiap cawangan yang dilawati sebelum dan selepas ramah mesra AJKT dan ahli. Ahli di setiap cawangan menyambut baik kunjungan pimpinan BKAWM. Semoga ukhuwah yang terbina antara pimpinan dan ahli akan terus utuh hingga di akhirat kelak.

Akhir kalam, saya selaku Ketua Lajnah Kebajikan yang bertanggungjawab merancang dan membawa usul Tabung Kebajikan ini menyeru seluruh anak Wilayah Persekutuan amnya dan ahli BKAWM khususnya agar sama-sama menyahut dan menjayakan usul Tabung Kebajikan ini demi memastikan sahabat-sahabat kita yang lain mampu memiliki dan menikmati nikmat ALLAH SWT seperti mana mana kita perolehi.

Marilah kita berfikir sejenak sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :-
“Barang siapa yang tidak mengambil berat urusan orang islam, maka ia bukan dikalangan mereka”.
Salam Kebajikan

“Kesatuan Ukhuwah Pemangkin Kecemerlangan”
“Kebajikan Terjaga Ukhuwah Terpelihara”

Muhammad Syazwan bin Hamzah
Ketua Lajnah Kebajikan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM)
Sesi 2011/2012

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]