Wilayah Family Day 2012 (WiFi '12).

Wilayah Family Day (WiFi ’12) membuka tirai dengan acara sukan indoor dan outdoor. Bermula di awal pagi acara sukan outdoor bagi siswi di hadiqah Athfal. Pelbagai acara dijalankan seperti bola batik, tuju selipar, wilayah runner dan lain –lain. Manakala di sebelah siswa, acara sukan indoor dijalankan di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP). Antara acara yang disediakan adalah gusti lengan, dart, ping pong, counter strike dan PES 2012. Penyertaan dalam kalangan siswa dan siswi mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Di sebelah petang acara bertukar, siswa bermain acara outdoor di Mukhaiyyam Daim manakala siswi pula acara indoor di ARWP. Alhamdulillah ahli BKAWM dapat bergembira seharian suntuk di samping bertambah kenalan baru sesama ahli.

Tentatif diteruskan lagi dengan majlis perasmian WiFi ’12 di sebelah malam bermula tepat jam 8 malam. Bermula dengan ucapan Pengarah WiFi ’12, Saudara Ali Hafiz disusuli oleh YDP BKAWM, Saudara Mohd Mawardi. Seterusnya ucapan perasmian oleh Pengurus ARWP, Encik Ahmad Yahya bin Mohd Hanif. Beliau rasa berbesar hati atas penganjuran program WiFi ’12 dan turut berpesan agar anak-anak Wilayah Persekutuan tidak melupakan mereka yang diluar sana yang terpaksa berlapar untuk membeli buku kuliyah dan juga saudara seislam kita di Syria yang ditindas tanpa henti. Selesai ucapan perasmian, gimik perasmian yang unik oleh eksekutif pelaksana mendapat pujian dan berjaya melahirkan seribu senyuman kepada seluruh ahli BKAWM yang pada malam itu.

Maka bermulalah program yang dinanti-nantikan, bukan sahaja oleh pelajar dari Wilayah Persekutuan bahkan juga pelajar dari seluruh Mesir, iaitu Bazaria Festival Selera Asia. Penyertaan bazar kali ini bukan sahaja terdiri daripada pelajar Malaysia, juga daripada pelajar serantau seperti Indonesia dan Singapura. Istimewanya lagi bazar kali ini, eksekutif bazar turut menyediakan ruang makan khas buat keselesaan pengunjung seperti pegawai-pegawai negeri dan kedutaan juga buat pelajar yang sudah berkeluarga. Bazar yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 Mac sehingga 6 Mac telah mendapat galakan dan keuntungan yang sangat menggalakkan daripada setiap pengunjung.

Pameran yang diadakan seiring dengan pelaksanaan bazaar tidak kurang mendapat sambutan yang hebat. Antara agensi yang terlibat dalam pameran kali ini adalah SWAD, Badan Kemanusiaan PMRAM, Perubatan dan BKAWM sendiri. Pasukan Team Medical Perubatan telah mengadakan medical check-up pada 5 Mac dari jam dua petang sehingga enam petang. Pemeriksaan yang dijalankan adalah seperti BMI, blood glucose level dan blood pressure. Agensi HPA juga turut mengadakan pemeriksaan mengikut etika-etika yang tertentu.

Slot Isu Semasa yang dikelolakan oleh dua orang panel iaitu Ustaz Nasir Ulwan dan Ustaz Abdul Malik telah dijalankan pada 4 Mac jam lapan malam sehingga 10.30 malam. Isu yang disampaikan adalah berkenaan dengan isu umat islam yang hebat diperkatakan sekarang iaitu Revolusi Syria. Para panel telah membentangkan lipatan sejarah Syria dan menegaskan bahawa pergolakan di Syria bukanlah berpunca daripada perang saudara tetapi adalah peperangan sesame aqidah. Para panel juga telah memberi pendedahan dan pencerahan akan ciri-ciri dan aqidah penganut Syiah yang terpesong daripada landasan aqidah islam yang sebenar.

Pada 5 Mac bermula jam lapan malam telah diadakan slot yang diberi nama Fiqh dan Seorang Doktor. Slot ini telah dibentangkan oleh Ustaz Nazrul bin Nasir. Program yang menampilkan dua moderator dan seorang pengerusi majlis telah mendapat sambutan yang cukup memberansangkan. Penceramah telah menerangkan tentang masalah-masalah fiqh yang mungkin dihadapi oleh seorang doctor dan cara penyelesaiannya. Banyak hukum hakam daripada ulama-ulama sebelum ini berjaya disampaikan oleh penceramah kepada para hadirin. Semua hadirin berpuas hati akan jawapan dan penyampaian yang disampaikan oleh penceramah. Slot ini berakhir pada jam sebelas malam.

Slot Mahasiswa dan Perkahwinan yang telah dijalankan pada 6 Mac jam lapan sehingga 10.30 malam menampilkan sepasang suami isteri yang dibawa khas daripada Tanta. Pasangan tersebut adalah Ustaz Zahid dan Doktor Nurul Izzah. Para panel telah menceritakan sedikit sebanyak pengalaman mereka setelah berkahwin selama lima bulan. Mereka juga menjelaskan bahawa perkahwinan semasa belajar bukanlah sesuatu yang membebankan malah dapat melatih diri untuk menjalankan tanggungjawab supaya kurang bermasalah apabila masing-masing sudah bekerja kelak. Pembinaan jati diri sebelum berkahwin juga adalah ciri terpenting yang telah digariskan oleh para panel. Slot yang mengambil masa dua jam ini telah mendapat sambutan yang cukup hebat dan menggalakkan.

7 Mac yang merupakan hari terakhir program WiFi ’12 telah dimulakan dengan slot bedah buku oleh dua orang panel yang hebat. Panel pertama ialah mantan Presiden PMRAM sendiri, Ustaz Zuhaili dan beliau telah membentangkan buku beliau yang terbaru iaitu Pemuda Islam yang Berjuang. Beralih kepada panel yang kedua iaitu Ustaz Mujahid. Buku Penawar Bagi Hati telah dipilih oleh beliau untuk dibentangkan. Beliau menekankan aspek pancaindera seperti mata, tangan, dan mulut adalah anggota yang perlu dijaga supaya hati sentiasa terhindar daripada perkara-perkara yang tidak baik. Slot yang bermula pada jam 1.30 petang telah berakhir pada jam 3.45 petang. Sambutan daripada para hadirin adalah kurang memandangkan ramai daripada kalangan ahli yang hadir ke kuliah.

Seawal jam 7.45 malam, ahli-ahli wilayah telah datang untuk menghadiri program penutupan WiFi ’12. Majlis ini telah diadakan di dewan Sri Putra ARWP. Tetamu yang diraikan pada majlis ini ialah CEO Al-Attal dan BP Angkat BKAWM. Ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis telah dimulakan pada jam 8.30 malam. Setelah itu, ucapan bersemangat daripada Timbalan Pengarah Eksekutif 1 WiFi ’12, Saudara Mohd Hafez bin Salim telah diperdengarkan. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada semua ahli wilayah yang memberikan kerjasama secara langsung atau tidak langsung. Majlis diteruskan lagi dengan ucapan YDP BKAWM, Ustaz Mohd Mawardi bin Mohd Zain dan disusuli dengan ucapan penutupan oleh Ustaz Baihaki, BP Angkat BKAWM. Beliau melahirkan rasa teruja dan mengharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan dating. Beliau juga memuji BKAWM yang sentiasa bersemangat dalam setiap program yang diadakan.

Setelah tamat ucapan penutupan, tayangan video penutup dan majlis kebudayaan islam bermula. Pasukan nasyid yang dijemput khas daripada Bait Hasanah dan Al-Wadi PMRAM telah mengadakan persembahan. Tidak ketinggalan juga pasukan nasyid Paradise daripada BKAWM sendiri. Persembahan nasyid ini telah mendapat pujian daripada para hadirin yang hadir. Sebelum WiFi ’12 menutup tirai, penyampaian hadiah kepada setiap pemenang telah diadakan. Setiap pasukan mendapat hampers dan cenderahati daripada pihak penganjur. WiFi ’12 telah melabuhkan tirai secara rasminya pada jam 11 malam dengan sedikit hidangan jamuan. Semua eksekutif pelaksana WiFi ’12 mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dan berharap program seperti ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan cemerlang.

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]