Siswi Exploration : Alexandria 2015 (SEA '15)


Menjejaki Kota Sejarah, Mengambil Ibrah 

KAHERAH, 3 Februari 2015 – Berjalan mengenal alam, menghirup udara segar sambil disapa lembut bayu laut merupakan kenangan indah sepanjang mengikuti program Siswi Exploration: Alexandria (SEA ’15) 31 Januari yang lalu.
 Program anjuran Unit Perumahan dan Rehlah, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir ini merupakan aktiviti musim sejuk khusus buat mahasiswi bersempena tamatnya peperiksaan fasa satu, 22 Januari lalu. Program ini juga bertujuan untuk menambahkan ilmu pengetahuan dan meluaskan pengalaman peserta terutamanya tentang sejarah para ulama yang hebat yang semadikan di bumi Iskandariah. Selain itu, tautan ukhuwah juga semakin erat melalui permusafiran ini.


Seramai 40 orang peserta siswi, 2 orang musyrif dan satu pasangan mutazawwijin menyertai program ini. Peserta turut terdiri daripada lima orang wakil dari PMRAM cawangan Taakhi Zon A, iaitu PMRAM Cawangan Kedah dan 4 orang pelajar dari Jordan.

Perjalanan bermula jam 12.30 malam dari Asrama Rumah Wilayah Persekutuan, Kaherah dan tiba di destinasi Masjid Imam al-Busiri sekitar jam 4.30 pagi. Seusai solat subuh berjemaah, bacaan burdah telah dialunkan dan diikuti dengan tazkirah bertajuk ‘Permusafiran Wanita’, yang disampaikan oleh Saudari Nur Hidayahtul Aiman binti Johan, Timbalan Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan BKAWM sesi ini. Seterusnya, peserta bersarapan dan dibawa melawat dan bertawasul di makam Imam al-Busiri, Imam Abu Abbas al-Mursi dan Makam 12 Wali. Menariknya, lawatan kali ini telah mengetengahkan pemandu pelancong dari kalangan mahasiswi, iaitu Saudari Nur Farhana binti Mokhtar, yang juga merupakan ahli BKAWM.

Seterusnya, lawatan diteruskan lagi ke Kubu Qaitbey. Ianya merupakan binaan kubu pertahanan yang hebat semasa zaman kegemilangan Islam di Mesir. Di dalam kubu ini, pelbagai peninggalan dapat disaksikan termasuk artifak meriam yang digunakan pada zaman tersebut. Peserta juga tidak melepaskan peluang menaiki sampan di sekitar kawasan kubu.

Perjalanan diteruskan ke Masjid Imam Danial untuk makan tengah hari dan solat Zohor. Peserta turut dibawa melawat ke makam Imam Danial, Makam Luqman al-Hakim juga makam salah seorang sahabat Nabi SAW, Abi Darda’. Seterusnya, peserta turut mengambil peluang melawat dan bergambar di Perpustakaan Bibliotheca yang mempunyai pelbagai sejarah menarik.

Lawatan ke Iskandariah tidak akan lengkap jika tidak singgah di Muntaza yang turut terdirinya  Istana Raja Farouq, Raja terakhir di Mesir. Dari Muntaza, peserta dibawa ke Ma’moura untuk menghayati keindahan laut pada waktu senja sambil berbasikal.

Pada jam 6.45 malam, bas bertolak ke Carrefour, memberi peluang kepada peserta solat Isyak dan membeli makan malam. Jam 9.00 malam, bermulalah perjalanan pulang ke Kaherah membawa para peserta yang kepenatan setelah seharian menjelajah bumi Iskandariah ini.

Program Siswi Exploration: Alexandria (SEA ’15) bukan sahaja bertujuan untuk bercuti semata-mata tetapi juga menekankan pengetahuan tentang sejarah serta ikatan ukhuwah sepanjang aktiviti dijalankan. Diharapkan dengan penganjuran program ini, objektif yang dirangka tercapai serta meningkatkan kebersamaan sesama ahli, selari dengan tema pembawaan BKAWM pada tahun ini, iaitu ‘Pemantapan Fikrah Tunjang Kebersamaan’.



" Menjejaki Kota Sejarah, Mengambil Ibrah"
"Pemantapan Fikrah Tunjang Kebersamaan"
Satu Fikrah Satu Amal

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]