MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-17 DAN MALAM APRESIASI 2015 (MAT 17)



KAHERAH, 5 November 2015- Bertepatan tarikh 14 Oktober 2015 yang lalu, bersamaan hari Rabu, 1 Muharram 1437H, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir telah berjaya mengadakan sebuah program tahunan iaitu Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-17 dan Malam Apresiasi (MAT 17) bagi sesi 2014/2015 yang bertempat di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP).





       Seawal jam 7.30 pagi, ahli mesyuarat dan para hadirin telah mula menghadirkan diri bagi sesi pendaftaran dan memenuhi dewan persidangan. Majlis perasmian dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim. Seterusnya, ucapan pendahuluan oleh Pengarah MAT 17, saudara Abdul Basit bin Abdullah. Disusuli pula dengan ucapan Yang Dipertua BKAWM, saudara Muhammad Yasin bin Awang. Kemudian, ucapan keramat daripada Atase Pendidikan Wilayah Persekutuan, Encik Ahmad Yahya bin Muhd Haniff sekaligus merasmikan dan menyempurnakan gimik perasmian.



      Seramai empat orang Setiausaha Sidang telah dilantik dalam mesyuarat tersebut. Dua daripada kalangan siswa iaitu saudara Illyas bin Sabirin dan saudara Muhammad Kamil bin Amri. Dua berbaki lagi daripada kalangan siswi iaitu saudari Nurul Husna bt Ab Rahim dan saudari Nor Shafiqah bt Sazali. Manakala Pengerusi Sidang dikelolai oleh saudara Muhammad Yasin bin Awang. Perjalanan mesyuarat diteruskan lagi dengan sesi Pengesahan Minit Mesyuarat Agung Tahunan BKAWM Kali Ke-16 dan juga perkara-perkara berbangkit yang berkaitan. Seterusnya dibentangkan pula kepada para hadirin berkenaan laporan gerak kerja dan aktiviti BKAWM sepanjang sesi 2014/2015 bagi setiap jabatan, lajnah dan unit. Kemudian Pengerusi Sidang memberi laluan kepada ahli mesyuarat dan juga hadirin untuk menunaikan solat fardu Zohor dan makan tengahari.



      Selepas itu, mesyuarat disambung semula bagi sesi pembentangan laporan kewangan dan juga pembentangan dan perbahasan usul. Kemudian, para hadirin dan ahli mesyuarat diberi masa untuk berehat bagi menunaikan solat fardu Asar. Mesyuarat diteruskan lagi dengan sesi pelantikan juruaudit bagi sesi 2015/2016 dan diakhiri dengan kalam terakhir daripada YDP. Usai pembubaran kepimpinan BKAWM sesi 2015/2016, Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya saudara Hafiz Naim bin Raduan mengumumkan barisan calon Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) dan Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) yang menang tanpa bertanding dan calon AJKT dan HEWI kekal bagi sesi 2015/2016. Penghormatan telah diberikan kepada Yang Di-Pertua BKAWM sesi 2015/2016 untuk memberikan sedikit ucapan alu-aluan pada malam tersebut.



      Pada sebelah malamnya pula telah diadakan Majlis Anugerah Cemerlang di bawah Unit Pendidikan dan Pengetahuan. Turut disampaikan juga anugerah daripada unit BKAWM, iaitu Anugerah Musyrif terbaik dan Anugerah Pelanggan Setia. Program diakhiri dengan tayangan video program tahunan BKAWM sepanjang sesi 2014/2015 dan persembahan nasyid oleh mantan AJKT dan kumpulan nasyid BKAWM, Paradise.



     Akhirnya, seperti yang dipersetujui dalam MAT Kali Ke-17, pembawaan dan usul BKAWM bagi sesi 2015/2016 adalah seperti berikut:

1) Memperkasakan biah solehah di seluruh peringkat dengan menjayakan enam objektif seperti yang telah ditetapkan iaitu :

1. Memperkasakan Solat Jemaah
2. Memanfaatkan Media Elektronik
3. Mengukuhkan Tautan Ukhuwah
4. Pembentukan Fikrah dan Sahsiah.
5. Mendalami dan Mengetahui Sejarah Umat Islam.
6. Membudayakan Etika Pergaulan Syari'e

2) Meminda matan perlembagaan BKAWM bahagian keempat struktur pentadbiran Fasal 15 yang berkaitan dengan Lembaga Penasihat pada item pertama kepada :-

"BKAWM mempunyai penasihatnya yang terdiri daripada empat orang atau lebih daripadanya yang dilantik oleh AJK Tadbir dan tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut: 

1. Seorang wakil Badan Pengurus PMRAM
2. Bilangan mengikut keperluan dari kalangan anggota yang berkelayakan dan difikirkan perlu."





“Memperkasa Kefahaman, Meneguh Kebersamaan”
“BKAWM Keluarga Kita”
“Bersama Bersatu”

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]