[ KALAM PIMPINAN: FITNAH ALAM MAYA ]


Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah SWT yang telah menjadikan nasihat sebagai wasilah ukhuwah Islamiah antara orang mukmin. Selawat dan salam dipanjatkan kepada junjungan besar dan sebaik-baik pemberi nasihat untuk sekalian alam iaitu Saidina Muhammad SAW utusan yang terakhir, dan ke atas keluarganya serta sahabat-sahabatnya yang diredai Allah SWT.

   Dasawarsa ini, kita dapat menyaksikan perkembangan teknologi yang semakin pesat di serata dunia. Pelbagai kemudahan telah dicipta bertujuan memudahkan urusan kehidupan manusia. Tidak ketinggalan juga perkembangan yang maju telah ditunjukkan dari sudut perkembangan teknologi maklumat dan media massa, tetapi malangnya kemudahan dan kelebihan ini telah disalahgunakan oleh sebahagian kelompok manusia.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,

    Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana melantik Rasul akhir zaman. Ketika dunia dikurniakan secebis ilmu sehingga mencapai kemajuan teknologi maklumat yang disaksikan kini serta dapat menembusi sempadan negara, berlakunya sebaran berita tanpa mengira benar dan bohongnya yang hanya dengan hujung jari sahaja tersebar ke seantero dunia. Fenomena negatif yang berlaku, adalah rentetan daripada aplikasi atau perisian alam maya yang semakin hari menunjukkan tindak balas yang tidak baik. Begitu banyak aplikasi atau perisian yang kita dapati pada masa kini seperti Facebook, WhatsApp, Twitter, Instagram dan sebagainya dijadikan medan perbalahan jua medan tohmahan. Penularan maklumat palsu dan tidak benar menghasilkan kenyataan-kenyataan yang berbaur emosi, salah faham dan tohmahan yang tidak didasari dengan asas yang kukuh.

   Renungan bagi mereka yang menyebarkan berita palsu dan tohmahan, amaran Allah lebih keras dan janjinya adalah benar. Bukankah Allah SWT telah berfirman:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

"Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)." (Surah an-Nur: ayat 19)

Allah SWT juga telah berfirman:

إِنَّ ٱلَّذِينَ فَتَنُواْ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ ثُمَّ لَمۡ يَتُوبُواْ فَلَهُمۡ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمۡ عَذَابُ ٱلۡحَرِيقِ

"Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat)." (Surah al-Buruj: ayat 10)

Sahabat yang dikasihi sekalian,

   Berimanlah dengan kalam Allah, kerana pengadaptasiannya amat dituntut dalam kehidupan seharian. Kehidupan yang dipandu bersandarkan syariat Islam menatijahkan kehidupan yang harmoni. Tinggalkanlah segala perkara yang tidak membawa keuntungan dalam kehidupan kita, sebaliknya gantikanlah dengan perkara yang memberi manfaat kepada diri kita jua Islam. Saranan ini telah lama disuarakan Baginda SAW dalam hadisnya yang tercatat dalam hadis "Arbain Nawawi" pada hadis yang ke 12:

Daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi SAW, baginda bersabda:

مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيهِ

“Di antara kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan hal yang tidak bermanfaat baginya.”

Maksud “إِسْلاَمِ” adalah apabila seseorang itu telah melaksanakan hukum Islam iaitu dengan melalui kehidupan seharian dengan cara hidup Islam. Manakala, perkataan “تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيهِ” membawa makna meninggalkan hal yang tidak bermanfaat di dunia dan di akhirat. Justeru, dalam konteks kita selaku mahasiswa dan juga pendakwah, kita perlulah manfaatkan medium yang telah tersedia ada dengan sebaiknya.

   Menjadi satu kerugian apabila umat Islam tidak memanfaatkan media massa ini dengan sebaiknya kerana golongan kufar telah memanfaatkan medium ini dalam penyebaran fahaman-fahaman yang berunsurkan ideologi barat yang menyeleweng. Kita sedia maklum bahawa ideologi yang diasaskan barat tidak menepati kefahaman Islam, sebaliknya menatijahkan kemahuan materialistik dan kepentingan diri. Ini telah disebutkan dalam satu kaedah:

الغاية لا تبرر الوسيلة

"Matlamat tidak menghalalkan cara."

Oleh yang demikian, serangan pemikiran yang berlaku pada masa kini membawa kepada kemunduran umat Islam. Maka, menjadi satu tanggungjawab kepada kita untuk memerangi serangan pemikiran ini. Umat Islam harus membuat satu anjakan paradigma dalam menguasai media massa demi kepentingan Islam.

Sidang pembaca sekalian,

    Sebelum saya mengakhiri penulisan ini, sukalah saya mengajak sidang pembaca sekalian untuk bersama-sama kita kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah. Al-Quran, kitab mukjizat adalah petunjuk sepanjang zaman yang memandu setiap orang beriman, berakhlak, bertaqwa dan menyedari betapa kewajipannya di hadapan Allah dalam semua perkara dengan menggunakan nikmat pancaindera kurniaan Allah dengan betul dan tepat kerana semuanya akan dihisab pada Hari Kiamat nanti.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡـُٔولٗا

"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya." (Surah al-Isra': ayat 36)

Maka, marilah kita bersama-sama melakukan yang terbaik dalam kehidupan kita. Percayalah bahawa semua amalan manusia yang mukallaf ada perhitungan baik dan jahat, benar dan salah. Allah bukan sahaja menetapkan dosa pada kejahatan termasuk di alam maya, bahkan Allah juga memberi pahala kepada yang berjihad menyebarkan kebenaran dan melawan fitnah di alam maya. Bersama bersatu menjayakan kempen "Memanfaatkan Media Elektronik" yang dianjurkan oleh Unit Biah Solehah di peringkat Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) masing-masing.

"Solusi Bersama Islam"

Disediakan oleh:
AHMAD AMIRUDDIN BIN AHMAD SHUKRI
Ketua Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan BKAWM sesi 2018/2019

"Menjunjung Keilmuan, Menjulang Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021 ]

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) AMALI ]