[ KALAM PIMPINAN: MUKMIN PROFESIONAL ]




Bismillahirrahmanirrahim.

Istilah ‘Mukmin Profesional’ seringkali diungkapkan dalam kalangan masyarakat bagi merujuk kepada seorang Amilin Islam yang taat mengamalkan ajaran agama dan pada masa yang sama mampu menunaikan dengan cemerlang tugas atau profesion yang ditaklifkan kepadanya.

Namun apakah sebenarnya ciri-ciri kepada mukmin profesional itu?

Allah SWT berfirman :

(قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ)
[Surat Al-Qasas 26]

 “Sesungguhnya orang yang paling baik untuk engkau berikan kerja ialah orang yang kuat (al-Qawi) lagi amanah (al-Amin).”

Ayat ini menjelaskan bahawa seorang mukmin profesional perlu memiliki dua ciri utama iaitu :

1. القوي : Kuat/Berkemampuan
2. الأمين : Amanah

"Al-Qawi" itu bermaksud mempunyai kekuatan jasmani dan rohani hingga boleh menyelesaikan tugas dengan sempurna pada keadaan dan waktu ditetapkan.

"Al-Amin" pula merujuk kepada sifat jujur semasa melaksanakan tugasan yang diberikan.

Kedua-dua ciri ini jelas terpancar pada diri junjungan besar Nabi Muhammad SAW apabila baginda menjalankan perniagaan sebelum diangkat menjadi rasul.

Dua ciri ini juga tergambar dalam kisah Khalifah Umar Abdul Aziz. Kisah yang masyhur ini melambangkan keperibadian mulia Umar Abdul Aziz yang berintegriti tinggi dalam melaksanakan tugasannya.

Dalam kisah tersebut, sewaktu Khalifah Umar melaksanakan kerja, datang anaknya untuk bertanya sesuatu. Lalu khalifah bertanya: “Untuk urusan apa wahai anakku, kamu datang ke sini di atas urusan negara atau keluarga?”

Apabila anaknya memberitahu menjawab urusan keluarga maka dengan pantas Umar mematikan lampu penerang di atas mejanya. Apabila ditanya oleh anaknya mengapa berbuat demikian, Khalifah Umar memberitahu: “Anakku, lampu yang sedang ayah pakai bekerja ini milik negara, minyak yang digunakan juga dibeli dengan wang negara, sementara perkara yang akan kita bicarakan adalah urusan keluarga, ayah tidak mahu untuk urusan keluarga kita menggunakan kemudahan negara.”

Justeru, adalah tidak Islamik bagi seorang mu'min hanya kuat beribadah tetapi tidak mampu menyempurnakan tugas yang diamanahkan dengan baik.

Bagi meraih gelaran mukmin profesional seseorang itu hendaklah selalu mengingati maut, dan tidak sekali-kali melakukan perbuatan mengundang kemurkaan Allah.

Sebagai penutup, marilah sama-sama kita renungi kalam mutiara yang ditinggalkan oleh Saidina Ali RA:

"الحق بلا نظام يغلبه الباطل بنظام"

“Sesuatu yang baik tetapi tidak dirancang dengan baik maka akan menemui kegagalan. Sebaliknya sesuatu yang batil tetapi dirancang dengan baik (teliti) maka akan berjaya (berhasil).”

Siiru 'Ala Barakatillah.

Disediakan oleh:
WAN MUHAMMAD ASIF HIDAYAT BIN SHARUDIN
Ketua Lajnah Kebajikan dan Perumahan,
BKAWM sesi 2018/2019

"Menjunjung Keilmuan, Menjulang Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) AMALI ]