[ KALAM PIMPINAN: ISTI'JAL (GOPOH DALAM PERJUANGAN) ]


[ KALAM PIMPINAN: ISTI'JAL (GOPOH DALAM PERJUANGAN) ] 

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam dengan izin-Nya dapat kita merasa nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda. Semoga kita terus thabat dalam menyampaikan risalah Rasulullah SAW. 

Firman Allah SWT: 

خُلِقَ الْاِ نْسَا نُ مِنْ عَجَلٍ ۗ سَاُ ورِيْكُمْ اٰيٰتِيْ فَلَا تَسْتَعْجِلُوْنِ 

"Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halnya; Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaan-Ku; maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya)."

(Surah al-Anbiya: Ayat 37) 

Dalam ayat ini, Allah hendak memberitahu dalam hendak mencipta diri kita ini, salah satu dari bahan ramuan untuk mencipta kita adalah sifat tergesa-gesa. Ini adalah salah satu daripada sifat manusia iaitu mahukan sesuatu itu dengan segera. Tidak sabar untuk menunggu. 

▫️Pengertian Isti'jal: 

Dari segi bahasa: التعجل، الإستعجال، الإعجال membawa maksud yang sama iaitu mendesak, minta disegerakan dan terburu-buru. 

Dari segi istilah pula: bagi pendakwah, isti'jal dalam perjuangan ini bermaksud keinginan untuk merubah realiti penghidupan masa kini dalam sekelip mata tanpa menilai tentang kesan buruk yang akan berlaku. 

Namun hakikatnya Islam memandang isti'jal ini secara adil dan seimbang, ia tidak memuji kesemua dan tidak pula membenci kesemuanya.

▫️Pembahagian Isti'jal: 

1) Isti'jal yang dipuji 

Seperti kisah Nabi Musa a.s. yang mahu berjumpa dan bercakap dengan Allah dengan segera. Begitu juga Nabi Muhammad SAW mahu al-Quran diturunkan dengan segera. Kedua contoh kisah itu adalah perkara yang baik dan dipuji dalam agama tapi Allah tegur juga kepada Rasul itu kerana mereka tergesa-gesa dan itu tidak patut sebenarnya. 

2) Isti'jal yang dicela 

Seperti kisah Khabab bin al-Arat r.a. semasa ia datang mengadu kepada Rasulullah tentang penganiayaan dan penindasan dia bersama saudaranya, lalu Khabab meminta kepada Rasulullah agar baginda memohon pertolongan daripada Allah SWT. Sedangkan zaman sebelumnya itu telah dianiayai dengan lebih teruk dan parah namun tidak pernah merungut malah tetap teguh dengan agamanya. 

Jadi jelaslah di sini bahawa manusia itu mahukan apa-apa sahaja dengan segera, tidak kira sama ada ia perkara dalam kebaikan atau keburukan. 

Dan kerana itulah dunia ini lebih laku dan dipandang lebih penting kepada ramai manusia kalau dibandingkan dengan akhirat,  kerana ia adalah sesuatu yang segera yang boleh terus dapat kalau dibandingkan dengan akhirat. Kerana dunia sudah ada depan mata dan boleh dapat terus kalau mahu. Kalau akhirat nampak jauh sahaja. 

▫️Kesan-kesan Isti'jal 

1. Membawa kepada futur.
2. Gerak kerja terbengkalai dan akan terkandas. 

▫️Sebab-sebab berlakunya Isti'jal 

1. Runtunan nafsu.
2. Terlebih bersemangat atau iman yang membara.
3. Suasana semasa.
4. Tidak memahami strategi musuh.
5. Berjaya pada tahap-tahap persediaan atau sebahagian strategi tanpa mengambil kira akibatnya.
6. Lupa tentang matlamat yang ingin dicapai oleh seseorang muslim. 

▫️Cara mengatasi Isti'jal 

1. Merenung dan mengamati kesan yang diperoleh dari perlakuan isti'jal.
2. Hadam dan memahami pendekatan serta perancangan musuh.
3. Sentiasa bermujahadah diri dan melatihnya supaya sentiasa bertenang dan berwaspada.
4. Memberi perhatian kepada matlamat yang dituju dalam kehidupan seorang muslim. 

▫️Kesimpulannya 

Janganlah kita memetik buah sebelum ia masak atau memetik bunga sebelum ia mekar, kerana ia tidak menghasilkan apa-apa dan tidak sampai pada matlamat. 

Sebaliknya, bersabarlah sehingga bertunas biji yang disemai dan tumbuh pokok yang ditanam dalam meneruskan perjuangan yang panjang perjalanannya ini. Insya-Allah di akhirnya pasti peroleh hasil yang lumayan, tidak di dunia mungkin di akhirat kelak. Percayalah dengan janji Allah. 

Rujukan Kitab: Wabak Sepanjang Jalan

والله تعالى أعلم بالصواب. 

Disediakan oleh:
NUR NAJWA LAILI BINTI MOHD KHIRI @ MOHD KHAIRI
Timbalan Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan
BKAWM sesi 2021/2022 

"Memurnikan Kesatuan, Melestarikan Kebajikan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]