[ KALAM PIMPINAN: MENGHAYATI KEHEBATAN RASULULLAH ]


[ KALAM PIMPINAN: MENGHAYATI KEHEBATAN RASULULLAH ]

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره على الدين كله ولو كره المشركون، أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن سيدنا محمد عبده ورسوله.

Bersyukur kepada Allah SWT yang masih memberi nikmat Islam dan iman sebagai panduan kita dalam menempuh kehidupan di dunia. Selawat dan salam kepada kekasih-Nya Nabi Muhammad SAW kerananya Islam masih tersebar hingga ke hari ini.

Firman Allah SWT:

{ وَمَاۤ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةࣰ لِّلۡعَـٰلَمِینَ }

Maksudnya: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."

[ Surah al-Anbiya’: Ayat 107 ]

Acap kali mendengar sirah Rasulullah SAW sepanjang hayatnya yang dikagumi kita sebagai umat Islam malah mereka yang bukan Islam. Sedikit gambaran kehebatan dan keistimewaan Rasulullah SAW telah diungkapkan dalam Ensiklopedia Oxford oleh John L Esposito iaitu: “Nabi Muhammad SAW adalah seorang nabi dan Rasul Allah yang telah membangkitkan salah satu peradaban besar di dunia.”

Pengakuan lain bahawa Nabi Muhammad SAW teladan bagi dunia juga datang dari seorang astronomi yang juga penganut Nasrani, Michael H. Hart melalui penulisan bukunya The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History, yang terbit pada 1978 telah menyatakan nama baginda di urutan pertama sebagai orang yang paling berpengaruh sepanjang sejarah umat manusia dari seratus tokoh besar dunia lainnya. Katanya: “Ia satu-satunya orang yang berhasil meraih kejayaan luar biasa, baik dalam hal agama maupun duniawi.”

Berikut perkongsian beberapa kehebatan Rasulullah SAW:

1. Kesempurnaan Fizikal dan Nasabnya.

Jika Nabi Yusuf a.s. diberikan sepertiga kegagahan dunia, maka Nabi Muhammad SAW diberikan seluruh kegagahan dunia. Merujuk kitab Syamail Muhammadiah karya Imam at-Tirmidzi, badannya tidak pendek. Perawakannya tegap. Dadanya bidang. Perutnya seperti batu yang tersusun keras. Kulitnya putih kemerahan. Bola matanya besar. Bola mata yang putihnya putih bersih. Yang hitamnya hitam pekat. Sampai dikatakan para sahabat, jika kami ingin bercermin di mata Muhammad, kami boleh kelihatan jelas kerana jernihnya. Hidungnya mancung, rambutnya tidak keriting dan tidak lurus, berombak. Begitu sempurna fizikal Nabi Muhammad SAW.

Nasab baginda terdiri dari kaum Quraisy dimana kaum tersebut merupakan kaum pembesar di Mekah. Dan susur jalur keturunan baginda terdiri dari orang baik dan nasab yang terpelihara dari hubungan yang haram.


2. Tidak Berpisah Nama Nabi Muhammad SAW Dengan لفظ الجلالة (Allah).

Firman Allah Taala:

{ وَرَفَعۡنَا لَكَ ذِكۡرَكَ }

Maksudnya: “Dan kami tinggikan bagimu sebutan (namamu)."

[ Surah al-Insyirah: Ayat 4 ]

Allah Taala telah menyertakan nama Saidina Muhammad SAW dengan nama-Nya di dua kalimah syahadah, azan, tasyahud. Tidak berpisah nama baginda dengan لفظ الجلالة (Allah). Hal ini tidak pernah berlaku kepada sekelian para nabi sebelum ini.


3. Allah SWT Mengiringi Ketaatan Kepada-Nya Dengan Taat Kepada Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah Taala:

{ مَّن يُطِعِ ٱلرَّسُولَ فَقَدۡ أَطَاعَ ٱللَّهَۖ }

Maksudnya: “Barangsiapa yang mentaati Rasul (Muhammad SAW), sesungguhya dia telah mentaati Allah."

[Surah an-Nisa': Ayat 80 ]


4. Rasulullah SAW Penghulu Anak Adam Di Hari Kiamat.

Sabda Rasulullah SAW:

"أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ اَدَمَ يَوْمَ القِيَامَةِ وَ لاَ فَخْرَ, وَمَا مِنْ بَنِي يَوْمَئِذٍ اَدَمَ فَمَنْ سِوَاهُ إِلاَّ تَحْتَ لِوَائِي, وَأَنَا أَوَّلُ شَافِعٍ وَ مُشَفَّعٍ وَ لَا فَخْرَ"

Maksudnya: “Aku adalah penghulu anak Adam di hari kiamat kelak dan tiada kebanggaan. Di tanganku panji kepujian dan tiada kemegahan. Dan tiada dari para nabi di hari tersebut bermula Adam a.s. dan selainnya melainkan di bawah panjiku. Dan aku adalah orang pertama memberi syafaat dan aku orang pertama yang diterima syafaatnya dan tiada kebanggaan."

[ HR Imam Ahmad, Imam Tirmizi Dan Imam Ibn Majah Dari Abi Said ]


5. Peristiwa Israk Dan Mikraj

Firman Allah SWT:

{ سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِیۤ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَیۡلࣰا مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِی بَـٰرَكۡنَا حَوۡلَهُۥ لِنُرِیَهُۥ مِنۡ ءَایَـٰتِنَاۤۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡبَصِیرُ }

Maksudnya: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat."

[ Surah al-Isra’: Ayat 1 ]

Salah satu perayaan tertentu pada umat Islam adalah Israk Mikraj atau perjalanan malam yang dilakukan Nabi Muhammad SAW. Di mana keduanya adalah mukjizat berikutnya yang diturunkan Allah SWT kepada Rasulullah SAW.

Disebutkan bahawa Israk adalah perjalanan dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa. Sementara Mikraj pula dari Baitul Maqdis ke Sidratul Muntaha, untuk menerima perintah solat fardu dalam waktu tidak sampai satu malam. Israk Mikraj berlaku pada malam 27 Rejab.


6. Al-Quran Diturunkan Kepada Nabi Muhammad SAW Dan Seluruh Umat.

Firman Allah SWT:

{ نَزَّلَ عَلَیۡكَ ٱلۡكِتَـٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقࣰا لِّمَا بَیۡنَ یَدَیۡهِ وَأَنزَلَ ٱلتَّوۡرَىٰةَ وَٱلۡإِنجِیلَ }

Maksudnya: "Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab suci (al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Ia juga yang menurunkan kitab-kitab Taurat dan Injil."

[ Surah Ali Imran: Ayat 3 ]

Mukjizat maknawi Nabi Muhammad SAW adalah diturunkannya al-Quran. Sebagaimana diketahui bersama bahawa al-Quran merupakan mukjizat pertama dan terbesar yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW di antara 4 kitab lainnya.

Sebelum Allah menurunkan al-Quran, kitab Taurat diturunkan pada Nabi Musa a.s., Zabur kepada Nabi Daud a.s., dan Injil kepada Nabi Isa a.s.

Al-Quran juga menjadi mukjizat yang abadi sepanjang masa dan menjadi kitab bagi umat Islam dari dulu hingga saat ini.

Sebagai umat baginda yang mengharapkan syafaatnya, baik untuk kita mengetahui setiap kemuliaan dan kehebatan Rasulullah SAW seperti yang terakam dalam al-Quran dan juga hadis.

Semoga dengan perkongsian ini dapat sama-sama kita hayati tentang Rasul kita demi melahirkan rasa cinta kepadanya.

والله أعلم
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Rujukan:
1) Al-Quran dan Hadis
2) Kitab Syamail Muhammadiah Karya Imam at-Tirmidzi

Disediakan oleh:
AMIRUL AMRI BIN ASAT
Ketua Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan BKAWM sesi 2021/2022

"Memurnikan Kesatuan, Melestarikan Kebajikan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]