Alunan Qasidah Pujian Nabi Muhammad & Peristiwa Isra' Mi'raj Bergema di ARWP


KAHERAH, 1 JULAI - " Terang benderang alam semesta kerana gembira, Dengan kelahiran Nabi pilihan, Ahmad, (Nabi Muhammad SAW) Penghuni Alam berasa tenang, Dan gembira yang baru menjelang, " ini antara bait-bait qasidah yang dipersembahkan oleh kumpulan qasidah Taakhi Wilayah dan Kelantan semalam bagi memperingati Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W sekaligus mengimbas kembali kisah yang agung, Peristiwa Isra' Mi'raj dalam Majlis Sambutan Isra & Mikraj di bawah Lajnah Dakwah Dan Pembangunan Insan, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir.

Alunan nasyid qasidah itu diperdengarkan sempena dengan Sambutan Isra' Mi'raj yang berlangsung di Surau Sri Putra, ARWP yang menampilkan penceramah dari negeri Kedah, Saudara Abu Bakar Bin Razak.

Mantan Yang dipertua MKKK itu mengajak semua pendengar mengimbas kembali peristiwa Isra' Mi'raj ini dengan beberapa elemen iaitu i'tikad, ibadah dan jihad.

Di dalam i'tikad, kita sebagai muslim harus percaya mengenai peristiwa agung ini bahawasanya ia benar-benar berlaku ke atas Nabi Muhammad S.A.W di Isra' dan Mi'raj dari Makkah ke Baitul Maqdis dan di naikkan ke Sidratul Muntaha.



Manakala dari sudut ibadah, ketika inilah disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W di fardhukan solat lima waktu sehari semalam yang wajib di tunaikan dan juga merupakan rukun islam yang pertama.

Beliau juga menceritakan kembali bagaimana perjalanan Nabi Muhammad S.A.W dari Makkah ke Baitul Maqdis sehingga naik ke Sidratul Muntaha bertemu dan berjumpa dengan ALLAH S.W.T.



Di sepanjang permusafiran Nabi, Baginda bertemu dengan pelbagai kaum antara, ada satu kaum yang menghentakkan kepalanya hingga pecah dan diulang kembali kerana kaum ini berat untuk menunaikan solat apabila terdengan azan.

Satu kaum lagi yang memotong lidah dan pipi dengan besi kerana kaum ini mengumpat dan suka berbuat fitnah di muka bumi ALLAH ini dan banyak lagi kisah yang boleh kita jadikan sebagai pengajaran dan iktibar dalam kehidupan seharian kita.


Sebelum majlis berakhir, persembahan qasidah dan selawat beramai-ramai menutup malam yang penuh barakah itu serta penyampaian cenderahati kepada penceramah dan wakil kumpulan qasidah gabungan taakhi Wilayah dan Kelantan yang disampaikan oleh YDP BKAWM, Saudara Mohammad Adlly bin Mohammad Bokhari.



Selepas solat isya', para muslimin dan muslimat di hidangkan dengan bubur lambuk Wilayah.

Pengarah Majlis Sambutan Isra & Mikraj, saudara Muhammad Firdaus Bin Abdul Hadi merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang membantu, menghulurkan sumbangan dan yang hadir dalam majlis yang gilang-gemilang ini. Sekian wassalam..

0 comments:

Post a Comment

Blogroll