Kepulanganmu Dirasai, "Kakak"


KAHERAH, 23 JULAI- Tarikh keramat yang tidak dapat dilupakan bagi seluruh ahli BKAWM terutama yang berada di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP) yang menyaksikan kepulangan Naib pengerusi Hewi 1 BKAWM ke tanah air. Tergambar betapa beratnya hati beliau untuk meninggalkan bumi kinanah ini.

Beliau yang dimaksudkan ialah Saudari Haizun Hasni Binti Mohamad Azmi, graduanita Syariah Al-Azhar, Iskandariah. Beliau mula berkecimpung dalam tampuk kepimpinan Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sebagai Timbalan Lajnah Dakwah dan Tarbiah sesi 2008/2009 serta Naib Pengerusi Hewi 1 sesi 2009/2010. Tahun ini diamanahkan buat kali kedua sebagai Naib Pengerusi Hewi 1 sesi 2010/2011.

Antara pesanan beliau kepada ahli BKAWM adalah untuk mengingati semula tujuan asal BKAWM ditubuhkan oleh generasi terdahulu, iaitu untuk menyatu padu dan menjaga kebajikan anak-anak Wilayah di bumi Mesir. Kini, menjadi tanggungjawab generasi baru pula sebagai pelapis untuk meneruskan kesinambungan tersebut.




Melihat kepada hakikat perjalanan hidup sebagai mahasiswa, beliau menegaskan bahawa persatuan dan akademik tidak dapat dipisahkan. Maka rebutlah peluang untuk mengutip mutiara ilmu samada dalam persatuan mahupun pembelajaran dalam bidang pengajian masing-masing.

Sebagai seorang mahasiswi Al-Azhar yang telah merasai asam garam dan liku-liku dalam tampuk kepimpinan selama tiga tahun berturut-turut, beliau menekankan agar ahli-ahli BKAWM di kaherah mahupun di cawangan untuk terus menjadi rantai-rantai penyambung dalam menjaga BKAWM dari anasir-anasir perpecahan, selagi mana dasar BKAWM berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.



Firman Allah :
“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh”(As-saff:4)

Sesungguhnya pemergian beliau amat dirasai terutamanya dalam kalangan kepimpinan BKAWM, kerana beliau telah banyak menabur jasa dalam mengendalikan bahtera pelayaran BKAWM itu sendiri. Semoga segala jasa baik dan bakti beliau mendapat ganjaran yang tinggi disisi Allah SWT.



Barisan kepimpinan BKAWM sesi 10/11 mengucapkan jutaan terima kasih kepada beliau yang tidak jemu memberikan tunjuk ajar dan nasihat, juga atas pengorbanan beliau dalam mengharungi suka duka perjalanan BKAWM selama tiga tahun ini. Semoga terus thabat dalam perjuangan di tanah air kelak. InsyaAllah.


Comments

Popular posts from this blog

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM MANTAN NAIB PENGERUSI HEWI BKAWM SESI 2015/2016 ]