Generasi Cemerlang Harapan Ummah
KAHERAH, 14 Disember 2013- Unit Pendidikan dan Pengetahuan BKAWM sesi 2013/2014 telah menganjurkan sebuah program motivasi 'Hamlah Nahjul Mutafawwiqin' bersempena peperiksaan yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi. Program ini adalah khusus untuk ahli-ahli BKAWM sama ada yang menetap di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP) mahupun yang tinggal di rumah sewa. Pelbagai aktiviti menarik disediakan bagi para ahli yang hadir. Program yang bertemakan 'Generasi Cemerlang Harapan Ummah' ini dimulakan seawal jam 4.50 pagi dengan solat Subuh berjemaah dan alunan qasidah dengan kerjasama Unit Kebudayaan, Kesenian dan Sukan BKAWM sesi 2013/2014.
Majlis diteruskan dengan ceramah kesihatan yang disampaikan oleh Saudara Tuan Muhammad Akmalhakim bin Tuan Mazri, mahasiswa perubatan dari Universiti Ain Syams. Terdapat juga sesi pemeriksaan kesihatan dan pergigian yang dikelola oleh unit khas sains kesihatan, Team Medik. Program terus dimeriahkan oleh DJ pagi dan pameran 'Success after Failure' yang berlangsung sepanjang program.
Turut diadakan dalam program motivasi tersebut sesi Bedah Buku Motivasi: "How to do Everything and be Happy" oleh saudari Farhaana binti Ishak, Timbalan Biro Penerbitan dan Penerangan Perubatan Cawangan Azhar.
Program yang berlangsung seharian ini mendapat sambutan yang hangat daripada ahli dengan kehadiran yang lebih daripada jangkauan pihak penganjur. Program yang dijalankan bukan sahaja berjaya meningkatkan motivasi ahli, bahkan telah mengukuhkan ukhuwah dan ikatan antara semua.
Majlis berakhir sekitar jam 9.30 malam disusuli dengan sedikit jamuan.
"BKAWM Keluarga Kita"
"Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah"
Comments
Post a Comment