Kepulangan Tokoh Mahasiswi BKAWM

KAHERAH, 18 Disember 2013- Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) menyaksikan kepulangan seorang lagi permata yang telah banyak menyumbang bakti buat persatuan ini. Beliau adalah saudari Afifah binti Ramli yang merupakan graduan Ijazah Bahasa Arab Universiti al-Azhar cawangan Mansurah.

Meskipun berada jauh di Mansurah, beliau tetap aktif memberikan sumbangan kepada BKAWM sama ada dari segi tenaga, masa mahupun buah fikiran. Pengalaman selama 6 tahun di Mesir tidak dibazirkan malah disalurkan sepenuhnya dengan berbakti kepada persatuan. Beliau merupakan antara tokoh yang bersama-sama melakar sejarah BKAWM dan menyaksikan secara langsung perpindahan secara rasmi anak-anak Wilayah Persekutuan ke Asrama Rumah Wilayah Persekutuan pada tahun 2009.

Saudari Afifah pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Unit Penerangan dan Penerbitan sesi 2010/2011, Timbalan Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan sesi 2011/2012 dan Timbalan Ketua Fasilitator sesi 2012/2013. Beliau juga telah menerima Anugerah Tokoh Mahasiswi pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) BKAWM kali ke 15 baru-baru ini.

Sebelum meninggalkan bumi Mesir, beliau sempat merakamkan penghargaan serta sedikit nasihat buat siswa-siswi yang masih berada di bumi anbiya ini di dalam sebuah majlis ringkas bersempena kepulangan beliau. Beliau mengingatkan tentang empat perkara yang perlu kita lahirkan kepada pimpinan menurut Imam Said Hawwa iaitu al-hub (kasih sayang), al-taqdir (penghargaan), al-ihtiram (penghormatan) dan at-taat (ketaatan). Beliau berharap agar generasi yang sedang dan bakal menerajui BKAWM tidak berasa sempit dada dan susah hati. Kerana kita bukanlah pemula atau pengakhir jalan dakwah ini, tetapi kitalah penerus mata rantai perjuangan Rasulullah s.a.w. Beliau juga berharap agar semua ahli dapat menjaga kesatuan BKAWM khususnya dan PMRAM serta Perubatan amnya.

BKAWM mengucapkan selamat pulang ke tanah air tercinta kepada saudari Afifah binti Ramli. Semoga beliau terus istiqamah dan thabat dalam jalan dakwah menyebarkan risalah Islam di Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]