RISALAH KEMPEN RUMAHKU SYURGAKU BIL 01 : KEBERSIHAN DIRI DAN KEBERSIHAN LINGKUNGAN




BIL 01 : KEBERSIHAN DIRI DAN KEBERSIHAN LINGKUNGAN



“Dari Abi Malik Al-Sya’ri berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Kebersihan itu sebahagian daripada iman.”

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan dan keimanan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Hal ini termasuklah dari segi aspek menjaga kebersihan diri, keluarga, masyarakat, negara serta lingkungan. 


Menjaga kebersihan merupakan satu amalan yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita, sama ada kebersihan rohani mahupun jasmani. Hal ini kerana kebersihan melambangkan keteguhan iman seseorang kepada Allah SWT .

Kebersihan diri dari sudut rohani contohnya menjaga lidah daripada mengumpat dan mencerca, menjaga mata daripada memandang perkara yang tidak baik dan sebagainya. Dari sudut akidah pula bermaksud kita hendaklah membersihkan diri daripada mensyirikkan Allah SWT daripada segala kekufuran dan segala perkara yang membawa kepada dosa, sama ada dosa besar ataupun dosa kecil. Sesungguhnya Allah SWT menyukai hambanya yang sentiasa istiqamah dalam melaksanakan amalan yang baik dan bersih dari segi rohani dan jasmani. Sebagaimana firman Allah SWT dalam kitabnya, yang bermaksud:

"...إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ"
“…sesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
(Al-Baqarah, ayat 222)


Kita hendaklah menjadikan amalan kebersihan sebagai satu budaya dalam kehidupan seharian kita. Hal ini demikian kerana Islam amat menitikberatkan aspek kebersihan dan mengutamakan penjagaan terhadap kebersihan diri dan kebersihan lingkungan. Kebersihan lingkungan merangkumi lingkungan tempat tinggal, tempat kerja, tempat ibadah, dan sebagainya.

Lingkungan yang bersih ialah sesuatu keadaan atau persekitaran yang bebas daripada kotoran, termasuk debu, sampah dan bau. Ia merupakan kunci utama dalam meningkatkan kesihatan tubuh badan seseorang. Pengabaian terhadap penjagaan kebersihan akan mengakibatkan tersebarnya pelbagai jenis penyakit seperti denggi, kolera, cirit-birit, keracunan makanan dan banyak lagi. Ia juga memberi impak negatif ke arah persekitaran yang tidak segar dan tidak sihat.

Adapun pembudayaan amalan hidup bersih dan sihat ini seharusnya bermula dari rumah. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membimbing serta mendidik ahli keluarga tentang pentingnya penjagaan kebersihan dalam kehidupan seharian kita. Jadilah sebuah keluarga yang mementingkan kebersihan dan akhirnya akan melahirkan masyarakat yang mengutamakan kebersihan pada masa akan datang. 

Untuk melahirkan sebuah persekitaran yang bersih, segar lagi aman dan sentiasa kelihatan tenang dan menarik, perkara-perkara berikut perlulah kita hayati dan amalkan bersama :-

· Kita hendaklah bersama-sama mempertingkatkan kesedaran terhadap kebersihan diri, tempat tinggal, tempat beribadat, tempat kerja dan seluruh tempat awam sebagai cermin yang membuktikan kemurnian umat Islam yang mengutamakan kebersihan dalam semua bidang kehidupan.

· Setiap individu hendaklah mendisiplinkan diri dalam memikul tanggungjawab menjaga kebersihan dan hendaklah memiliki sikap suka akan kebersihan secara berterusan dengan melaksanakan amalan ini setiap masa bagi menjaga imej Islam yang sentiasa suka akan kebersihan.

· Hendaklah mempertingkatkan amalan tegur-menegur antara satu sama lain dalam hal menjaga kebersihan. Amalkanlah sikap tidak campah mata dan endah tak endah jika ternampak kekotoran. Ini dapat melahirkan perasaan cinta terhadap kebersihan dan benci akan kekotoran.

· Menggunakan dan memanfaatkan kemudahan yang disediakan dengan sebaik mungkin seperti tong sampah, tong kitar semula dan tempat pembuangan sampah awam tanpa membiarkan sampah sarap dan kekotoran bertaburan merata-rata.

Gotong-royong merupakan satu amalan terpuji yang menjadi kebanggaan setiap lapisan masyarakat kita sejak dahulu. Tetapi, amalan ini semakin berkurangan dari hari ke hari. Alangkah baiknya sekiranya amalan tersebut disemarakkan dan diamalkan kembali. Marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam membersihkan persekitaran rumah, tempat ibadat, tempat riadah, tempat peranginan dan juga tempat-tempat awam. Janganlah hanya mengharapkan pihak tertentu atau pekerja-pekerja pembersihan sahaja yang melakukannya. Akan tetapi, kita harus memainkan peranan penting dalam menjalankan dan menjayakan budaya ini.

Selain itu, amalan ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama kita dan masyarakat amnya. Firman Allah SWT:

" ..وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلا تَعَاوَنُوا عَلَى الإثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ "
“..Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.”

(Al Maaidah, Ayat 2)

Allah SWT juga berfirman di dalam surah lain :

﴾قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا ﴿٩﴾ وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا ﴿١٠

“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan)(9). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) (10).”

(Asy Syams, Ayat 9-10)


Mudah-mudahan dengan mengamalkan kebersihan dalam kehidupan kita, kita akan tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin Ya Rabbal'alamin.



Nukilan:
Nur Madihah binti Ismam Shahrin
Markaz Lughah
Universiti Al-Azhar




Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]