Kepentingan Solat Berjemaah


Bil 01: Kepentingan Solat Berjemaah

        Solat berjemaah mempunyai keistimewaan yang sangat besar dan sangat mulia serta disenangi oleh Allah SWT.Hal ini disebutkan di dalam hadith Rasulullah SAW tentang keutamaan solat berjemaah, iaitu:

“Solatnya seseorang yang berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian dengan pahala sebanyak dua puluh kali ganda.”
(HR Muslim dalam kitab al-masajid wa mawaddius solah no.650)


         Hadith di atas menunjukkan keistimewaan solat berjemaah berbanding solat bersendirian iaitu dari segi pahala yang berlipat kali ganda. Adapun keistimewaan yang lain adalah:

1. Ketika seseorang mendengar azan, lalu dia bersegera solat di awal waktu. Kemudian, berjalannya dia menuju ke masjid dengan tenang (sakinah), masuknya dia ke dalam masjid dengan berdoa, dan menunggu jemaah. Maka para malaikat akan berselawat kepadanya dan memohon ampun untuknya.
2. Kecewanya syaitan kerana berkumpulnya orang-orang mukmin untuk beribadah.
3. Melatih diri untuk membaca Al-Quran dan mendengar bacaan imam yang benar.
4. Mendapatkan pengajaran berkaitan rukun-rukun solat, serta membuat seseorang lebih prihatin apabila terjadi kesalahan dalam melaksanakan rukun-rukun solat.
5. Dijauhkan daripada menjadi orang munafik dan membersihkan hati dari segala penyakit yang menimpa.
6. Mendapat keredhaan Allah SWT.

          Semua perkara di atas tidak akan diperolehi oleh orang yang melakukan solat bersendirian di rumah.


          Hadith lain yang menerangkan kelebihan solat berjemaah lebih banyak ganjaran daripada solat bersendirian ialah:
Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,“Solatnya seseorang yang berjemaah lebih banyak ganjaran daripada solat bersendirian atau solat di pasarnya dengan dua puluh darjat. Hal ini kerana dia berwudhu’ dan memperbaharui (perbetulkan wudhu’nya kemudian datang ke masjid yang mana dia tidak melakukannya kecuali untuk solat dan tidak menginginkannya kecuali dengan niat untuk solat. Tidaklah dia melangkah dengan satu langkah kecuali ditinggikan baginya darjat dan dihapuskan kesalahannya sehingga dia memasuki masjid. Dan malaikat tetap berselawat kepadanya selama dia berada di tempat solatnya seraya berdoa, 
"Ya Allah berilah rahmat-Mu kepadanya, Ya Allah ampuniah dia, Ya Allah ampunilah dia.”
 (HR Muslim)

Dan sabda Rasulullah SAW:
Dari Abi Darda’ ra bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah 3 orang yang tinggal di suatu kampung atau pelusuk bandar tapi tidak melakukan solat berjemaah, kecuali syaitan telah menguasai mereka. Hendaklah kalian berjemaah, Kerana serigala itu akan memakan kambing yang terlepas daripada kawanannya.” 
(HR Abu Daud, Nasai)

Dari Ibnu Mas’ud RA berkata bahawa, “Aku melihat daripada kami iaitu tidaklah seseorang itu meninggalkan solat berjemaah kecuali orang-orang munafik yang sudah dikenali kemunafikannya dan seorang yang memang sakit yang tidak bisa berjalan.” 
(HR Muslim)


 Sekian, wallahu a’lam.

Disediakan Oleh: Unit Biah Solehah,
Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM)
Sesi 2015/2016

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]