[RISALAH MU'MEN: MISKIN ATAU KAYA]


MISKIN atau KAYA ?

Dari Ibn Mas’ud R.A berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Siapakah di antara kamu semua yang harta orang yang mewarisinya itu dianggap lebih disukai daripada hartanya sendiri?” Para sahabat menjawab, "Ya Rasulullah, tiada seorang pun dari kita ini, melainkan hartanya adalah lebih dicintai olehnya", Kemudian Rasulullah bersabda,“Sesungguhnya hartanya sendiri ialah apa yang terdahulu digunakannya, sedangkan harta orang yang mewarisinya adalah apa-apa yang ditinggalkan olehnya setelah matinya."(Riwayat Bukhari)

Maksud yang telah terdahulu digunakannya adalah seperti yang dipakai untuk makan, minum, pakaian, rumah atau yang diberikan untuk sedekah atau lain-lain yang berupa pertolongan sosial. Selebihnya, tentulah akan ditinggalkan jika telah meninggal dunia. Oleh sebab itu, hadis ini secara tidak lansung memberi sindiran kepada kita, kaum Muslimin agar harta yang ada di tangan kita dinafkahkan untuk jalan kebaikan semasa kita masih hidup. Manfaatnya dapatlah kita petik di hari Kiamat kelak. 

Daripada hadis ini, mari sama-sama kita telusuri sirah Nabi Muhammad.

Tidak ada catatan lengkap mengenai kekayaan Rasulullah SAW. Tetapi, terdapat bukti berkaitan hartanya iaitu Rasulullah SAW membahagikan al-Kutaibah (pemberian rutin) kepada kerabat dan isteri baginda. Diberikan kepada Fatimah sebanyak 200 wasaq , kepada saidina Ali Bin Abi Talib sebanyak 100 wasaq, kepada Usamah Bin Zaid sebanyak 250 dan banyak lagi . 

Bagi Abu Bakar as-Siddiq pula, beliau telah mewariskan 70,000 ekar ladang pertaniannya untuk kegunaan kaum Muslimin pada waktu itu. Selain itu, bangsawan yang tidak asing bagi kita juga iaitu Uthman bin Affan yang telah menginfakkan 950 ekor unta untuk perlengkapan perang. Namun, di akhir hayatnya baki hartanya hanya tinggal dua ekor unta sahaja. Seterusnya, Abdul Rahman bin Auf pula telah mendermakan 200 uqiyah emas. Apabila ditanya oleh Rasulullah adakah beliau meninggalkan wang untuk isterinya? Jawabnya "Mereka kutinggalkan lebih banyak dan lebih baik dari yang ku sumbangkan"." Berapa ?" Tanya Rasulullah. Jawabnya "Sebanyak rezeki, kebaikan, dan pahala yang dijanjikan Allah."

“Orang-orang miskin akan masuk syurga 40 tahun lebih awal daripada orang kaya, wahai Aisyah jangan pernah menolak orang miskin meski engkau hanya mampu memberi separuh biji kurma. Cintailah orang miskin dan dekatkanlah mereka kepadamu agar Allah juga mendekatkanmu kepadaNYA pada hari kiamat kelak." (H.R Tirmizi)

Kaya atau miskin? Rasulullah SAW merupakan seorang yang kaya tetapi cara hidup baginda seperti orang paling miskin. Ketika baginda wafat, tiada satu pun hartanya yang ditinggalkan kecuali sedikit. Bahkan semuanya disedekahkan dan diwakafkan untuk perjuangan Islam. Seorang muslim itu tidak ada alasan utk menjadi miskin. Semua harus menjadi kaya. Bukan sahaja kaya material tetapi juga pada jiwa. Ketahuilah bahawa muslim yang paling kaya itu tidak akan terlena akan harta dan perhiasan dunia. Tetapi, hendaklah ia menggunakannya untuk membela agama dan ummah! Itulah hakikat sebenar sifat zuhud, iaitu saat harta dan takhta tidak membutakan mata.

*Wasaq, uqiyah: Istilah ukuran dalam zakat.

Disediakan oleh:
Unit Khidmat Pelanggan dan Tugas-Tugas Khas,
Unit Ekonomi,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir,
Sesi 2015/2016.


Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]