[PENA LKP: KELEBIHAN ZIARAH]

BIL 01 : KELEBIHAN ZIARAH 


Islam agama yang mementingkan persaudaraan dan persahabatan. Ianya juga menuntut umatnya untuk menjaga silaturrahim sesama mereka supaya umat Islam menjadi kuat, berjaya serta hidup dalam berjemaah. Salah satu cara bagi memantapkan hubungan persaudaraan adalah melalui amalan ziarah dan kunjung-mengunjung. Amalan ini tidak terhad pada masa tertentu sahaja seperti Aidilfitri atau Aidiladha, kerana hubungan silaturrahim ini perlu dijaga tidak kira waktu. Firman Allah SWT:


“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara. Oleh itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan
bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat .” (Surah al-Hujurat: 10)

Ziarah-menziarahi mempunyai banyak hikmah dan kelebihan dalam menghubungkan dan merapatkan lagi hubungan persaudaraan sesama Islam. Agama Islam juga menyeru umatnya agar sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan ikatan silaturrahim. Antara kelebihan ziarah yang dapat dikongsikan ialah:-

1) Berkenalan antara satu sama lain

Melalui amalan ziarah, hubungan manusia menjadi erat dan bertambah akrab. Ini disebabkan asal kejadian manusia dari keturunan yang satu iaitu nabi Adam AS, dan dengan sebab itulah Islam mengajak seluruh manusia agar saling mengenali antara satu sama lain, hormat menghormati, saling bekerjasama dan faham memahami seperti mana firman Allah SWT :

“Wahai umat manusia sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu lelaki dan perempuan dan Kami telah jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-puak supaya kamu berkenal-kenalan, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.” (Surah al-Hujurat: 13)

2) Allah SWT mencintainya sepertimana dia mencintai saudaranya

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda,

“Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung lain, maka Allah SWT menghantar malaikat untuk mengintip perjalanannya. Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggu oleh malaikat itu, malaikat itu bertanya, ‘Ke mana kamu ingin pergi?’ Dia berkata, ‘ Aku ingin pergi bertemu saudaraku di kampung ini’. Malaikat bertanya, ‘Adakah bagi kamu ada apa-apa tujuan daripada nikmat yang akan kamu perolehi darinya?’ Lelaki itu menjawab, ‘Tidak, melainkan kerana aku menyayanginya kerana Allah Ta’ala.’ Lalu malaikat itu berkata, ‘Sesungguhnya aku merupakan utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah Ta’ala menyayangimu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNya.’“

(Hadis riwayat Muslim)

3) Para malaikat menaunginya serta mendoakannya

Direkodkan juga dalam hadis yang lain bahawasanya:

“Apabila seseorang telah menziarahi saudara seislamnya, sebenarnya dia telah berjalan-jalan memetik buahan syurga sehinggalah dia duduk. Apabila dia duduk, maka rahmat menaunginya. Jika di waktu pagi, maka 70,000 malaikat berselawat (berdoa memohon ampun) untuknya sehingga waktu petang. Jika di waktu petang, maka 70,000 malaikat berselawat (berdoa memohon ampun) untuknya sehingga waktu pagi .”

(Hadis riwayat Ibnu Majjah, Abu Daud)

Betapa hebatnya kelebihan bagi sorang muslim yang mengunjungi saudaranya dengan niat untuk menghubungkan silaturrahim. Rasulullah SAW juga bersabda, “Allah SWT berfirman dalam hadis qudsi: “Wajiblah kecintaanKu itu kepada orang-orang yang saling mencintai kerana Aku. Duduk-duduk bersama kerana Aku, saling menziarahi kerana Aku dan saling menghadiahi kerana Aku”.

Berdasarkan al-Quran dan amalan Rasulullah SAW, antara peraturan serta adab yang perlu diberi perhatian ketika berziarah ialah berniat baik di atas kunjungannya, jangan dibezakan orang kaya atau miskin, penuhilah undangan dari mana-mana pihak yang mengundang, serta pilihlah waktu-waktu yang sesuai untuk ziarah supaya tidak mengganggu tuan rumah.

Ketika di awal pertemuan, sangat digalakkan supaya berjabat tangan dengan tuan rumah seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: ”Tidak ada dua orang muslim yang bertemu, lalu saling berjabat tangan, melainkan kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum berpisah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Kesimpulannya, marilah sama-sama kita menghidupkan amalan ziarah menziarahi, serta mengeratkan hubungan silaturrahim dan kasih sayang sesama umat Islam. Janganlah kita sesekali memutuskan hubungan persaudaraan sepertimana yang disebutkan dalam hadis: “Daripada Jubair bin Mut’im RA, bahawasanya Nabi SAW bersabda: Tidak akan masuk syurga seorang yang pemutus (pemutus silaturrahim).” (Muttafaqun alaih)



Nukilan:
Fathimatuz Zahra’ bt Rasid
Markaz Lughah
Universiti Al-Azhar

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]