[TINTA DAKWAH BIL 02: KECINTAAN KEPADA RASULULLAH SAW]



Bil 02: Kecintaan Kepada Rasulullah SAW

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana masih lagi diberikan peluang untuk meneruskan kehidupan ini. Mutakhir ini ramai di kalangan umat Islam yang membicarakan mengenai cinta kepada junjungan besar nabi Muhammad SAW. Pelbagai usaha yang dilakukan untuk menunjukkan tanda cinta kepada baginda SAW. Namun, terkadang kita terlupa bahawa sifat kecintaan yang wujud di dalam diri itu perlu diterjemahkan melalui tanggungjawab secara zahiriah.


Sepertimana yang telah digariskan dalam al-Quran berkenaan kriteria golongan yang layak bersama Nabi Muhammad SAW, firman Allah SWT yang bermaksud;

“Dan berapa banyak Nabi yang berjuang bersama-samanya sejumlah besar pengikut yang bertaqwa. Sifat mereka tidak menjadi lemah dengan ujian yang menimpa mereka di jalan Allah SWT, dan mereka tidak lesu dan tidak pula menyerah kalah. Sesungguhnya, Allah mencintai golongan yang sabar”. (Ali Imran : 146)

Sensitif Dengan Maruah Islam 

Inilah kriteria pertama yang telah digazetkan di dalam al-Quran. Oleh kerana itu, para sahabat tidak membiarkan Nabi SAW keluar seorang diri sedangkan mereka hanya sebagai pemerhati. Cinta mereka dizahirkan bersama tanggungjawab berjihad menegakkan agama Allah SWT sama ada berjuang dengan mata pedang ataupun sebaliknya.

Sepertimana ikrar para sahabat ketika peperangan Badar, “Pergilah engkau SAW bersama Tuhanmu berjuang, sesungguhnya kami bersama-sama denganmu turun berjuang.”

Mesti Dalam Golongan Yang Bertaqwa 

Mereka yang mengaku sebagai pencinta Nabi SAW mestilah dalam golongan orang yang bertaqwa. Iman mereka dibuktikan dengan gigih mempertahankan agama yang dibawa oleh Nabi SAW. Berkata Dr.Yusof al-Qardawi, “Tegakkan Islam di dalam dirimu nescaya ia akan tertegak di atas tanah airmu.”

Gagah Perkasa , Kalis tekanan

Jati diri seorang pencinta mestilah gagah dan kalis terhadap tekanan yang mendatang. Sekiranya mereka meletakkan diri mereka untuk berjihad, maka mereka perlu bersedia untuk menghadapi segala risiko dalam menghadapi kejahilan manusia. Telah diikisahkan bahawa terdapat dua remaja Ansar yang berusia belasan tahun, iaitu Muaz dan Auf bin Afra telah menawarkan diri untuk menyertai peperangan Badar. Lahir dari kecintaan kepada Nabi SAW, mereka telah berazam ingin membunuh Abu Jahal yang telah banyak mencaci kekasih mereka itu. Inilah sifat yang tertanam dalam diri para sahabat. 

Para sahabat yang mencintai Rasulullah SAW sanggup berjuang untuk mempertahankan kekasih mereka SAW sedangkan golongan yang bacul dan penakut, Nabi SAW sendiri pun tidak sudi untuk mengaku mereka sebagai umatnya. Sabdanya yang bermaksud, “Apabila kamu melihat umatku kecut untuk menyatakan kepada sang zalim “Wahai Si Zalim”. Sesungguhnya diucapkan selamat tinggal kepada mereka.” (HR Tabrani)

Misi Mati Syahid 

Bahkan sebagai golongan yang mengaku cinta akan Nabi SAW perlu memiiki misi untuk mati syahid. Kerana untuk mendapatkan tiket ke syurga perlulah melalui jalan perjuangan dengan bersungguh-sungguh. Dalam erti kata lain, berjihad. Allah SWT telah berfirman dalam ayat sebelumya yang bermaksud;

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telapun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).” (Ali Imran : 142-143)

Manifestasi cinta Saidina Bilal bin Rabah menjadi teladan buat pencinta-pencinta Nabi SAW. Selaku juru azan di Madinah, selepas kewafatan Nabi SAW beliau tidak mampu menuturkan kalimah menyebut nama kekasih hati. Suaranya tersekat dan beliau menangis kerana terlalu merindui Baginda. Justeru itu, Bilal meminta izin daripada Saidina Abu Bakar untuk keluar dari Madinah bagi menggabungkan diri dalam misi jihad membebaskan Baitul Maqdis pada ketika itu.

Realiti Kini 

Sambutan memperingati Maulidur Rasul haruslah diterjemahkan juga dalam bentuk tanggungjawab sebagaimana lisan menuturkannya. Daripada sudut akhlak, muamalat, ekonomi, sehinggalah cara mentadbir sebuah daulah Islamiah perlulah merujuk kepada apa yang telah ditinggalkan oleh Nabi SAW iaitu al-Quran dan hadis.

Syurga tidak diperolehi dengan semata-mata memuja, memuji dan merintih kewafatan Nabi SAW. Sebaliknya syurga hanya boleh dicapai apabila sesorang terlibat dengan perjuangan menegakkan Islam sebagai akidah dan syariat. Pencinta hanya layak dinobatkan kepada umatnya yang menyambung mata rantai perjuangan baginda SAW dengan semangat jihad tanpa ragu-ragu dan tidak terpesona dengan permainan musuh Islam. Kesemua kerja jihad ini memerlukan kekuatan fizikal menongkah arus kejahilan manusia yang harus dipasak di dalam diri sebati dengan keinginan hati yang mengaku mencintai Nabi SAW.

Sepertimana kata-kata hukama’ :

همة الرجال قطة الجبال 

“Wibawa seorang lelaki boleh meruntuhkan sebesar manapun benteng sekalipun ia berupa gunung di hadapan kita.” 

Wallahua’lam

DISEDIAKAN OLEH:
UNIT SURAU SRI PUTRA
LAJNAH DAKWAH DAN PEMBANGUNAN INSAN
BADAN KEBAJIKAN ANAK WILAYAH PERSEKUTUAN MESIR (BKAWM) SESI 2015/2016

Comments

Popular posts from this blog

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM MANTAN NAIB PENGERUSI HEWI BKAWM SESI 2015/2016 ]