[ KALAM PIMPINAN: MU’MIN PROFESIONAL ]
Alhamdulillah, segala pujian kita
panjatkan kepada Allah SWT selawat dan salam buat junjungan besar kita
Rasululullah SAW. Insyallah pada hari ini suka untuk saya kongsikan bersama
anda semua tentang “Mu’min Profesional“. Mu’min bermaksud orang yang beriman
kepada Allah SWT dan profesional pula merujuk kepada kepakaran seseorang dalam
suatu kerjaya.
Kini, kerjaya amat penting buat
semua orang kerana dari sanalah kita dapat mencari rezeki yang halal. Jika kita
lihat, sekarang terlalu ramai orang yang telah berjaya menjadi orang yang
bekerjaya, seorang usahawan yang kaya raya. Akan tetapi, terdapat di kalangan
mereka yang terlupa bahawa punca rezeki itu datangnya daripada Allah SWT.
Mereka meletakkan sandaran rezeki it sepenhnya daripada usaha mereka sendiri.
Oleh itu, konsep “Mu’min Profesional” didatangkan oleh masyarakat prihatin bagi
memberi kesedaran tentang perkara ini.
Sebagaimana yang kita maklum,
menjadi usahawan ini amat dituntut dalam Islam sendiri. Bahkan baginda Rasulullah
SAW sendiri telah terlibat dengan perniagaan semenjak baginda muda lagi
bersama–sama dengan Saidatuna Khadijah RA, isteri beliau. Rasulullah SAW amat jujur dalam perniagaannya sehinggakan
hati Sayyidatuna Khadijah terpaut lalu beliau datang meminang baginda
Rasulullah SAW.
Teladan yang ditunjukkan baginda
Rasulullah SAW wajar diikuti kerana bagindalah contoh terbaik bagi mu’min
profesional ini. Iaitu beriman dan beretika di dalam perniagaan dan menjaga
tatasusila sepanjang perniagaan. Hanya yang halal dan tiada syubhah yang
diambil buat rezeki dan dikongsikan bersama keluarga beliau. Akhirnya, lahirlah
pewaris yang digeruni oleh musuh-musuh Islam
seperti Khulafa’ ar-Rasyidun.
Seorang mu’min yang profesional
adalah seorang yang kuat keyakinannya kepada Allah SWT, percaya bahawa rezeki
adalah milik-Nya, percayakan qada’ dan qadar sama ada baik atau buruk, komited
dan tekun mencari rezeki yang halal, sentiasa istiqamah dalam kerjaya dan jujur
serta ikhlas dalam bekerja . Inilah antara sifat-sifat yang perlu ada bagi
semua mu’min profesional yang terlibat sama ada dalam perniagaan, pentadbiran,
ataupun mana-mana kerjaya sekalipun.
Sabda baginda,
“Sembilan persepuluh rezeki adalah datangnya
dari perniagaan.“ (Hadis riwayat Bukhari )
Perniagaan bukan sahaja bermatlamatkan
keuntungan semata-mata, bahkan juga untuk membantu sesama muslim memenuhi
keperluan harian mereka. Dengan kata lain, keuntungan buat si penjual dan juga
buat si pembeli. Penindasan , ketidak jujuran peniaga, sikap berhutang pembeli
harus dihindarkan agar jual beli dapat berlaku dengan harmoni.”
Selain itu, di bawah Unit Ekonomi
BKAWM terdapat kempen MU’MEN (Muslim Enterpreneur Campaign). Antara objektif
utama daripada kempen ini ialah menjana ekonomi BKAWM, menggalakkan ahli
terlibat dalam aktiviti perniagaan dan keusahawanan, serta untuk melahirkan
ahli yang berjiwa dermawan dan mampu menyumbang kepada masyarakat. Oleh itu,
aktiviti-aktiviti seperti bazar, hari potongan komisen bagi peniaga dan membuka
tajaan bagi mana-mana peniaga yang ingin menaja dalam program-program mega
BKAWM.
Kesimpulannya, besar harapan kami
agar ahli-ahli BKAWM dapat sama-sama
mengambil pengalaman dengan menceburkan diri dalam bidang perniagaan di sini. Jadikanlah BKAWM sebagai medium untuk mengaplikasikan ilmu. Di
samping ahli dapat menjana pendapatan diri, secara tidak langsung dapat juga
menjana pendapatan BKAWM.
Mohammad Ashraf bin Ahmad Rosdi
Bendahari Agung,
Badan Kebajikan Anak Wilayah
Persekutuan Mesir,
Sesi 2015/2016
Comments
Post a Comment