[ KALAM PIMPINAN: BERSAMA BERSATU ]

       Assalamualaikum wrh wbt. Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarganya dan para sahabatnya. Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana dengan izinNya, kita diberi kesempatan untuk meneruskan ketakwaan kepadaNya, diberi kudrat dan kekuatan untuk mentaati suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.

       Kesatuan kaum muslimin di atas al haq dan larangan berpecah-belah adalah merupakan perkara yang agung di dalam Islam. Allah SWT mewajibkan kepada kita untuk berpegang kepada kitab dan sunnah NabiNya, baik dalam keyakinan mahupun perbuatan. Akan tetapi, realiti umat masa kini menganggap bahawa perkara ini tidak memainkan peranan penting dalam melakukan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya disebabkan terdapat beberapa perkara yang mereka berselisih. Maka ketika mereka berselisih itu, selayaknya bagi mereka untuk kembali kepada kitab dan sunnah NabiNya kerana keduanya terdapat penyelesaian untuk seluruh perkara yang diperselisihkan dan dapat menghindarkan daripada sikap saling memutuskan hubungan silaturrahim dan membelakangi sesama mereka.

Allah SWT berfirman,

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara.”
(Surah Ali-Imran: Ayat 103)

       Al-Imam al-Qurthubi berkata tentang tafsir ayat ini, “Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan kesatuan dan melarang dari perpecahan. Kerana sesungguhnya perpecahan itu merupakan kebinasaan manakala al jama’ah (kesatuan) itu merupakan keselamatan.”
(al-Jami’ Li Ahkamil Qur’an : 4/159)

       Namun situasi umat Islam juga terdapat beberapa aspek yang memungkinkan berlakunya perpecahan. Antaranya ialah berbilang jamaah. Di sini terdapat kaedah dan landasan yang menunjukkan kepada kita kesatuan yang benar. Iaitu kesatuan yang dibina di atas kalimat yang haq dan berserah diri terhadap perintah Allah SWT kerana asas kesatuan ialah tauhid dan sunnah. Tidak ada kesatuan yang benar melainkan dibina di atas tauhid dan sunnah Rasusillah SAW. Tanpa keduanya, maka kesatuan yang dibina itu adalah seperti kesatuan orang-orang musyrik kerana kesatuan yang tidak di atas sunnah itu merupakan kesatuan ahli bid'ah, bukan ahlus sunnah. Allah SWT berfirman, 

فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلاَ يَضِلُّ وَلاَ يَشْقَى

“Barangsiapa yang mengikuti petunjukKu, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka.”
(Surah Thaha: Ayat 123).

       Oleh yang demikian, dalam apa jua perkara, tidak dapat tidak mesti kita kembali kepada al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Amat penting dikalangan umat Islam untuk bersatu dan mengukuhkan kesatuan umat Islam yang telah sedia ada. Jika umat Islam benar-benar menitikberat perkara ini, maka mereka akan hidup bersaudara dan tidak meniupkan api permusuhan dan persengketaan semasa umat Islam yang lain sepertimana yang disampaikan oleh baginda Nabi SAW seperti hadis beliau,

الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ

“Muslim adalah saudara muslim yang lain, dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kesusahan), dan merendahkannya. Takwa itu di sini (beliau menunjuk dadanya tiga kali), cukuplah keburukan bagi seseorang, jika dia merendahkan saudaranya seorang muslim. Setiap orang muslim terhadap muslim yang lain haram: darahnya, hartanya, dan kehormatannya.”
(HR Muslim no. 2564; dan lainnya dari Abu Hurairah).

       Nabi SAW juga menyebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan al-Muslim, dari Abu Musa al-Asy'ary, beliau bersabda,

الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا ثُمَّ شَبَّكَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ

"Seorang mukmin terhadap orang mukmin yang lain seperti satu bangunan, sebahagian mereka menguatkan sebahagian yang lain, dan beliau menjalin antara jari-jarinya."

        Akhir sekali, semoga Allah memperbaiki akhlak dan tingkah laku khususnya sesama umat Islam dan mengembalikan kemuliaan mereka serta dipermudahkan segala urusan agar tercapai matlamat bersama iaitu mardhatillah. Sesungguh Dia Maha berkuasa terhadap segala sesuatu.


Disediakan oleh,
Muhammad Aiman bin Md Rashid
Yang Dipertua,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM)
sesi 2018/2019.

"Menjunjung Keilmuan, Menjulang Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersam Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021 ]

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) AMALI ]