[ KALAM PIMPINAN: ANCAMAN LIBERAL TERHADAP UMAT ISLAM ]



Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum wbt

Firman Allah Taala :

وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِي جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِيّٖ وَلَا نَصِيرٍ

‏Orang-orang Yahudi dan" Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada "mu.

(Al-Baqarah : 120)

   Umat Islam hari ini sedang berhadapan dengan ancaman daripada penularan idea liberalisme yang saban waktu semakin merebak ke dalam tubuh umat ini. Kelompok yang mendukung liberalisme semakin mendapat tempat dalam dunia Islam. Dalam pada masa yang sama, ter­dapat juga segelintir pihak yang tidak menyedari bahawa mereka turut sama membawa dan menyuburkan lagi idea liberal, meskipun secara zahirnya mereka tidak berniat sedemikian. Lebih mengharukan lagi apabila terdapat se­setengah pihak yang gagal melihat liberalisme sebagai suatu bentuk ancaman yang mengundang malapetaka bukan sahaja ke atas umat Islam, bahkan kepada umat manusia sejagat tatkala idea rosak ini tersebar luas dalam segenap aturan kehidupan.

   Demikianlah betapa liberalisme berjaya meresap masuk merentasi segenap lapisan masyarakat sehinggakan sebahagian besar idea-idea liberal telahpun diterima se­bagai norma kemanusiaan, manakala sebahagian yang lain pula cuba disogok agar diterima sebagai nilai-nilai sejagat yang mencorakkan aturan kehidupan. Sudah tentu idea-idea asing yang jelas bertentangan dengan pegangan umat Islam tidak disebarkan secara terang-terangan, kerana pastinya akan mendapat tentangan hebat daripada umat Islam. Sebaliknya idea-idea tersebut dipakejkan semula dengan cara yang halus agar lebih mudah untuk diterima misalnya menjenamakannya dengan nama Islam.

   Tambahan pula, idea-idea liberal ini turut disadurkan dengan slogan-slogan yang indah sehingga menyebabkan sebilangan umat Islam terperangkap dalam pesona yang menyelubungi racun di sebalik liberalisme. Para pendokong idea liberalisme juga digambarkan sebagai kelompok yang progresif dan mengikuti arus kemodenan manakala pihak yang menentang penularannya pula dilabel sebagai jumud, keras, ketinggalan zaman, dan tidak toleran. Lebih membimbangkan, terdapat kelompok liberal yang berselubung di sebalik nama Islam dalam membawa konsep liberalisme. Kelompok-kelompok sebegini pada dasarnya memperjuangkan kebebasan individu daripada kongkongan negara dan institusi-institusi agama yang mengawal penganutnya melalui perlaksanaan hukum dan perundangan. Mereka berpegang bahawa agama itu hanya­lah urusan peribadi seseorang dengan Tuhan, yang tidak sewajarnya dipaksakan ke atas mana-mana individu. Hal ini selari dengan konsep dasar liberalism itu sendiri, iaitu suatu fahaman yang meletakkan kebebasan individu sebagai matlamat politik yang tertinggi. Dalam ertikata lain, kedaulatan terletak pada tangan manusia itu sendiri dalam menentukan hala tuju kehidupan mereka tanpa sebarang campur tangan luar termasuklah institusi politik dan kenegaraan.

   Kelompok yang membawa agenda liberalisme dalam Islam atau “Islam Liberal” ini juga seringkali memberi penekanan bahawa al-Quran perlu ditafsirkan semula mengikut konteks kontemporari. Malangnya, tafsiran-tafsiran semula dibuat mengikut kefahaman sendiri tanpa menempuh disiplin keilmuan yang benar. Sebaliknya tafsiran-tafsiran tersebut dibuat mengikut kerangka pemikiran asing yang berpaksikan pandangan hidup yang tidak berasal daripada Islam. Dalam masa yang sama, sejajar dengan konsep kesaksamaan yang dilandasi kerangka liberalisme, agama-agama lain turut diletakkan setaraf dengan Islam. Oleh demikian, agenda pluralisme agama turut diperjuangkan oleh segelintir pendukung idea liberalisme di samping konsep sekularisme khasnya dalam aspek kenegaraan bagi memastikan kesaksamaan sebegini tercapai dalam masyarakat majmuk seperti di negara ini. Hal ini mendatangkan implikasi buruk terhadap aspek aqidah umat Islam, misalnya apabila melibatkan isu pertukaran agama, penyebaran ajaran-ajaran agama selain Islam, dan isu hak penjagaan anak.

   Berdasarkan firman Allah SWT di atas menerangkan bahawa orang Yahudi mahupun Nasrani tidak akan setuju bagi sesiapa yang memperjuangkan Islam melainkan mengikut telunjuk Islam “cara mereka”.

   Terdapat juga yang berdalih menggunakan hujah “Rasa buah di dalam lebih penting dari rupa bentuknya yang buruk” bagi menutupi kecenderungan mereka terhadap liberalisme, baik secara sedar ataupun tidak. Misalnya, mereka melihat keadilan dan tadbir urus yang baik itu adalah “rasa buah” yang selari dengan Islam, meskipun dalam keadaan negara tidak menerapkan hukum Islam (“rupa bentuk”). Sedangkan hakikatnya, keadilan hanya akan tercapai dalam ertikata sebenarnya apabila hukum Allah diterapkan secara menyeluruh. Manakala, tadbir urus yang baik pula telah diberikan penekanan menurut Islam melalui konsep ketaqwaan, amanah, dan meletakkan pihak yang berautoriti bagi melaksanakan tanggungjawab mentadbir negara, tanpa perlu kepada pengamalan aturan hidup selain Islam. Jelaslah bahawa mereka sebenarnya adalah golongan pragmatik yang cuba mengharmonikan Islam dengan norma-norma yang lahir daripada konsep-konsep kufur yang sedang mendominasi dunia pada hari ini.

   Kesimpulannya, ancaman serta penularan wabak ini bukan sahaja merebak dalam kalangan umat Islam di Malaysia sahaja bahkan di seluruh negara Islam kesan daripada penjajahan mereka  ketika jatuhnya empayar khilafah islamiyah. Maka wajibkanlah diri kita untuk mengenali idealisme yang diterap oleh mereka supaya kita tidak termasuk di dalam golongan yang zahirnya Islam batinnya kufur. Semoga Allah melindungi kita dari segala pemikiran yang merosakkan aqidah kita serta menjadikan Islam kita adalah Islam yang diredhai oleh Allah serta Rasul-Nya. Wallahu’alam.

Disediakan oleh:
MUHAMMAD ZULHILMI BIN MOHAMAD ANIZU
Ketua Unit Pendidikan dan Pengetahuan
BKAWM sesi 2018/2019

"Menjunjung Keilmuan, Menjulang Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]