[ KALAM PIMPINAN: KESEIMBANGAN ILMU DAN AMAL ]



Bismillahirrahmanirrahim.

Takrif ilmu menurut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah kata nama yang berasal daripada bahasa arab  yang bermaksud pengetahuan dalam segala perkara.

Ilmu dari segi bahasa menurut pandangan Islam ada 2, dari segi bahasa dan istilah. Dari segi bahasa, ilmu terbahagi kepada 3 takrifan, iaitu:

1) Pertama, الرؤية yang membawa maksud lihat dan perhati. Bukti ini dapat kita lihat di dalam surah Muhammad ayat 31.
2) Kedua, العلم بالشيء yang membawa maksud mengetahui tentang sesuatu. Kita dapat lihat takrif ini daripada firman Allah SWT di dalam surah al-A'la ayat 7.
3) Ketiga, الإذن yang membawa maksud kebenaran dan keizinan. Contohnya, dalam firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 14.

Dari segi istilah, ilmu membawa maksud mendapat sesuatu atau pengetahuan tentang sesuatu yang belum diketahui melalui cara pembelajaran.

'Amal' pula menurut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah perkataan yang diambil daripada bahasa arab yang membawa maksud apa saja yang dilakukan.

Amal secara hakikatnya bukanlah hanya terbatas kepada skop ibadah atau sebahagian ritual ketuhanan sahaja. Hal ini disebabkan skop amal itu adalah lebih luas yang merangkumi apa sahaja yang dilakukan oleh semua umat manusia dari bangun tidur sehingga tidur semula.

Di dalam al-Quran telah tercatat bahawa amal ini dipecahkan kepada 2 skop amal yang berbeza. Antaranya termasuklah:

1) Pertama, عمل صالح yang membawa maksud perbuatan kebaikan.
2) Kedua, عمل غير صالح yang membawa maksud sebaliknya daripada yang diatas. عمل غير صالح ini juga dikenali sebagai:
i. عمل السيئة - amalan keburukan/salah.
ii. عمل الشيطان - amalan syaitan.
iii. عمل المفسدين  - amalan yang membawa kepada kebinasaan.

Secara literal, ilmu dan amal ini memang tidak dapat dipisahkan kerana daripada kehadiran ilmu itulah membawa kita kepada amal. Apa jadi kalau teori dan praktikal diasingkan? Ianya mustahil kerana segala teori yang kita pelajari daripada mula kenal huruf seterusnya kita beralih kepada praktikal sebut dan eja.

Selamanya ilmu dan amal itu tidak dapat dipisahkan. Dalam skop selaku عبيد pula, tidak dapat tidak dalam ibadah kita itu secara normalisasinya kita akan bermula dengan belajar secara teori iaitu ilmu dan kemudian akan belajar bagaimana pelaksaan secara praktikal iaitu amal kepada ibadah tersebut.

Sebagai contoh, ibadah solat. Kita mula belajar apa itu yang dimaksudkan dengan solat itu sendiri. Bermula dengan belajar takrifan solat, rukun-rukun solat, syarat-syarat wajib dan syarat-syarat sah solat. Tidak lupa juga perkara yang membatalkan solat kita. Seterusnya, baru kita akan mulakan praktikal daripada teori sebentar tadi secara teratur supaya ingat apa yang dipelajari sebelumnya.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian, jangan sesekali kita lupa skop amal itu adalah bukan termaktub kepada diri sendiri sahaja bahkan amal itu juga boleh dengan menyampaikan kepada mereka yang belum tahu.

Zakat ilmu itu adalah dengan menyampaikan kepada yang lain. Sabda Nabi Muhammad SAW: "بلغوا عني ولو آية" yang membawa maksud, "Sampaikanlah daripadaku walau sepotong ayat". Baginda SAW tidak meminta kita untuk menjadi alim terlebih dahulu baru sampaikan apa yang kita tahu malah baginda bersabda dengan hanya sepotong ayat, kita boleh mula menyampaikan. Akan tetapi, apa yang disampaikan perlulah diperiksa dan disemak terlebih dahulu supaya kesahihan maklumat dapat kita peroleh.

Imam al-Ghazali ada menyebut didalam kitabnya, "العلم بلا العمل جنون، والعمل بلا العلم لا يكون" yang bermaksud: "Ilmu tanpa amal itu gila, dan amal tanpa ilmu itu sia-sia". Mari kita renungkan bersama bahawa ulama terdahulu juga mementingkan  keseimbangan ilmu dan amal itu sendiri.

Jadi, siapalah kita selaku الفقير dalam bidang ilmu ini untuk menidakkan bahawa ilmu itu perlu kepada amal?

Keseimbangan ilmu dan amal itu perkara yang sangat penting kerana daripadanya lahirlah insan unggul yang mampu menyempurnakan Maratib Amal yang 7 itu. Maratib amal adalah:

1) Individu muslim
2) Rumahtangga muslim
3) Masyarakat muslim
4) Membebaskan negara daripada penjajah.
5) Membina negara Islam.
6) Membina khalifah Islamiah.
7) Islam tersebar ke seluruh dunia.

Akhirnya, pepatah arab ada menyebut, "العلم بلا عمل كالشجر بلا ثمر" yang bermaksud "Ilmu tanpa amal itu umpama pokok yang tidak berbuah". Jadi, renung-renungkan dan selamat berilmu dan beramal!

#MenujuAlFalah
#BKAWMKeluargaKita
#BersamaBersatu
#SatuFikrahSatuAmal

Disediakan oleh,
MUHAMMAD ZUHAIRI BIN KHAIRIL ARIFFIN
Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan
BKAWM sesi 2018/2019

"Menjunjung Keilmuan, Menjulang Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah