[ KALAM PIMPINAN: KELEMAHAN DAN KEKUATAN UMAT ISLAM ]



Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana masih diberi nikmat yang paling besar iaitu nikmat Iman dan Islam.

Firman Allah SWT:
كُنۡتُمۡ خَيۡرَ اُمَّةٍ اُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَاۡمُرُوۡنَ بِالۡمَعۡرُوۡفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ الۡمُنۡكَرِ وَتُؤۡمِنُوۡنَ بِاللّٰهِؕ وَلَوۡ اٰمَنَ اَهۡلُ الۡكِتٰبِ لَڪَانَ خَيۡرًا لَّهُمۡؕ مِنۡهُمُ الۡمُؤۡمِنُوۡنَ وَاَكۡثَرُهُمُ الۡفٰسِقُوۡنَ‏

Maksudnya: "Kamu adalah umat terbaik dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dariada yang mungkar dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang yang fasik." (Surah ali-Imran: 110)

Umat Islam adalah umat terbaik yang dilahirkan di muka bumi ini selagi mana dia menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Tetapi apabila umat Islam melupakan bahawa dirinya adalah umat yang terbaik dengan mengabai dan meninggalkan perintah Allah SWT serta mengejar kehidupan dunia semata-mata, maka itu akan menyebabkan umat Islam menjadi lemah. Antara kelemahan umat Islam masa kini ialah:-

1) Suka bertelagah dan mencaci maki sesama sendiri.

Umat hari ini suka membincangkan perkara-perkara kecil sehingga membawa kepada pertelingkahan dan memburuk-burukkan sesama sendiri.

Firman Allah SWT:
يٰۤاَيُّهَا الَّذِيۡنَ اٰمَنُوۡا لَا يَسۡخَرۡ قَوۡمٌ مِّنۡ قَوۡمٍ عَسٰٓى اَنۡ يَّكُوۡنُوۡا خَيۡرًا مِّنۡهُمۡ وَلَا نِسَآءٌ مِّنۡ نِّسَآءٍ عَسٰٓى اَنۡ يَّكُنَّ خَيۡرًا مِّنۡهُنَّۚ وَلَا تَلۡمِزُوۡۤا اَنۡفُسَكُمۡ وَلَا تَنَابَزُوۡا بِالۡاَلۡقَابِؕ بِئۡسَ الِاسۡمُ الۡفُسُوۡقُ بَعۡدَ الۡاِيۡمَانِ ۚ وَمَنۡ لَّمۡ يَتُبۡ فَاُولٰٓـئِكَ هُمُ الظّٰلِمُوۡنَ‏

Maksudnya: "Wahai orang yang beriman, janganlah satu kaum (lelaki) mencemuh kaum lelaki yang lain (kerana) boleh jadi mereka yang (dicemuh) lebih baik dari mereka (yang mencemuh) dan jangan pula perempuan-perempuan (mencemuh) perempuan lain (kerana) boleh jadi perempuan (yang dicemuh) lebih baik daripada perempuan (yang mencemuh). Janganlah kamu saling mencela antara satu sama lain dan janganlah saling memanggil dengan gelaran-elaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang uruk (fasik) setelah beriman. Dan barangsiapa tidak bertaubat maka mereka itulah orang yang zalim." (Surah al-Hujurat: 11)

Ayat ini jelas menyatakan bahawa Allah melarang umat Islam saling memburukkan sesama sendiri.

2. Mencintai harta, pangkat dan kuasa.

Kebanyakan umat Islam hari ini mempunyai harta yang banyak, tetapi hanya sedikit golongan yang menginfakkan harta ke jalan Allah. Bahkan ada yang menyumbangkan harta bukan kepada umat Islam. Antara penyakit lain umat Islam sekarang ialah saling berlumba merebut pangkat dan kuasa sehingga sanggup bergaduh sesama umat Islam. Perkara tersebut dilarang oleh Rasulullah SAW.

Daripada Abdurrahman bin Samurah, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda kepadaku, “Wahai Abdurahman bin Samurah, janganlah kamu meminta kekuasaan kerana sesungguhnya jika diberikan kekuasaan itu kepadamu dengan sebab permintaan, pasti kekuasaan itu (sepenuhnya) akan diserahkan kepadamu (tanpa pertolongan) daripada Allah. Dan jika kekuasaan itu diberikan kepadamu bukan dengan permintaan, pasti kamu akan ditolong.” ( HR Bukhari dan Muslim)

3. Malas Membaca

Firman Allah SWT:
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

Maksudnya: "Bacalah dengan (menyebut) nama tuhanmu yang menciptakan." (Surah al-Alaq)

Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah membaca. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya membaca dalam kehidupan kita kerana sesuatu yang tidak diketahui  boleh dipelajari dengan membaca. Selain menambah ilmu pengetahuan, membaca juga dapat membuahkan semangat kesungguhan dan menggalakkan kita untuk berfikir.

4. Meninggalkan al-Quran dan as-Sunnah

Perkara ini merupakan faktor utama lemahnya umat Islam. Hal ini demikian kerana al-Quran dan as-Sunnah merupakan sumber rujukan yang paling utama dalam menjalani kehidupan seharian. Segala panduan Allah telah rakamkan dalam al-Quran. Terdapat juga kisah-kisah Nabi yang Allah letakkan dalam al-Quran supaya kita dapat mengambil pelajaran dan pengajaran.

Firman Allah SWT:
وَهَٰذَا كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ مُبَارَكٌ فَاتَّبِعُوهُ وَاتَّقُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: "Dan Al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertakwalah agar kamu diberi rahmat." (Surah al-An'am: 155)

5. Cintakan dunia dan takutkan kematian.

Rasulullah SAW bersabda:
"Begitu hampir waktunya orang-orang kafir saling menyeru untuk menyerang kamu semua dari segala penjuru sebagaimana orang-orang lapar mengeremuni dulang berisi makanan." Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, adakah pada ketika itu bilangan kami sedikit?" Nabi menjawab: "Tidak, sebaliknya pada ketika itu bilangan kamu amat ramai, tetapi kamu seperti buih-buih di laut. Sesungguhnya Allah akan mencabut rasa takut daripada hati musuh-musuh kamu terhadap kamu. Dan Allah mencampakkan dalam hati kamu al-Wahn." Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan al-Wahn?" Rasulullah menjawab: "Cintakan dunia dan takutkan mati." (HR Abu Daud)

Cintakan dunia bermaksud bakhil dan tidak mahu mendermakan harta di jalan Allah SWT, manakala takutkan mati bermaksud leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat dan tidak ada perasaan untuk berkorban dengan diri dan jiwa dalam memperjuangkan agama Allah SWT.

Justeru, umat Islam perlulah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dan berdoa agar dijauhkan penyakit al-Wahn dalam diri.

Setelah diteliti kelemahan-kelemahan umat Islam di atas, maka umat Islam perlulah kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah dengan mentaati perintah Allah dan mengikuti segala ajaran yang dintunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Selain itu, umat Islam mestilah bersatu padu dan memperkukuhkan ukhuwah Islamiah sesama sendiri serta elakkan pergaduhan dan salah faham kerana semua itu tidak membuahkan amal, malah menjadi sumber kekuatan bagi pihak musuh.

Firman Allah SWT:
لَهُۥ مُعَقِّبَـٰتࣱ مِّنۢ بَیۡنِ یَدَیۡهِ وَمِنۡ خَلۡفِهِۦ یَحۡفَظُونَهُۥ مِنۡ أَمۡرِ ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یُغَیِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ یُغَیِّرُوا۟ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَاۤ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمࣲ سُوۤءࣰا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ

Maksudnya: "Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya." (Surah ar-Ra'd: 11)

Disediakan oleh:
NATASYA AMIRAH BINTI ABDUL JALIL
Timbalan Unit Pendidikan dan Pengetahuan BKAWM sesi 2018/2019

"Menjunjung Keilmuan, Menjulang Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM MANTAN NAIB PENGERUSI HEWI BKAWM SESI 2015/2016 ]