Kalam Pimpinan: BKAWM Keluarga Kita


Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam yang tidak pernah jemu mencurahkan rezeki tidak kira kepada hambanya yang taat ataupun ingkar.

Tidak dilupakan juga selawat serta salam buat junjungan besar penghulu sekalian alam Muhammad al-Mustafa Rasulullah s.a.w. bersama para ahli keluarga serta para sahabat baginda yang telah banyak berkorban bagi memastikan kesinambungan Islam itu sampai dan tiba kepada kita pada hari ini.
Alhamdulillah, Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-14 dan Malam Inspirasi Budi telah selamat melabuhkan tirainya pada 15 September yang lepas. Ini bermakna, secara rasminya kenaikan baru untuk sesi 2012/2013 telah pun bermula.

Atas kepercayaan anak-anak Wilayah Persekutuan khususnya ahli Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM), saya bersama barisan kepimpinan sesi yang baru ini telah diamanahkan untuk meneruskan perjuangan Islam di BKAWM dengan membawa mesej kebajikan dalam menyatukan kesatuan ahli BKAWM di perlembahan Nil ini.

Kesatuan merupakan satu agenda yang amat dituntut oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. Dalam hadisnya baginda banyak sekali memberitahu kepada kita tentang erti pentingnya persatuan dan kesatuan, seperti hadis yang diriwayatkan dari Abu Burdah dari Abi Musa dari Rasul SAW bersabda:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا
“Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa perumpamaan di antara orang mukmin dengan mukmin yang lainnya diibaratkan seperti sebuah bangunan yang saling menguatkan antara satu sama lain”
Seperti mana yang kita ketahui, terlahirnya BKAWM adalah hasil dari kesatuan ukhuwah dari senior-senior kita terdahulu. Hasil kesungguhan dan berkat kesabaran mereka mempertahankan kesatuan anak Wilayah akhirnya menatijahkan sesuatu yang bermakna buat kita semua.

BKAWM telah menerima sumbangan sebuah asrama hasil sumbangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Dengan wujudnya asrama yang selesa ini, kesatuan BKAWM dapat dikukuhkan lagi dengan mengadakan program - program ilmiah dan thaqafah khusus untuk anak-anak Wilayah Persekutuan. Bermula dari itu, kebajikan anak Wilayah Persekutuan mula terjaga dengan baik berkat kesatuan kita semua.
Selaku Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2012/2013, saya menyeru kepada seluruh anak-anak Wilayah Persekutuan khususnya ahli BKAWM untuk sama - sama menjaga kesatuan kita ini agar ianya terus utuh dan kukuh bagi memastikan kebajikan setiap ahli tidak terabai dan dapat disalurkan dengan baik. 
Harapan saya kepada kalian, teruslah membantu dan menyokong kesatuan ini kerana BKAWM adalah satu kesatuan yang dilahirkan untuk menjaga kebajikan ahli dan dasar penubuhan BKAWM serta pembawaan kami adalah berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.
Saya mewakili barisan kepimpinan Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2012/2013 menghulurkan salam ukhuwah buat seluruh anak Wilayah Persekutuan khususnya ahli BKAWM di perlembahan Nil ini dengan mengharapkan kerjasama kalian dalam membantu kesatuan ini agar Islam terus tertegak di dalam keluarga besar kita ini. Amin.

“BKAWM Keluarga Kita”
“KEUNGGULAN SAHSIAH WASILAH KEILMUAN”
Muhd Bazli bin Zakaria
Yang Dipertua
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2012/2013

0 comments:

Post a Comment

Blogroll