Kalam Pimpinan: Sudahkah Kita Bersedia?
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Bismillahi walhamdulillah
Segala puji ke atas zat yang Maha Kuasa lagi Maha Pengasih
yang di atas limpahan kurnia-Nya, hamba-hamba-Nya masih lagi dapat meneruskan
hayat di alam yang fana ini. Setinggi-tinggi kesyukuran dipersembahkan ke
hadrat Allah SWT, Tuhan sekalian alam yang tiada Tuhan yang berhak untuk
disembah melainkan-Nya.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar, baginda Nabi Muhammad bin Abdullah SAW, rasul utusan Allah SWT ke dunia bagi meratakan rahmat-Nya ke seluruh alam. Tidak dilupakan ahli bait serta para sahabat baginda.
Sedar tak sedar kita telah menjengah ke fasa kedua setelah hampir dua
minggu kita melalui cuti pertengahan penggal. Dalam mengisi masa cuti ini,
pelbagai aktiviti telah disusun rapi. Ada yang bercuti, tidak kurang juga yang
sibuk bekerja dalam menjalankan tugas masing-masing. Kini, adakah kita sudah
bersedia untuk kembali ke medan pengkuliahan? Tepuk dada tanya iman. Antara
persediaan yang perlu kita persiapkan adalah persediaan mental dan fizikal yang
rapi.
Antara persediaan mental yang perlu dititik
beratkan ialah memperbaharui niat dalam mencari tujuan sebenar kita menuntut
ilmu. Adakah menuntut ilmu kerana hendak mengejar pangkat duniawi atau ingin
meraih pujian dari masyarakat sekeliling atau sekadar suka-suka. Sama-sama kita
fikir sejenak di dalam lubuk hati kita. Bak kata pepatah, tuntutlah ilmu dari buaian
sehingga ke liang lahad. Kenapa pentingnya niat? Hal ini kerana dengan niatlah mencerminkan
segala tingkah laku harian kita. Niat merupakan tunjang utama dalam kehidupan
kita seperti mana yang telah diriwayatkan dalam hadis Imam Nawawi, mafhumnya,
Sesungguhnya setiap perbuatan itu bergantung pada niatnya.
Di samping itu juga, selaku seorang mahasiswa
kita perlulah mempunyai usaha untuk mencapai matlamat dengan membuat
perancangan yang bersistematik. Antara kaedah yang efektif adalah membahagikan
masa dengan melakar jadual di antara waktu ulangkaji dan waktu peribadi. Dengan
adanya jadual ini akan melicinkan pengurusan harian kita agar tidak berlaku
pertindanan.
Selain itu, antara perkara lain yang
tidak boleh dipandang enteng ialah penyucian hati dan jiwa. Raja dalam tubuh
badan kita adalah hati, sekiranya hati penuh dengan noda hitam, maka akan
terjejaslah aktiviti rutin harian kita. Andai hati dan jiwa kita tenang maka
akan menerbitkan rasa gembira untuk hadir ke kuliah dan secara automatiknya
memudahkan kita untuk menerima mutiara-mutiara ilmu.
Setelah panjang lebar berkisar tentang
persediaan mental, jom kita beralih ke persediaan secara fizikal sempena
kembali ke kuliah. Pepatah ada mengatakan, akal yang sihat lahir daripada tubuh
yang sihat. Mengapa? Hal ini kerana, jika tubuh kita sihat, pergerakan kita
mampu menjadi lebih efektif tanpa halangan. Maka, ini akan membentuk jiwa dan
diri seorang mahasiswa yang proaktif dalam menuntut ilmu.
Kita juga hendaklah mementingkan aspek
pengurusan masa kerana masa itu tidak akan kembali andai ia terbuang dengan
perkara-perkara yang sia-sia. Waktu itu ibarat emas maka hargailah ia walaupun
sesaat kerana dengan sesaat yang terbuang akan mendatangkan kemudaratan. Allah
telah memberi kita peluang menuntut ilmu jauh di bumi perantauan maka gunakanlah waktu yang ada dengan melunaskan
amanah kita sebagai mahasiswa dengan menghadiri kuliah sama ada di universiti mahupun
kelas – kelas lain di luar.
Selain itu, setiap mahasiswa perlulah
meletakkan target yang tinggi dalam menuntut ilmu agar kita senantiasa
berusaha, menggembleng tenaga untuk merealisasikan impian kita walaupun di saat
kita diundang rasa putus asa. Bukan mudah untuk mensasarkan target yang tinggi
tetapi setidak-tidaknya kita akan mencuba sedaya mungkin untuk mencapai yang
terbaik. Pada akhirnya, kejayaan itu akan menjadi milik kita jika kita berusaha, berdoa serta meletakkan
pergantungan kepada Allah. Tidakkah kita mahu mengecapi kejayaan yang
diredhaiNya? Sudah pasti ya kerana hanya dengan redaNya, ilmu kita akan
diberkati dan dapat dikongsi bersama. Bak kata pepatah, ilmu tanpa amal adalah ibarat
pokok yang tidak berbuah.
Akhir kalam dari saya, marilah kita
bersama-sama melangsaikan tanggungjawab kita dengan menghadirkan diri ke kuliah
untuk meningkatkan pengetahuan demi menjamin masa depan yang cemerlang. Lakukanlah
sedikit pengorbanan di dunia ini sementara waktu masih ada, kerana Allah telah
menjanjikan ganjaran syurga buat penuntut – penuntut ilmu yang bermujahadah di
jalan Allah. Saya tinggalkan kalian dengan satu petikan kalam :
“AKAL ITU
MENTERI YANG MENASIHATI,
HATI ITU RAJA
YANG MENENTUKAN,
MAKA
TAJAMKAN AKALMU, PELIHARA HATIMU,
KECEMERLANGAN
PASTI AKAN MENYUSUL.”
*BERJAYA
BERSAMA*
Nurul
Syahidah binti Hamzah
Timbalan
Unit Pendidikan dan Pengetahuan,
Badan
Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM)
Sesi
2012/2013
Comments
Post a Comment