BKAWM MENERIMA KEHADIRAN MAHASISWA/WI BARU
Kaherah, 8 Ogos 2015- Badan Kebajikan Anak
Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) telah menerima kehadiran mahasiswa dan
mahasiswi baru pada tarikh 29 Jun 2015 iaitu seramai 7 orang siswa dan 5 orang
siswi. Mereka telah mengikuti rombongan Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM)
Selangor. Pada tarikh 23 Julai 2015 pula seramai 2 orang mahasiswa dan 3 orang
mahasiswi telah tiba di Mesir secara persendirian dan disambut oleh BKAWM dan
telah menjadikan jumlah mahasiswa dan mahasiswi baru pada sesi seramai 17 orang.
BKAWM dengan kerjasama Pejabat Pengurusan MAIWP Mesir (PPMM) telah membantu menguruskan
segala keperluan mahasiswa dan mahasiswi baru dari sudut penempatannya, pembelajaran
dan juga
urusan ujian kelayakan masuk ke
kuliah. Perkara ini, bertepatan dengan objektif yang
dibawa iaitu menjaga kebajikan mahasiswa dan mahasiswi baru dalam setiap
lapangan.
Pada 2 hingga 5 Ogos 2015 pula telah diadakan Hari Tautan Ukhuwah 2015 (HTU ’15) khusus
kepada semua mahasiswa dan mahasiswi baru. Melalui program HTU ’15 mahasiswa
dan mahasiswi baru diberi pendedahan mengenai Mesir dan Al-Azhar. Selain itu
juga, mereka turut diberi pendedahan mengenai penggunaan Bahasa Arab Pasar sebagai persediaan untuk mereka
berinteraksi dengan masyarakat arab di Mesir ini. Pelbagai
modul juga telah disusun dan dijalankan untuk lebih memberikan kefahaman kepada
mahasiswa dan mahasiswi melalui Gerak Kerja Berkumpulan.
Aktiviti-aktiviti yang telah disusun di dalam program Hari
Tautan Ukhuwah 2015 (HTU
’15) berobjektif untuk memupuk semangat ukhuwah dan
kesatuan dalam kalangan mahasiswa baru bersama ahli BKAWM. Di samping itu, ia
bertujuan untuk menyemai fikrah Islamiyah dan thaqafah kepada mahasiswa baru melalui pengisian yang
disediakan.
BKAWM merupakan sebuah badan kebajikan dan persatuan anak negeri yang berusaha memberikan
kebajikan yang terbaik kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi Wilayah
Persekutuan di Mesir sebagai platform menuntut ilmu-ilmu pengurusan juga
thaqafah. Oleh itu, BKAWM telah menyusun pelbagai aktiviti menarik dan
bermanfaat buat mahasiswa dan mahasiswi baru khususnya agar dapat melahirkan para pelapis
yang menjaga nama serta kesatuan yang telah terbentuk sejak sekian lama dalam
kalangan ahli-ahli BKAWM. Hal ini bertepatan dengan tema yang dibawa oleh USMB ’15 pada
kali ini,
iaitu “Mahasiswa Intelek Memimpin Kesatuan”. Besarlah harapan agar mahasiswa
dan mahasiswi baru dapat mengambil
manfaat daripada program ini dan juga bersama-sama
menjaga ukhuwah yang telah terbina dalam BKAWM ini.
“Mahasiswa Intelek Memimpin Kesatuan”
“Pemantapan Fikrah Tunjang Kebersamaan”
Satu Fikrah Satu Amal
Comments
Post a Comment