MANFAATKAH KITA BUAT MASYARAKAT?



Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW rahmat bagi sekalian alam.

“Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada yang lainnya.”

Kata-kata ini pernah keluar daripada mulut yang mulia milik kekasih hati kita, Nabi Muhammad SAW. Daripada kata-kata ini, dapatlah kita ketahui betapa tingginya kedudukan seseorang yang hidupnya itu banyak berbakti kepada mereka yang berada di sekelilingnya. Bahkan sesiapa yang mampu membahagiakan orang lain pasti hidupnya juga akan bahagia.

Punca kebahagiaan itu banyak. Maka, apakah perkara yang memungkinkan kita untuk tergolong dalam kalangan mereka ini? Pernah dikatakan oleh Sheikh Hamzah Yusuf, “A barrel only pours what it contains,” yang membawa maksud sesuatu bekas hanya akan mencurahkan apa yang ia kandungkan. Jika isinya akhlak yang mulia, maka akan terzahirlah ia pada perbuatan dan sikapnya. Jika isinya ilmu yang luas, maka akan terzahirlah ia pada pandangan dan pemikirannya. Tetapi yang ditekankan di sini ialah yang berkaitan ilmu. Ilmu itu merangkumi banyak aspek iaitu secara teori mahupun praktikal, secara fakta mahupun kemahiran dan sebagainya.

Dalam menongkah arus ledakan globalisasi kini, sebagai mereka yang berada di usia pemuda yang padanya terdapat pelbagai kelebihan, tidak dapat tidak setiap daripada kita perlu melengkapkan diri dengan kemahiran softskill dan ilmu dalam bidang yang kita ceburi . Ilmu berkenaan softskill sangatlah menjadi tuntutan dalam masyarakat sebagai satu nilai tambah dalam diri seseorang pemuda yang juga menjadi daie bagi mereka yang berada di sekelilingnya. Antara contohnya ialah kemahiran berpidato, kemahiran dalam pengurusan organisasi, kemahiran dalam bidang media dan multimedia dan sebagainya. Kemahiran yang pelbagai ini memungkinkan kita untuk meluaskan lagi cara untuk mendekati masyarakat.

Ilmu dan kemahiran yang kita punyai ini juga akan melayakkan kita untuk menjadi duta kepada Islam di mata dunia. Perkara ini kadang-kala merupakan bakat yang tersimpan dalam diri pemuda dan kadang-kala merupakan perkara yang perlu dilatih dalam diri. Kelebihan pemuda yang padanya ada tenaga dan masa perlu sentiasa dimanfaatkan. Ketepikan semua perkara yang melalaikan kita daripada memanfaatkan masa yang ada. Masa yang ada boleh diisi dengan menyertai kelas-kelas atau kursus-kursus yang mendedahkan tentang kemahiran softskill ini. Kita juga boleh melatih diri kita dengan melibatkan diri dengan menjadi ahli jawatankuasa pelaksana sesuatu program.

Platform yang disebutkan di atas ini merupakan perkara yang sentiasa dititk beratkan oleh persatuan mahasiswa khususnya yang berada di bumi Mesir ini seperti Badan Kebajikan Anak-anak  Negeri. Aspek ini menjadi fokus mereka pada setiap tahun dalam merangka program-program bagi mahasiswa  sebagai agen perubahan kepada mahasiswa dalam melengkapkan diri mereka dengan pelbagai kemahiran seterusnya membentuk diri mahasiswa yang kompeten dan berdaya saing.

Selain itu, setiap pemuda perlulah sentiasa mempelajari adab dan mengekalkan sifat rendah diri dalam jiwa. Bahkan, pemuda seharusnya  menjadi mereka yang mudah untuk menghulurkan bantuan kepada orang lain dan mempunyai kesanggupan yang tinggi untuk berkhidmat dalam setiap keadaan. Bukankah telah disebut oleh Sang kekasih SAW bahawa, “…perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di masjid ini selama sebulan…”

Justeru itu, jadilah orang yang bahagia dengan berkongsi kebahagian itu bersama orang lain. Insya-Allah nikmat kebahagiaan itu akan kita nikmati dengan gembira dan penuh rasa kesyukuran. Jadilah orang yang sering memberi manfaat kepada orang lain, agar mereka bahagia dengan kehadiran kita. Usah dikira pengorbanan yang kita lakukan, tetapi lihatlah pada wajah kegembiraan mereka yang menerimanya. Semoga yang lain turut mendapat manfaat daripada apa yang kita lakukan bahkan daripada secebis kalam ini.

Wallahualam


Nurul Amaani bt Kushairi 
Timbalan Unit Penerangan dan Penerbitan,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir,
Sesi 2014/2015
















"BKAWM Keluarga Kita"
"Pemantapan Fikrah Tunjang Kebersamaan"
Satu Fikrah Satu Amal

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]