[ KALAM PIMPINAN KETUA LAJNAH DAKWAH DAN PEMBANGUNAN INSAN: REJAB TANDA KEDATANGAN BULAN MULIA ]



              Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Tuhan, pencipta sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan penghulu segala nabi dan rasul yang membawa rahmat seluruh alam serta para keluarga dan para sahabatnya yang mengikut jalan baginda dalam liku-liku dakwah menyebarkan Islam kepada seluruh umat manusia.

Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana telah menemukan bulannya, Rejab sebagai isyarat dan tanda kedatangan semulia-mulia bulan yakni Ramadan.

Allah SWT telah berfirman di dalam Surah At-Taubah, ayat 36 :

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْراً فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam ketentuan Allah (di Luh mahfuz) pada hari Dia menjadikan langit-langit dan bumi, antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus, maka jangan kamu menzalimi diri kamu di dalamnya (bulan-bulan tersebut). Perangilah orang-orang kafir keseluruhannya sebagaimana mereka memerangi kamu keseluruhannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang bertakwa.”

Rasulullah menafsirkan 4 bulan haram di dalam hadisnya :

ثَلَاثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَان

“Tiga bulan yang berturutan, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram, dan Rejab adalah (kumpulan Bani) Mudhar, yang terletak diantara Jumada al-Thani dan Sha’ban”.

Maka, di sinilah ahli tafsir serta para ilmuan Islam yang lain menafsirkan 4 bulan tersebut dengan kelebihan, pengkhususan dan amalan yang terbaik bagi seorang muslim untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti amalannya disebabkan kemuliaan yang Allah SWT berikan di dalam bulan-bulan yang dipilihNya. Oleh yang demikian, apa yang boleh kita boleh ambil manfaat daripada ayat 36, Surah At-Taubah sebagai motivasi diri untuk melakukan amal ibadah untuk dipersembahkan kepada Allah SWT adalah:

1) Melakukan sebarang kezaliman terhadap diri sendiri adalah perkara yang ditegah oleh Syarak.
2) Berusaha untuk meningkatkan amal soleh sama ada secara individu atau berkumpulan.
3) Menyambung silaturrahim adalah perkara yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.
4) Melakukan perkara maksiat, azabnya akan digandakan.
5) Melakukan amal soleh pahalanya akan digandakan.

Justeru itu, seharusnya kita sebagai hambanya berusaha dan berlumba-lumba untuk meningkatkan amal soleh serta mengurangkan perkara yang menyalahi perintahNya. Bulan Rejab menandakan persediaan ‘berjaga-jaga’ untuk kita menempuhi Ramadan yang akan datang tidak lama lagi.

Akhir sekali, harapan Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan sesi kali ini agar semua mahasiswa/wi khususnya ahli BKAWM sama-sama mempertingkatkan amalan soleh mulai saat ini dalam semua aspek. Sama ada dari aspek individu, kemasyarakatan, dan kesatuan. Semoga dengan usaha tersebut kita dapat menempuhi bulan Ramadan dengan lebih bersemangat.

Assalamualaikum w.b.t

Abdul Wafi bin Alias,
Ketua,
Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan,
BKAWM sesi 2015/2016.

"Memperkasa Kefahaman, Meneguh Kebersamaan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]