[ BERITA : KURSUS KESETIAUSAHAAN 2016 ]
KAHERAH, 16
April 2016- Menyedari kepentingan berpengurusan dalam peringkat individu dan
organisasi, Jabatan Setiausaha Agung (JASA) Badan Kebajikan Anak Wilayah
Persekutuan Mesir sesi 2015/2016 telah mengambil inisiatif menganjurkan Kursus
Kesetiausahaan 2016 pada 2 April yang lalu. Kursus yang bertemakan “Muslim
Profesional, Generasi Insani” ini telah berlangsung di Dewan Sri Putra, Asrama
Rumah Wilayah Persekutuan, Hayyu Sabik.
Bagi memastikan efisiensi kursus ini, ianya
telah dijalankan secara tertutup dan telah disertai oleh 40 orang peserta yang
terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Tadbir BKAWM, setiausaha Jabatan, Lajnah dan
Unit BKAWM, para mentee BKAWM dan beberapa individu umum. Beberapa
objektif telah digariskan oleh pihak penganjur, iaitu:
1)
Memberi pendedahan tentang cara mengurus majlis
dan ilmu pengucapan awam.
2)
Melahirkan pelapis dan aktivis yang
berkemahiran serta cekap dalam pengurusan organisasi.
Bermula dengan Majlis Perasmian program yang
disempurnakan oleh Yang Dipertua BKAWM, saudara Adam Syukri bin Mohamad sejurus
selepas selesai menunaikan solat Asar secara berjemaah. Seterusnya, kursus
telah diteruskan dengan dua bentuk pengisian iaitu teori dan praktikal.
Sebanyak tiga tajuk pengisian telah diadakan bagi mencapai objektif-objektif yang
telah disebutkan. Slot pertama telah disampaikan oleh Dr. Imran bin Kasran,
Jabatan Pembangunan Insan merangkap Jabatan Sukan dan Aktiviti Luar PERUBATAN
sesi 2016/2017 yang bertajuk “Pengucapan Awam” dan disempurnakan dengan gerak
kerja berkumpulan (GKB) yang dikelola oleh pengisi sendiri.
Kemudian, disambung pula dengan slot “Protokol
dan Etiket Majlis” yang disampaikan oleh Ustaz Hasbullah bin Suhaimi, Penasihat
Badan Kebajikan Mahasiswa Islam Pahang. Pelbagai ilmu tentang pengurusan majlis
telah dikongsi oleh pengisi dengan fokus kepada majlis berprotokol. Slot ketiga
pula iaitu slot kemuncak bagi kursus ini disampaikan oleh Setiausaha Agung
BKAWM sesi 2015/2016, saudara Amirul Hakim bin Mohd Razib yang bertajuk
“Peranan dan Skop Tugas Setiausaha”. Melalui slot inilah para peserta
didedahkan tentang ilmu kesetiausahaan dan bagaimana menjadi setiausaha yang
cemerlang. Bagi memastikan kefahaman peserta terhadap kedua-dua slot ini,
aktiviti praktikal telah diadakan melalui GKB yang turut dikelola oleh kedua-dua
pengisi dengan dibantu oleh beberapa orang fasilitator.
Sebelum berakhir, para peserta telah
diperdengarkan dengan kalam penutup yang disampaikan oleh Pengarah Kursus
Kesetiausahaan 2016, saudara Amirul Hakim bin Mohd Razib. Beliau mengharapkan
agar para peserta dapat mengambil manfaat yang maksima terhadap penganjuran
kursus ini.
Akhir sekali, pihak BKAWM mendoakan agar para
peserta dapat meningkatkan kemahiran pengurusan seperti yang telah diajarkan
oleh nabi Muhammad SAW sendiri. Semoga Kursus Kesetiausahaan 2016 ini mampu
menjadi salah satu asas tambahan dalam kehidupan kita bagi memastikan setiap
perancangan yang telah disusun terutama sekali dalam BKAWM dapat dijalankan
dengan sebaiknya.
Comments
Post a Comment