[ RISALAH KEMPEN RUMAHKU SYURGAKU Bil 02: KEBERSIHAN MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH SAW ]



BIL 02 : KEBERSIHAN MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH SAW

Kesempurnaan agama mencakupi setiap inci kehidupan umatnya. Islam menyanjung tinggi terhadap kebersihan, malah diangkat di kedudukan yang istimewa sehingga Nabi Muhammad SAW menegaskan ianya sebahagian daripada iman. Kebersihan dapat dilihat melalui ibadah rutin individu muslim yang bertitik tolak daripada amalan menyucikan diri melalui wudhu’, pakaian, dan tempat ibadah.

Nabi Muhammad SAW menunjukkan isyarat penjagaan kebersihan merangkumi semua bidang, bermula daripada tubuh badan baik rohani mahupun jasmani. Sehingga pakaian, kediaman dan persekitaran juga harus dipastikan kebersihannya. Antara kebersihan yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW ialah melalui hadis-hadis sahih yang tersebut:

1. Sunnah memakai wangian bagi lelaki
“Rasulullah bersabda: Seseorang yang mandi pada hari jumaat bersuci menurut kemampuannya, memakai minyak rambutnya, atau memakai minyak harum keluarganya, kemudian keluar serta tidak memisahkan antara dua orang yang duduk lantas ia solat sebanyak yang dapat ia kerjakan, kemudian diam apabila imam bekhutbah: Sungguh ia diampuni dosanya antara Jumaat yang satu dan Jumaat yang lain.” 
(Hadis riwayat Bukhari)

Namun demikian, haruslah diingat bahawa wanita dilarang keras memakai wangian apabila melintasi lelaki bukan mahramnya:

“Seorang wanita yang memakai bau-bauan dan melintasi satu kaum maka, dia itu adalah perempuan zina.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

Nabi SAW bersabda lagi: “Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehigga ia mandi dahulu 
(membersihkan dirinya dari wangian tersebut).” 
(Hadis Sahih riwayat Ibnu Majah dari jalur Abu Hurairah)

2. Mencukur bulu kemaluan dan bulu ketiak bagi lelaki dan perempuan.
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa: “ Rasulullah SAW menjadualkan bagi kami paling lama empat puluh hari, supaya tidak lupa menggunting kumis, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari. “ 
(Hadis riwayat Muslim, Ibnu Majjah, Ahmad, Tirmidzi, Nasa’i dan Abu Daud)

Dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Daripada perkara fitrah ialah mecukur bulu ari-ari, memotong kuku dan menggunting misai.“ 
(Hadis riwayat Bukhari)

3. Bersiwak
Diriwayatkan Abu Hurairah RA dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Jika aku tidak menjadikan berat umatku, maka sungguh aku perintahkan bersiwak setiap hendak solat.“
(Hadis riwayat Bukhari)

Dalam hadis ini, Rasulullah sebenarnya ingin mewajibkan umat Islam untuk selalu menggosok gigi setiap kali hendak solat, kerana sememangnya menjaga kebersihan gigi itu merupakan hal yang sangat penting.

Namun, baginda khuatir hal ini akan memberatkan dan membebankan umat Islam.

4. 10 perkara yang termasuk fitrah
Selain itu juga, terdapat juga hadis-hadis lain yang Nabi ajarkan kepada kita dalam bab menjaga kebersihan. Antaranya:

Dari Saidatina Aisyah RA, Rasul SAW bersabda sepuluh perkara yang termasuk fitrah (1) Memotong kumis, (2) Memanjangkan janggut, (3) Menggosok gigi, (4) Istinsyaq iaitu memasukkan air ke hidung, (5) Memotong kuku, (6) Membasuh sendi-sendi, (7) Mencabut bulu ketiak, (8) Mencukur bulu ari-ari, (9) Bersuci dengan air (beristinjak). Berkata Zakaria bahawa Mus’ab berkata “Aku lupa yang ke-10 kecuali berkumur”. 
 (Hadis riwayat Muslim)

5. 5 fitrah manusia
Dalam sebuah hadis yang lain pula, Rasulullah SAW juga pernah bersabda:
Dari Abu Hurairah RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Fitrah manusia ada lima, iaitu khitan (sunat), mencukur rambut kemaluan, menggunting (merapikan) kumis, memotong kuku (kuku tangan serta kaki), serta mencabut bulu ketiak."
(Hadis riwayat Bukhari)

Hadis yang direkodkan ini memberi kefahaman kepada kita bahawa Rasulullah SAW sangat
mengambil berat soal kebersihan anggota tubuh badan. Selain itu juga, cuba kita lihat kesan amalan tersebut terhadap kesihatan diri. Bagi orang yang tidak menjaga kebersihan anggota tubuhnya, misalnya kuku, ia mempunyai risiko lebih tinggi untuk dijangkiti kuman berbanding orang yang menjaga kebersihan kuku.

Begitu juga dengan perkara yang lain, misalnya membersihkan telinga, merapikan kumis, dan bersugi. Ianya mendatangkan kesan yang positif terhadap tubuh badan. Di samping itu juga, salah satu bentuk syukur seorang hamba terhadap nikmat yang telah dikurniakan Allah SWT ialah dengan menjaga setiap anggota badan kita dengan sebaiknya sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Kita akan dapat manfaat yang banyak serta dikira mendapat pahala apabila disertakan dengan niat untuk mengikuti sunnah-sunnah Rasulullah SAW.

Kesimpulannya, Islam merupakan agama yang syumul (lengkap) merangkumi segala aspek kehidupan manusia daripada sebesar-besar perkara sehinggalah sekecil-kecil perkara. Kerana itulah Islam perlu difahami sebagai sebuah cara hidup.



Nukilan:
Fathimatuz Zahra’ bt Rasid
Markaz Lughah
Universiti Al-Azhar


Disediakan oleh:
LAJNAH KEBAJIKAN DAN PERUMAHAN
BADAN KEBAJIKAN ANAK WILAYAH PERSEKUTUAN MESIR
SESI 2015/2016

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah