[ KALAM PIMPINAN: KEMULIAAN PENGORBANAN ]

[ KALAM PIMPINAN: KEMULIAAN PENGORBANAN ]

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT yang memberi nikmat iman dan Islam kepada kita dengan menjadikan wahyu serta hadis sebagai rujukan hidup dan Nabi Muhammad SAW sebagai suri teladan terunggul sepanjang zaman.

Firman Allah SWT:

قُلۡ إِن كَانَ ءَابَاۤؤُكُمۡ وَأَبۡنَاۤؤُكُمۡ وَإِخۡوَ ٰ⁠نُكُمۡ وَأَزۡوَ ٰ⁠جُكُمۡ وَعَشِیرَتُكُمۡ وَأَمۡوَ ٰ⁠لٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَـٰرَةࣱ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَـٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَاۤ أَحَبَّ إِلَیۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادࣲ فِی سَبِیلِهِۦ فَتَرَبَّصُوا۟ حَتَّىٰ یَأۡتِیَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا یَهۡدِی ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَـٰسِقِینَ

Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, -(jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." (Surah at-Taubah: 24) 

Berdasarkan firman Allah SWT di atas menjelaskan bahawa sifat pengorbanan dikategorikan dalam pelbagai jenis iaitu berkorban jiwa, harta, waktu, keluarga dan perkara yang dicintai.

Ketika manusia memiliki keimanan yang benar kepada Allah, akan tumbuh di dalam dirinya kesiapan untuk menjalankan segala yang diperintahkan dan ditentukan oleh Allah. Malah ia bersedia untuk berkorban dengan apa sahaja yang dimiliki dari segi berkorban dengan jiwa, harta, masa, cinta kehidupan dan seluruhnya hanya untuk Allah SWT kerana rasa cintanya terhadap Allah SWT menandingi rasa cintanya kepada yang lain. 

Sikap pengorbanan tidak hanya setakat ketika musim perayaan, sebaliknya berterusan sepanjang masa kerana konsep pengorbanan begitu luas ertinya. Dalam mengemudi kehidupan seharian, setiap individu muslim perlu menghayati konsep pengorbanan dalam perkara-perkara berikut:

1. Berkorban dengan meninggalkan sesuatu keinginan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah.

2. Melakukan pengorbanan dengan melaksanakan kewajipan sebagai umat Islam dan tanggungjawab terhadap masyarakat selagi ia tidak melanggar syariat.

3. Melakukan pengorbanan dengan mengetepikan segala kepentingan peribadi untuk kepentingan maslahat umum.

Justeru itu, untuk memahami konsep pengorbanan ini atau sifat pengorbanan yang sebenar-benarnya bagi seorang hamba boleh dilihat dengan menelusuri kisah seorang nabi yang digelar sebagai ‘khalilullah’ yakni kekasih Allah, Nabi Ibrahim a.s. dalam 
firman Allah SWT:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعۡيَ قَالَ يَٰبُنَيَّ إِنِّيٓ أَرَىٰ فِي ٱلۡمَنَامِ أَنِّيٓ أَذۡبَحُكَ فَٱنظُرۡ مَاذَا تَرَىٰۚ قَالَ يَٰٓأَبَتِ ٱفۡعَلۡ مَا تُؤۡمَرُۖ سَتَجِدُنِيٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّٰبِرِينَ

Maksudnya: "Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar"." (Surah as-Saffat: 102) 


Peristiwa tersebut menceritakan bahawa Allah memerintahkan Nabi Ibrahim a.s. untuk melakukan korban dan penyembelihan ke atas putera kesayangannya, Nabi Ismail a.s.. Secara logiknya, jika kita diposisikan di situasi tersebut sudah tentu belum mampu untuk kita korbankan seorang anak yang kita sayang akan tetapi Nabi Ibrahim a.s. tetap bersedia untuk melaksanakannya atas dasar ketaatan dan cinta kepada Allah tanpa ada rasa ingkar. Malah Nabi Ismail a.s. turut taat akan perintah Allah dan menyuruh ayahnya supaya bersabar dengan perintah tersebut, itulah tahap pegorbanan yang paling tinggi.

Tidak dinafikan juga bahawa kehidupan hari ini penuh dengan cabaran yang memerlukan satu pengorbanan. Sebagai contoh peristiwa di negara Palestin yang diserang musuh, terdapat saudara kita yang sanggup berkorban jiwa, masa dan harta demi menyelamatkan umat Islam. Selain itu, dunia pada hari ini dilanda wabak pandemik COVID-19, terdapat sebahagian masyarakat yang terjejas kerana terpaksa berkorban meninggalkan pekerjaan, barisan hadapan berkorban tenaga dan masa untuk menyelamatkan nyawa orang ramai. Selain itu, dalam fasa perjalanan menuntut ilmu pasti ada ujian yang menimpa, akan tetapi demi melaksanakan tanggungjawab dan menyebarkan ilmu, kita perlu mengorbankan masa lapang, waktu tidur untuk menelaah kitab-kitab. 

Begitulah hakikat kehidupan, dalam berkorban perlu adanya mujahadah diiringi dengan sifat ikhlas kerana Allah agar dikira sebagai ibadah dan amal soleh  seperti hadis Nabi Muhammad SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

Maksudnya: "Daripada Abu Hurairah beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kalian, tetapi Allah melihat kepada hati dan amal kalian." (HR Muslim)

Kesimpulannya, marilah sama-sama kita praktikkan dalam medium yang BKAWM telah sediakan sebagai wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan jadikan ia sebagai didikan dalam diri. Yakinlah bahawa pengorbanan yang diberikan untuk agama Islam dan pada jalan kebaikan ini baik pengorbanan jiwa, harta, waktu, keluarga pasti akan dibalas dengan kemuliaan dari Allah. Sekiranya kita yakin akan adanya nikmat balasan baik daripada Allah kita tidak akan timbul rasa kecewa kerana melakukan pengorbanan untuk Islam, kerana Allah SWT berfirman:

 إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَ ٰ⁠لَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَۚ یُقَـٰتِلُونَ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ فَیَقۡتُلُونَ وَیُقۡتَلُونَۖ وَعۡدًا عَلَیۡهِ حَقࣰّا فِی ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَٱلۡإِنجِیلِ وَٱلۡقُرۡءَانِۚ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِعَهۡدِهِۦ مِنَ ٱللَّهِۚ فَٱسۡتَبۡشِرُوا۟ بِبَیۡعِكُمُ ٱلَّذِی بَایَعۡتُم بِهِۦۚ وَذَ ٰ⁠لِكَ هُوَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِیمُ 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah: 111)

 Wallahua’alam.


Disediakan oleh: 
NUR ALIA FARHANA BINTI MOHD ZAKI,
Timbalan Bendahari Agung BKAWM sesi 2021.

“Memperkukuh Keilmuan, Memperkasakan Kebajikan”
“BKAWM Keluarga Kita”
“Bersama Bersatu”

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah