MUKIM '11 Berjalan Dengan Jayanya


DEWAN SRI PUTRA, 14 MEI 2011 - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengadakan sebuah forum ilmiah Muhadharah JAKIM (MUKIM’11). Forum bertajuk ‘Cabaran JAKIM Dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri Dalam Menangani Isu Semasa’ ini telah diadakan pada sebelah pagi bertempat di Dewan Sri Putra, ARWP.

Antara tujuan program diadakan adalah sebagai wasilah perkongsian maklumat antara para pegawai JAKIM dan mahasiswa yang berada di Perlembahan Nil, khususnya anak-anak Wilayah Persekutuan.

Program bermula pada jam sembilan pagi dengan dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Duta Besar Malaysia ke Kaherah, Dato’ Dr. Fakhruddin Abdul Mokti. Dalam ucapan perasmiannya, beliau telah memuji semangat belajar mahasiswa yang semakin meningkat sejak berlangsungnya revolusi politik di Mesir.

Selain itu, beliau juga berpesan supaya mahasiswa menggiatkan usaha mencari ilmu dan mengenang budi pihak-pihak yang telah membantu memudahkan segala urusan pendidikan mahasiswa. Juga beliau turut berpesan kepada mahasiswa supaya sentiasa menjaga imej negara dalam muamalah seharian.

Ini kerana memandangkan status Malaysia yang menjadi contoh pengurusan negara Islam maju dan dipandang tinggi oleh para ilmuan Mesir, lebih-lebih lagi dalam pergolakan politik yang sedang berlaku.

Selepas perasmian, majlis diteruskan dengan pembentangan daripada tiga orang ahli panel mewakili tiga buah agensi agama Islam di Malaysia iaitu Tuan Haji Abd Manaf bin Mat, Imam Besar Masjid Putra mewakili JAKIM, Tuan Haji Ahmad Faisal bin Mohamed dari Majlis Agama Islam Negeri Johor mewakili institusi agama Islam negeri-negeri, dan seterusnya Saudara Mohd Khairrul Fuad bin Samsudin mewakili Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Forum dikendalikan oleh wakil JAKIM di Mesir, Tuan Haji Abdullah bin Mohamed yang bertindak selaku moderator. Dianggarkan seramai 16 orang pegawai agama yang mengikuti kursus JAKIM di Darul Ifta’ telah turut serta dalam muhadharah ini.

Pada pusingan pertama, setiap pegawai tampil memperkenalkan diri masing-masing sambil dipengerusikan oleh Saudara Ahmad Termizi Zainudin dari JAKIM. Pada pusingan kedua, setiap panel memperkenalkan agensi yang diwakili masing-masing sebelum membuka sesi soal-jawab. Sesi soal jawab mendapat sambutan hangat dengan pelbagai soalan dan cadangan dikemukakan oleh para peserta yang hadir. Antara soalan yang paling diberi perhatian ialah berkenaan pantauan media dan kristianisasi di Malaysia.

Pada sesi ketiga, setiap pegawai yang hadir dijemput menjawab soalan-soalan yang berkaitan bidang tugas masing-masing sebelum digulung oleh ahli panel. Ucapan akhir dari wakil pertubuhan Melayu di Malaysia telah mendapat tepukan gemuruh para peserta, yang mana beliau telah berpesan supaya mahasiswa menumpukan perhatian kepada pelajaran dan tidak terpengaruh dengan seruan-seruan yang menggugat perpaduan umat Islam.

Forum turut diserikan dengan video kaji selidik makluman mahasiswa tentang JAKIM, disusuli video korporat JAKIM pada selingan sesi kedua. Majlis berakhir pada jam 1 tengahari dengan jamuan penutup disediakan oleh KLCC.

Secara keseluruhannya MUKIM’11 berjalan dengan baik dalam suasana santai dan penuh semangat kekeluargaan. Rata-rata pegawai yang hadir berpesan dengan penuh harapan supaya mahasiswa memperkayakan diri dengan ilmu sebanyak-banyaknya, agar pulang kelak dapat mengisi kekosongan dalam lapangan dakwah di tanahair. Meskipun program yang pertama kali diadakan ini berlangsung dalam masa yang sebentar namun diharapkan akan membuka satu lembaran baru dalam hubungan baik antara mahasiswa dan agensi-agensi kerajaan. Selain itu juga diharapkan agar program ini dapat diteruskan di masa akan datang.







Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]