Apakah Natijah Ramadhan Kita? - LDPI BKAWM

Syukur ke hadrat Ilahi atas limpah kuniaNya kita masih lagi diberikan nikmat yang tidak terhingga, nikmat Islam dan Iman. Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia, Penghulu segala nabi dan rasul, Muhammad S.A.W, serta ahli keluarga baginda, para sahabat, serta para pejuang agama Allah S.W.T.





Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang berbunyi

يأيها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون البقرة: ١٨٣

“Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” [ Surah Al- Baqarah : Ayat 183 ]


Begitu juga dengan hadis Rasulullah S.A.W :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ


Telah menceritakan kepada kami Isma'il berkata, telah menceritakan kepadaku Malik dari Ibnu Syihab dari Humaid bin Abdurrahman dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa menegakkan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu". [ Hadis Riwayat Bukhari : Hadis No 36 ]


Kedua-dua ayat al-Quran dan Hadis ini menjelaskan kepada kita kedudukan puasa seseorang yang beriman kepada Allah S.W.T dengan natijah pada akhir Ramadhannya dengan beroleh ketakwaan dan diampunkan oleh Allah S.W.T dosa-dosanya yang telah lalu.


Alhamdulillah, kita masih diberi kesempatan oleh Allah S.W.T untuk mengharungi bulan Ramadhan yang mulia ini dengan kelebihan-kelebihan bulan Ramadhan yang sering kali kita dengar akan kelebihan ibadat di bulan Ramadhan dan dengan kelebihan malam lailatul qadarnya yang lebih baik daripada 1000 bulan. Kesemuanya Allah S.W.T berikan kelebihan tersebut kepada kita kerana kita ini adalah umat nabi Muhammad S.A.W, yang mana umat nabi Muhammad S.A.W ini bersifat lemah. Firman Allah S.W.T :


يريد الله أن يخفف عنكم وخلق الأنسن ضعيفا النساء: ٢٨


“ Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumNya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. .” [ Surah An-Nisaa : Ayat 28 ]


Sabda Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh al Dailami daripada Anas R.A. (marfu’) :


إِنَّ اللهَ وَهَبَ لأُمَّتِي لَيْلَةَ الْقَدْرِ، وَلَمْ يُعْطِهَا مَنْ كَانَ قَبْلَهُمْ


“Sesungguhnya Allah menganugerahkan bagi umatku Lailatul Qadar dan tidak diberikan anugerah tersebut kepada sesiapa pun sebelum mereka.’


Jika hendak dibandingkan dengan umat terdahulu dengan amal ibadahnya yang beratus-ratus tahun lamanya, sungguh jauh amal ibadah mereka dengan amal ibadah kita, adapun kita 8 rakaat tarawikh pun ada yang malas hendak dikerjakan. Oleh sebab itu, Allah S.W.T mengurniakan kepada kita dengan kurniaan yang istimewa pada bulan Ramadhan ini berbeza dengan bulan-bulan yang lain dan ia merupakan hadiah yang hebat, tawaran yang hebat daripada Allah S.W.T. Yang mana ibadah-badah sunatnya Allah S.W.T gandakan seperti mana kita lakukan ibadah-ibadah wajib dan ibadah-ibadah wajib pula Allah S.W.T gandakan kepada puluhan kali ganda. Maka adakah tawaran yang hebat ini, masih lagi kita lalai dan leka dalam melaksanakan ibadah kita kepada empunya tawaran? Adakah kita yakin bahawasanya kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang? Sedarlah wahai Mahasiswa dan Mahasiswi di perlembahan Nil ini, kita tidak pasti bahawasanya kita akan terus hidup di permukaan bumi Allah ini, yang pastinya ajal tidak kira waktu dan tempat, sesungguhnya yang hidup itu pasti akan mati.


Mahasiswa dan mahasiswi yang dirahmati Allah sekalian, masih tidak terlewat lagi untuk kita memperbaiki amal ibadah kita. Pergunakanlah saki baki Ramadhan ini dengan sebenar-benar penghayatan. Ini kerana orang yang benar-benar menghayati dan mendapat faedah dari kedatangan Ramadhan dengan menikmati kemanisan iman dan peningkatan taqwa di bulan Ramadhan, sudah tentu menghadapi saat-saat perpisahan dengan bulan Ramadhan dengan penuh kesedihan dan pengharapan. Mereka risau memikirkan apakah amalan mereka diterima, dan dalam masa yang sama mereka amat berharap agar dosa-dosa mereka diampunkan oleh Allah dan diberi peluang untuk bertemu dengan Ramadhan yang akan datang. Diriwayatkan, bahawa orang-orang yang berpuasa kembali pada hari Raya dalam keadaan diampunkan dosa-dosa mereka. Oleh sebab itu, al Muwarriq al ‘Ijli R.A berkata kepada sebahagian saudaranya di tempat solat hari raya :

“Pada hari ini, suatu kaum telah kembali kepada keadaan seperti mana sewaktu mereka dilahirkan oleh ibu-ibu mereka (bersih dari dosa).”


Di dalam bulan Ramadhan, diperbanyakkan sebab-sebab untuk mendapat keampunan. Di antara sebab-sebab bagi mendapat keampunan ialah puasa, bangun malam, bangun malam Lailatul Qadar, menjamu orang yang berbuka puasa, zikir dan istighfar, bahkan malaikat sentiasa memohon keampunan untuk orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka. Oleh sebab banyaknya sebab-sebab untuk mendapat keampunan pada bulan Ramadhan, maka orang yang terlepas peluang untuk mendapat keampunan Allah pada bulan ini adalah orang yang paling jauh daripada keampunan Allah. Berkata Sa’id R.A. daripada Qatadah R.A. ;


مَنْ لَمْ يُغْفُرْ لَهُ فِي رَمَضَانَ فَلَنْ يُغْفَرَ لَهُ فِيْمَا سِوَاهُ


“Sesiapa yang tidak diampunkan dosanya pada bulan Ramadhan, maka tidak akan diampunkan dosanya pada bulan yang lain .”


Oleh sebab keampunan dan pembebasan dari api neraka itu diperoleh rentetan dari ibadah puasa dan solat yang dilakukan pada bulan Ramadhan, maka setelah sempurna tempoh dan bilangan puasa sebulan Ramadhan, Allah memerintahkan pula supaya membesar dan mensyukurinya. Firman Allah S.W.T. :


ولتكملوا العدة ولتكبروا الله على ما هدىكم ولعلكم تشكرون البقرة: ١٨٥


“dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.” [ Surah Al-Baqarah : Ayat 185 ]


Iaitu, bersyukur kepada Allah atas nikmat dan taufiq dapat berpuasa, pertolongan yang diberikan, keampunan yang dikurniakanNya dan pembebasan dari neraka. Maka kesyukuran kepada Allah yang mengurniakan nikmat-nikmat tersebut dilakukan dengan mengingatiNya, mensyukuriNya dan bertaqwa kepadaNya dengan sebenar-benar ketaqwaan. Ibnu Mas’ud menterjemahkan makna ‘bertaqwa kepadanya dengan sebenar-benar ketaqwaan’ dengan maksud mentaatiNya dan tidakmenderhaka kepadaNya, mengingatiNya dan tidak lupa kepadaNya, mensyukurinya dan tidak kufur kepadaNya.


Untuk akhirnya saya selaku Lajnah Dakwah Dan Pembangunan Insan, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir ingin mengucapkan kepada anak-anak Wilayah Persekutuan yang berada di Mesir ini dengan ucapan ‘Selamat Menunaikan Ibadah Puasa’ , semoga Allah S.W.T menerima segala amal ibadah kita dan semoga Allah S.W.T. mengampunkan dosa kita yang telah lalu. Saya akhiri kalam saya ini dengan bait syair yang berbunyi :


لَيْسَ عَيْدُ الْمُحِبِّ قَصْدَ الْمُصَلَّى وَانْتِظَــــــــــــــــارَ الأَمِيْرِ وَالسُّلْطَانِ

وَإِنَّـمَا الْعَيْدُ أَنْ تَكُوْنَ لَـــــــــــدَى اللهِ كَرِيْـمًــــــــــــا مُقَرَّبــًــــــــا فِي أَمـَـــــــــــــانٍ


“Bukanlah hari Raya bagi sang kekasih pergi solat di masjid (pada hari Raya),

dan menunggu menteri atau sultan;

Tetapi hari Raya yang sebenar ialah kamu berada di sisi Allah

Yang Maha Mulia dan hampir denganNya dalam keadaan aman tenteram.”



Al-Faqir Ilallah Al-Qawiy :

Muhammad Firdaus Bin Abdul Hadi

Ketua Lajnah Dakwah Dan Pembangunan Insan

Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2010/2011

17 Ogos 2011 Masihi bersamaan 17 Ramadhan 1432 Hijriah

8.30 pagi - 10.30 pagi



Comments

Popular posts from this blog

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) AMALI ]