Ceramah Nuzul al-Quran Dan Iftar Jamaie Gabungan REIDHWAN'12 Dan IHRAM


KAHERAH, 5 Ogos 2012 – Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2011/2012 (BKAWM) di bawah program Ramadhan and Eidul Fitri Celebration 2012 (REIDHWAN`12) dengan kerjasama Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) telah menganjurkan Ceramah Nuzul al-Quran dan Iftar Jamaie di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP).

Majlis tersebut telah dirancang lebih awal oleh komuniti pelaksana REIDHWAN`12 dan Ihya Ramadhan (IHRAM) PERUBATAN. Unit Persiapan dan Teknikal (U-SET) REIDHWAN`12 dengan bantuan ajk dari IHRAM mempersiapkan kelengkapan dewan bermula jam 2.00 petang. Pada masa yang sama Unit Seliaan VIP dan Jamuan (U-SERVE), juga dengan bantuan dari ajk IHRAM memulakan kerja-kerja memasak untuk jamuan Iftar Jamaie.


Pengisi jemputan khas, Syeikh Rohimuddin An-Nawawi Al-Bantani memulakan ceramah Nuzul al-Quran sejurus selepas tiba di ARWP sekitar jam 5.00 petang. Syeikh menyampaikan ceramah yang sarat dengan pengisian rohani. Beliau berjaya menyalurkan penghayatan kepada mahasiswa yang hadir dengan cara penyampaian yang tenang dan menarik.

Kehadiran mahasiswa pengajian Islam dan sains kesihatanyang hadir dalam majlis tersebut dianggarkan seramai 100 orang. Turut hadir ialah Yang Dipertua BKAWM, saudara Mohd Mawardi bin Mohd Zain, Badan Pengurus serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) angkat PMRAM Cawangan Wilayah Persekutuan.


Saudara Mohd Mawardi mewakili REIDHWAN'12 menyampaikan cenderahati penghargaan kepada Syeikh Rohimuddin dan majlis ditangguhkan sekitar jam 6.30 petang bagi memberi laluan kepada semua untuk berbuka puasa ringan dan solat Maghrib. Solat Maghrib diimamkan oleh saudara Muhammad Firdaus bin Abdul Hadi yang juga merupakan Setiausaha Agung BKAWM. Selesai solat Maghrib, majlis diteruskan dengan Iftar Jamaie.


Majlis tamat dan bersurai sekitar jam 8.00 malam. Komuniti pelaksana REIDHWAN’12 dan IHRAM sekali lagi bekerjasama untuk mengemas semula semua kelengkapan yang telah digunakan. Pihak REIDHWAN’12 mengucapkan terima kasih kepada IHRAM atas penganjuran bersama dan berharap agar ukhuwah dan sinergi yang terbina sepanjang kerjasama ini akan berterusan dan terus utuh.

‘ Amalan Dihayati, Ganjaran Dikongsi, Kegembiraan Dirai ’
‘ Kesatuan Ukhuwan Pemangkin Kecemerlangan ’

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]