Takbir Bergema Di ARWP

KAHERAH, 18 Ogos 2012 - Asrama Rumah Wilayah Persekutuan bergema dengan laungan dan bacaan takbir oleh anak-anak Wilayah Persekutuan bagi meraikan kehadiran Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada 1 Syawal 1433 Hijrah bersamaan 19 Ogos 2012. Malam Gema Takbir kali ini adalah di bawah anjuran program Ramadhan and Eidul Fitri Celebration 2012 (REIDHWAN’12)

Persiapan Malam Gema Takbir dan gotong-royong sempena Aidilfitri telah diselia oleh Unit Persiapan dan Teknikal (U-SET) REIDHWAN’12 dengan kerjasama Unit Perumahan dan Rehlah BKAWM. Gotong-royong bermula seawal jam 4.00 petang dan selesai sekitar jam 6.30 petang. Seterusnya ahli dijamu dengan iftar jamaie yang ditaja oleh Ahli Jawatankuasa Tadbir BKAWM.

Selepas solat Isyak berjemaah, Malam Gema Takbir dimulakan dengan bacaan takbir oleh semua penghuni ARWP. Selesai bertakbir, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz dan pertandingan yang dianjurkan oleh Unit Promosi dan Tugas Khas (U-TAG) REIDHWAN’12 sepanjang Ramadhan. Hadiah telah disampaikan oleh Pengurus ARWP, Encik Ahmad Yahya bin Mohd Haniff.

Seterusnya majlis diteruskan dengan tayangan video perutusan Hari Raya Aidilfitri oleh Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan video-video program. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Badan Pengurus angkat PMRAM Cawangan Wilayah Persekutuan, saudara Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin dan pemangku Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) angkat, saudari Siti Nurbalqis binti Baharuddin.

Majlis ini dijalankan bertujuan untuk menyemai rasa kesyukuran dalam diri setiap ahli atas kesempatan dari Allah SWT yang masih lagi memberikan nikmat Iman dan Islam yang membolehkan setiap ahli meraikan kedatangan Aidilfitri setelah sebulan menjalani tarbiah Ramadhan. Penganjuran majlis ini bersesuaian dengan objektif kedua REIDHWAN’12 iaitu ‘Meraikan perayaan dengan budaya dan peradaban Islam’.

“Alhamdulillah kita berjaya mengadakan Malam Gema Takbir dan insyaAllah pada 3 Syawal nanti kami menjanjikan pelbagai aktiviti menarik sempena Sambutan Aidilfitri REIDHWAN’12. Dan insyaAllah bagi setiap aktiviti yang dijalankan, kami akan memastikan ia bersesuaian dengan kesemua tiga objektif REIDHWAN’12 ” ujar Timbalan Pengarah 2 REIDHWAN’12, saudari Dalia binti Zaidi.

Majlis Malam Gema Takbir tamat sekitar jam 10.30 malam. Sebelum bersurai, tetamu dan ahli yang hadir dihiburkan dengan lagu raya yang dimainkan sambil dihidangkan dengan menu yang disediakan khas oleh Unit Seliaan VIP dan Jamuan (U-SERVE) REIDHWAN’12.

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]