Sambutan Aidilfitri REIDHWAN'12 Meriah


KAHERAH, 21 Ogos 2012 - Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP) meriah pada Syawal ketiga dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) di bawah program Ramadhan and Eidul Fitri Celebration (REIDHWAN’12). Sambutan ini diadakan khusus bagi semua anak-anak Wilayah Persekutuan meraikan lebaran di perantauan .

Persiapan dewan dan gotong-royong memasak juadah dimulakan seawal petang 20 Ogos. Hiasan serta persiapan teknikal dan audio telah diselia oleh Unit Persiapan dan Teknikal (U-SET) REIDHWAN’12 . Manakala gotong-royong memasak pula telah diketuai oleh Unit Seliaan VIP dan Jamuan (U-SERVE). Ahli Jawatankuasa Tadbir, AJKT Hal Ehwal Wanita Islam, komuniti pelaksana lain dan sebahagian ahli turut sama membantu unit-unit yang terlibat.

Sambutan Aidilfitri REIDHWAN’12 bemula sekitar jam 10.00 pagi dengan aktiviti dalam dewan. Ikhwah telah ditempatkan di Dewan Sri Putra manakala akhawat pula ditempatkan di Perpustakaan Darul Madani. Pelbagai pertandingan menarik telah dijalankan antaranya berbalas pantun, lukisan kreatif dan regu. Unit Pengisian Ibadah dan Thaqafah (U-GIFT) yang bertanggungjawab menjalankan pertandingan telah dipuji oleh ahli yang hadir atas kreativiti dan pemilihan pertandingan yang menarik.

Selepas solat Zohor berjemaah, Sambutan Aidilfitri REIDHWAN’12 diteruskan dengan rumah terbuka. Antara menu menarik yang dihidangkan ialah nasi impit, kuah kacang, rendang ayam dan lontong. Anak-anak Wilayah Persekutuan dari pelbagai cawangan hadir untuk bersama memeriahkan rumah terbuka tersebut. Turut hadir Presiden, Badan Pengurus dan AJKT HEWI Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan Yang Dipertua serta raisah taakhi PMRAM Cawangan Wilayah Persekutuan.


Rumah terbuka tamat sekitar jam 4.30 petang bagi memberi laluan kepada komuniti pelaksana mengemas dewan dan membuat persiapan untuk Majlis Perasmian Penutup REIDHWAN’12 pada sebelah malam. Majlis Perasmian Penutup REIDHWAN’12 dimulakan selepas solat Isyak berjemaah. Tujuan majlis ini dijalankan adalah bagi menutup secara rasmi program REIDHWAN’12 yang telah lebih sebulan menjalankan pelbagai aktiviti bermanfaat untuk anak-anak Wilayah Persekutuan.

Majlis Perasmian Penutup dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis, pengarah REIDHWAN’12, saudara Muhd Bazli bin Zakaria, YDP BKAWM, saudara Mohd Mawardi bin Mohd Zain dan ucapan perasmian oleh Pengurus ARWP, Encik Ahmad Yahya bin Mohd Haniff. Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah bagi pertandingan-pertandingan yang dijalankan pada sebelah pagi dan penyampaian cenderahati oleh saudara Mohd Mawardi bin Mohd Zain mewakili REIDHWAN’12 kepada perasmi.

Seterusnya majlis dikendalikan dengan lebih santai oleh saudara Muhd Bazli bin Zakaria dan pasangannya, saudari Nur Hidayah binti Mohd Rafe. Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan Tabung Kebajikan BKAWM yang disampaikan kepada beberapa orang ahli yang layak oleh Ketua Lajnah Kebajikan, saudara Muhammad Syazwan bin Hamzah dan Timbalan Lajnah Kebajikan, saudari Siti NorHalimah binti Saleh.

Majlis diteruskan pula dengan cabutan bertuah, persembahan nasyid dari kumpulan nasyid BKAWM, Paradise, persembahan sketsa gabungan tenaga komuniti pelaksana REIDHWAN’12 dan AJKT BKAWM serta tayangan video perjalanan selama lebih sebulan REIDHWAN’12. Antara yang menarik perhatian dan mendapat pujian daripada ahli pada malam tersebut ialah pengendalian majlis oleh saudara Muhd Bazli dan isterinya saudari Nur Hidayah dan persembahan sketsa yang kreatif dan menarik.


Majlis Perasmian Penutup REIDHWAN’12 diakhiri dengan tayangan video nasihat sempena Hari Raya Aidilfitri. Majlis tamat sekitar jam 11.15 malam. Sebelum bersurai, ahli yang hadir dihidangkan dengan jamuan. Barisan komuniti pelaksana REIDHWAN’12 berbangga kerana program yang berjalan selama lebih sebulan ini berjalan lancar dan mengucapkan terima kasih kepada semua ahli yang turut sama menjayakan dan memeriahkan REIDHWAN’12

Barisan kepimpinan BKAWM sesi 2011/2012 mngucapkan jutaan terima kasih dan syabas kepada semua komuniti pelaksana REIDHWAN’12 kerana berjaya mengendalikan aktiviti-aktiviti menarik dan bermanfaat bermula Ramadhan hingga Aidilfitri. BKAWM juga mengucapkan terima kasih kepada anak-anak Wilayah Persekutuan atas kebersamaan dan sokongan dalam program REIDHWAN’12. Semoga kesatuan anak-anak Wilayah Persekutuan terus utuh di bawah naungan BKAWM.





Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]