[ KALAM MANTAN NAIB PENGERUSI HEWI BKAWM SESI 2010/2011 ]
[ KALAM MANTAN NAIB PENGERUSI HEWI BKAWM SESI 2010/2011 ]
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Alhamdulillah…marilah sama-sama kita mengatur syukur kepada Allah SWT atas inayah dan iradat-Nya, selawat dan salam buat junjungan mulia nabi kita Muhammad SAW, dapatlah kita mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan BKAWM kali ke-23 secara bersemuka di Dewan Asrama ARWP ini, terima kasih atas peluang yang diberikan oleh jawatankuasa panitia MAT, semoga kita semua sentiasa berusaha untuk menjadi hamba Allah yang bertakwa.
Sidang muktamar yang dirahmati,
Ruang muhasabah yang kita buka pada hari ini, diharapkan dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dan kita tidak boleh hanya bijak melontarkan idea tetapi mestilah rajin, tekun dan istiqamah dalam melaksanakan gerak kerja. Saya juga mengajak semua para perwakilan dan pemerhati supaya memanfaatkan mesyuarat ini sebagai wadah untuk kita berbahas mencari idea bernas sambil bermuhasabah untuk melihat kekuatan dan kelemahan yang perlu dibaiki agar kesatuan kita lebih berkesan dan produktif.
Firman Allah dalam surah as-Sajdah ayat 24, maksudnya: “Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.”
Sidang muktamar yang dihormati,
Manfaatkan peluang dan hikmah keberadaan kalian semua di bumi Mesir ini, kerana medan perjuangan yang sebenarnya ialah apabila pulang ke tanah air kelak. Selain kebolehan untuk menyampaikan ilmu, memiliki pengetahuan yang luas dan bijak, kita juga perlu berkebolehan untuk bersosialisasi dengan baik bersama masyarakat. Di mana untuk merealisasikan tujuan dan amanah yang berat ini (mewarisi tugas dakwah para rasul), tidak ada cara dan jalan yang lebih sempurna melainkan dengan menggabungkan diri dalam jemaah (organisasi). Keutamaan berjemaah ini pernah ditekankan oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam usaha memenuhi kerangka dakwah secara menyeluruh.
Imam Syafie rahimahullah dalam syairnya telah menggariskan syarat-syarat untuk menuntut ilmu seperti berikut:
أخي لن تنال العلم إلا بسته ؛ ذكاء وحرص واجتهاد وبلغة وصحبة أستاذ وطول زمان
“Saudaraku, kamu sekali-kali tidak berupaya mencapai ilmu kecuali dengan enam perkara ; cerdik, aktif mencari ilmu, tekun berusaha, kehidupan yang memadai, mengakrabi guru (ilmuwan) dan masa yang panjang.”
Teruskan usaha, sabar serta kuatkan semangat dan jati diri dalam menghadapi ujian dan cabaran, sesungguhnya Allah SWT telah memilih kalian semua untuk berada di bumi Mesir ini.
Akhirnya, semoga perjalanan Mesyuarat Agung Tahunan kali ini daripada awal hingga akhirnya dipandu dan diberkati Allah SWT.
Siiru ala barakatillah,
Ustazah Haizun Hasni binti Mohamad Azmi
Pemegang Amanah Akaun BKAWM
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,
Malaysia.
Comments
Post a Comment