[ KALAM PIMPINAN: الاستمرار على العمل ]




الحمد للّه رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين


Bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia dan inayah-Nya, Allah masih rezekikan kita nikmat hidup pada hari ini. Selawat dan salam ke atas junjungan Baginda Nabi Muhammad SAW kerana dengan berkat perjuangan baginda, dapat lagi kita merasai dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat iman dan nikmat Islam. 


Alhamdulillah, pada kali ini Allah mengizinkan saya untuk berkongsi sedikit dengan para pembaca semua tentang satu tajuk yang seringkali kita dengar iaitu الاستمرار على العمل. 


Kata orang, melakukan amal tidak menunggu kita pandai baru nak beramal.


Beramal juga tidak menanti kita memiliki sesuatu yang banyak seperti bersedekah apabila dah kaya.


Beramallah di setiap kesempatan yang ada. Rasulullah SAW berpesan;


عن عائشة قالت قال رسول الله صلى الله عليه وسلم أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ


Daripada Aisyah r.a. dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah taala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.” (HR. Bukhari, no. 6465) Status: Hadis Sahih


Amalan yang paling dicintai Allah terhadap hambanya adalah yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit. Contohnya, bersedekah RM 1 setiap hari, atau solat sunat duha setiap hari. Pastikan diri kita ini ada satu amalan yang kita amalkan setiap hari. 


Imam Nawawi mengatakan, ”Ketahuilah bahawa amalan yang sedikit namun berterusan dilakukan, itu lebih baik dari amalan yang banyak namun cuma sesekali saja dilakukan.


Sahabat sahabiah yang saya kasihi, 

Dalam hadis riwayat Muslim, 

al-Qomah pernah bertanya pada Ummul Mukminin ’Aisyah: ”Wahai Ummul Mukminin, bagaimanakah Rasulullah SAW beramal? Apakah baginda mengkhususkan hari-hari tertentu untuk beramal?” ’Aisyah menjawab,


لاَ. كَانَ عَمَلُهُ دِيمَةً وَأَيُّكُمْ يَسْتَطِيعُ مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَسْتَطِيعُ


Maksudnya: ”Tidak. Amalan beliau adalah amalan yang berterusan (rutin). Siapa saja di antara kalian pasti mampu melakukan yang baginda lakukan.” (HR Muslim no. 783)


Amalan sedikit yang menjadi rutin akan memudahkan amalan ketaatan, zikir, mendekatkan diri pada Allah.


Niat dan keikhlasan dalam beramal juga akan membuat amalan tersebut diterima Allah.


“Amalan sedikit yang rutin dilakukan akan memberikan ganjaran yang besar dan berlipat ganda dibandingkan dengan amalan yang banyak namun sesekali saja dilakukan.” (Syarh An Nawawi ala Muslim, 3/133)


Para pembaca yang dirahmati Allah sekalian, 

Amalan yang sedikit tetapi berterusan juga akan mencegah masuknya virus ”futur” yang bermaksud penat atau jemu untuk beramal. Rasulullah SAW bersabda:


وَلِكُلِّ عَمِلٍ شِرَّةٌ وَلِكُلِّ شِرَّةٍ فَتْرَةٌ فَمَنْ يَكُنْ فَتْرَتُهُ إِلَى السُّنَّةِ فَقَدِ اهْتَدَى وَمَنْ يَكُ إِلَى غَيْرِ ذَلِكَ فَقَدْ ضَلَّ


”Setiap amal itu pasti ada masa semangatnya. Dan setiap masa semangat itu pasti ada masa futur (malasnya). Barang siapa yang kemalasannya masih dalam sunnah (petunjuk) Nabi SAW, maka dia berada dalam petunjuk. Namun barang siapa yang keluar dari petunjuk tersebut, sungguh dia telah menyimpang.” (HR Thobaroni dalam al-Mu’jam al-Kabir) Status: Sahih


Menurut Ibnu Rajab ”Balasan dari amalan kebaikan adalah amalan kebaikan selanjutnya. Barang siapa melaksanakan kebaikan lalu melanjutkan dengan kebaikan lainnya, maka itu adalah tanda diterimanya amalan yang pertama. Begitu pula barang siapa yang melaksanakan kebaikan, namun dilanjutkan dengan amalan keburukan, maka itu adalah tanda tertolaknya atau tidak diterimanya amalan kebaikan yang telah dilakukan.” (Latoif al-Maarif, hal. 394)


Ayuhlah kita istiqamah melaksanakan amal soleh walaupun ia sedikit.


Disediakan oleh:

ANIS FITRIYAH BINTI LATFI AMIR,

Timbalan Lajnah Kemasyarakatan, Sukan dan Rehlah BKAWM sesi 2021


"Memperkukuh Keilmuan, Memperkasakan Kebajikan"

"BKAWM Keluarga Kita"

"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]