Berakhirnya Sebuah Kepimpinan Dan Malam Anugerah Jasamu Dikenang


KAHERAH, 17 September – Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kali ke-13 dan Majlis Anugerah Jasamu Dikenang telah berlangsung semalam, berakhirnya saf kepimpinan Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) bagi sesi 2010/2011 .
Program yang diadakan saban tahun ini juga bertujuan untuk melahirkan bakat-bakat baru dalam kalangan anak-anak Wilayah Persekutuan dalam berorganisasi selaras dengan yang dikehendaki Islam.

Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan aluan pengarah program, Saudara Muhammad Nazmi bin Abdul Samat yang menekankan salah satu objektif program iaitu mengeratkan kesatuan dan ukhwah sesama ahli BKAWM sendiri.
Turut sama memberi ucapan adalah Saudara Mohammad Adlly bin Mohammad Bokhari, Yang DiPertua BKAWM sesi 2010/2011.

Dalam ucapannya, beliau tidak lupa untuk menyelitkan kata-kata semangat untuk barisan kepimpinan sesi baru dan amat berharap agar mereka dapat melaksanakan amanah yang telah digalas dengan sebaik mungkin.

Ucapan perasmian pula telah disempurnakan oleh Saudara Zuhaili bin Saiman, Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Paluan gong yang bergema sebanyak tiga kali menjadi simbolik perasmian program kali ini.



Sesi persidangan telah dipengerusikan oleh Saudara Mohammad Adlly dan berjalan dengan lancar dimulai dengan pengesahan minit mesyuarat, seterusnya laporan tahunan setiap jabatan, lajnah dan unit, laporan kewangan tahunan dan perbahasan usul.
Sesi persidangan telah berjalan dengan cemerlang dengan adanya keterlibatan ahli secara aktif sepanjang persidangan tersebut.

Persidangan tamat pada jam 4 petang dengan ucapan penggulungan oleh pengerusi mesyuarat.



Bagi merealisasikan objektif terakhir program iaitu meraikan ahli Wilayah Persekutuan yang komited terhadap aktiviti BKAWM, Majlis Anugerah Jasamu Dikenang telah diadakan pada sebelah malam.

Majlis dirasmikan oleh Yang DiPertua BKAWM sesi baru, Saudara Mohammad Mawardi bin Mohd Zain dengan bacaan ummul kitab diikuti acara meletupkan belon sebagai gimik perasmian.

Sebanyak 15 penerimaan anugerah telah dipilih dalam kalangan siswa dan siswi bagi menghargai sumbangan mereka yang telah banyak mencurahkan jasa dan bakti dalam memanifestasikan objektif penubuhan BKAWM sendiri.



Penganugerahan tertinggi, AnugerahTokoh BKAWM telah disandang oleh Saudari Nawwar bt Hashim, ikon yang tidak asing lagi dalam kalangan ahli mahupun di peringkat luar atas komitmen dan kesetiaan beliau terhadap BKAWM yang tidak berbelah bagi sehingga ke hari ini.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid hasil paduan suara dari kumpulan El-Wadi serta Paradise. Acara cabutan bertuah turut diadakan sebagai selingan dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Majlis diakhiri dengan jamuan makan malam.

Program demi program dijalankan setiap tahun tidak lain dan tidak bukan bagi mengutuhkan ukhwah yang terbina dalam jiwa setiap ahli kerana dengan unggulnya ukhwah akan terasa manisnya bersaudara sesama Islam. Semoga dari setiap program yang dijalankan akan mendapat rahmat dan naungan daripada Allah SWT.

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]