SOLAT BERJEMAAH~DI MANAKAH KITA???


Bismillahirrahmanirrahim.....

Dapat diperhatikan secara jelas, bagaimana suasana bumi anbia’ mutakhir ini sedang dikepong oleh ‘virus-virus’ yang disebar dari segenap arah sama ada dari kalangan mahasiswa dirasat mahupun mahasiswa perubatan. Contohnya: berleluasanya ikhtilat tidak syarie’ dalam kalangan mahasiswa-mahasiswi; penyalahgunaan teknologi; dan pemakaian yang tidak menggambarkan identiti pelajar muslim. Gejala-gejala yang mengaibkan demikian kian ketara dan mendapat perhatian serius Unit Hisbah dan Biah Solehah setiap kawasan. Justeru itu, untuk edisi kali ini, Unit Biah Solehah LDPI akan menfokuskan tindakan yang mesti diambil oleh kita selaku Mahasiswa/Mahasiswi Islam khususnya bagi memelihara biah solehah yang sedia ada agar ia dapat dirasai oleh generasi akan datang.

Sedarlah! Mahasiswa/Mahasiswi Islam sekalian, suasana biah solehah tidak akan tercemar selagi mana kita semua betul-betul menjaga hubungan dengan-NYA. Sesungguhnya memang terlalu sukar untuk meletakkan Allah dan Islam di atas dari segalanya. Contoh yang paling dekat dengan kehidupan kita adalah komitmen terhadap solat jemaah; yang menjadi wadah seseorang hamba untuk berhubung dengan Pencipta. Ia adalah satu perkara yang tidak patut dipandang remeh jauh sekali dipandang sepi tanpa sebarang reaksi. Ya, kadang-kadang kita terleka sejenak, masing-masing sibuk dan penat dengan tanggungjawab ilmu, aktiviti persatuan, mesyuarat demi mesyuarat, melayari internet dan sebagainya sehinggakan tidak ihtimam dengan seruan “Hayya ‘alas solah, Hayya ‘alal falah” dari surau mahupun masjid berdekatan. Situasi yang tentunya sangat memilukan hati baginda Rasulullah s.a.w andaikata baginda ada bersama di saat kita tidak mengendahkan laungan azan gara-gara sibuk dengan urusan duniawi tanpa kita sedikitpun menghayati keadaan baginda menerima amanah ibadah solat semasa peristiwa isra’ mikraj.

Awas! Mahasiswa/Mahasiswi sekalian, andaikata tanpa disedari kitalah yang menjadi asbab pada pencemaran biah solehah di sini. Fikirlah dan bermuhasabahlah sejenak dan tanyalah pada diri: “adakah kita telah menjadi ‘mahasiswa/mahasiswi yang betul-betul muslim’ dari segi ilmu pengetahuan, fikiran, hati dan perasaan? Sudahkah terbina peribadi muslim dalam diri kita? Sejauh manakah komitmen terhadap solat jemaah dalam diri, ahli bait dan teman-teman kita? Berapa kali dalam seminggu kita panjangkan langkah untuk solat berjemaah di surau atau masjid yang berdekatan? Adakah persediaan ke kuliah jauh lebih baik dari persediaan untuk solat di surau atau masjid?” Sayugianya wahai Mahasiswa/Mahasiswi Islam sekalian, sesiapa yang tidak menghayati solat, ia tidak mampu menjadi benteng diri kita semua daripada melakukan kemungkaran. Andai kita masih lagi melakukan maksiat, muhasabah dan perbaikilah solat kita. Persembahkanlah sesempurna mungkin amalan solat kita pada-NYA dengan cara solat berjemaah. Langkah pertama, hidupkan suasana solat berjemaah di rumah masing-masing. Kemudian, di surau dan masjid. Buatlah dengan penuh penghayatan kerana hanya jiwa yang betul-betul ikhlas dapat merasai kelazatan solat berjemaah.

“Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah Tuhan semesta alam.”
(Sūrah al-An`ām, 6: 162)

Akhirnya! wahai Mahasiswa/Mahasiswi Islam sekalian, sesungguhnya setiap peringatan di sekeliling kita yang mengajak ke arah kebaikan merupakan salah satu dari campakan hidayah ALLAH S.W.T dalam diri kita. Jadikan ia sebagai pemangkin buat diri kita untuk bertindak dan berubah ke arah yang lebih baik. Moga-moga dengan kesedaran dan usaha yang kita lakukan dapat membina masyarakat yang hidup dalam biah yang solehah dan seterusnya menjadikan hidup kita bermakna menuju-NYA. Amen. Allahu Ta’ala ‘Alam.

Disediakan Oleh:
Unit Biah Solehah Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan (LDPI),
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2010/2011.

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]