Kalam Pimpinan - Persediaan Menghadapi Peperiksaan

Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, selaut rasa syukur dipersembahkan ke hadrat Allah SWT atas nikmat yang tidak terkira sehingga ke detik ini. Selawat dan salam buat insan agung, Nabi Muhammad SAW, para sahabat, serta para pencinta dan pejuang yang terus thabat dalam menegakkan agama Allah SWT di muka bumi.

Firman Allah SWT,
Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah, dengan harta dan jiwa mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah. Mereka itulah orang-orang yang memperoleh kemenangan. At-Taubah : 20

Pelbagai fasa telah kita lalui sepanjang sesi pengajian ini. Menghadiri kuliah dari pagi hingga ke petang hari, ditambah dengan kelas praktikal, malah tidak kurang juga yang gigih ke kelas-kelas tutorial bagi menambah ilmu di dada. Masing-masing berhempas-pulas mencari dan menagih mutiara ilmu daripada guru-guru, tidak kira yang berada dalam jurusan Pengajian Islam mahupun Sains Kesihatan.

Kini, tibalah masanya segala ilmu yang telah diterima untuk melalui fasa penilaian, dalam erti kata lain, peperiksaan. Dalam fasa inilah para pelajar akan diuji dengan pelbagai cabaran. Cabaran emosi, cabaran kesihatan, cabaran rohani dan bermacam-macam lagi cabaran mula merajai dan menggoyahkan keyakinan yang tertanam dalam diri. Justeru, adalah dinasihatkan agar para mujahid dan mujahidah yang berjuang di bumi anbiya’ ini kembali menelaah dan memahami niat serta tujuan asal perjuangan ini agar tidak tersungkur di pertengahan jalan.

Dalam menghadapi fasa imtihan ini, Unit Pendidikan dan Pengetahuan telah mengambil inisiatif melancarkan sebuah kempen yang diberi nama TETRA , singkatan kepada ‘Target, Transform, Achieve’. TETRA merupakan kempen yang dijalankan bertujuan membantu ahli-ahli Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir menjana kecemerlangan serta keyakinan dalam skop akademik. Tiga objektif utama dalam TETRA termasuklah meningkatkan kehadiran ahli ke kuliah, menjayakan ‘EXCELMATE’(pembelajaran berkumpulan di peringkat pelajar Perubatan) serta melestarikan budaya membaca.

Bukan itu sahaja, bagi menjayakan usul kedua Mesyuarat Agung Tahunan yang lalu, sebuah jawatanjuasa khas telah ditubuhkan bagi mengkaji dan menyusun strategi dalam meningkatkan kecemerlangan ahli. Jawatankuasa yang diberi nama Badan Bertindak Selamatkan Akademik ini diketuai oleh Ustaz Hairul Nizam bin Mat Hussin.

Dalam melahirkan individu pelajar yang cemerlang dalam segenap segi, pencapaian yang menjadi kayu ukur bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi juga pencapaian ibadah, pencapaian iman serta pelbagai lagi aspek yang perlu dipenuhi. Justeru, penerapan nilai-nilai tambah perlu seiring dan selari dengan percambahan ilmu. Bertepatan dengan tema pembawaan kepimpinan sesi ini iaitu Kesatuan Ukhuwah Pemangkin Kecemerlangan, adalah diharapkan ahli-ahli Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir saling memantapkan hubungan silaturrahim serta mengeratkan ukhuwah yang telah sekian lama terjalin dalam proses menghadapi fasa imtihan yang sudah mula menjelang tidak lama lagi.

Akhir bicara, saya mewakili Unit Pendidikan dan Pengetahuan sesi 2011/2012 mengucapkan salam perjuangan buat sahabat-sahabat yang bakal bertempur di dalam medan peperiksaan ini. Salam imtihan. Bittaufiq wannajah.

‘Kesatuan Ukhuwah Pemangkin Kecemerlangan’

Rafida binti Haniffa
Timbalan,
Unit Pendidikan dan Pengetahuan,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir,
Sesi 2011/2012

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]