Ribat Agenda Tarbiah Ruhiyah BKAWM

13 April 2012, KAHERAH - BKAWM meneruskan lagi agenda pentarbiahan rohani ahli dengan meneruskan aktiviti mingguan iaitu Ribat BKAWM yang dikelolakan oleh Unit Surau, Lajnah Dakwah Dan Pembangunan Insan BKAWM yang dijalankan pada setiap malam Jumaat. Ribat dimulakan dengan bacaan surah Yasin antara waktu Maghrib dengan Isyak pada malamnya.

Ribat diteruskan pada keesokan harinya dengan aktiviti Qiamullail dan diteruskan dengan solat fardu Subuh berjemaah. Aktiviti pengisian rohani diteruskan lagi dengan bacaan zikir munajat beramai-ramai sebelum majlis tazkirah dimulakan. Ahli BKAWM amat bertuah pada Ribat kali ini kerana pentazkirah telah diundang khas daripada BKAN Taakhi bagi BKAWM iaitu wakil daripada Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK).

Pentazkirah bernama Saudari Fasihah yang dijemput khas ini merupakan salah seorang pimpinan (Ketua Unit Perumahan Dan Rehlah) MKKK sesi ini. Tajuk tazkirah pada Ribat kali ini juga tepat dengan keadaan dan situasi kini. Bersesuaian dengan tarikh peperiksaan yang kian hampir, beliau membawa tazkirah yang berkisar mengenai Usaha, Doa dan Tawakal.

Pelbagai pengajaran yang dapat ahli BKAWM perolehi daripada tazkirah kali ini. Antara yang beliau sebutkan ialah “Dalam hidup ini banyak rahsia, kita tidak tahu masa hadapan kita, apa yang akan terjadi kepada kita. Dari situ perlu untuk kita menyerahkan segala ketentuan adalah ditetapkan oleh Allah s.w.t.”

Ribat diakhiri dengan jamuan ringan yang disediakan oleh penganjur dan hasil sumbangan daripada ahli sendiri.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada wakil daripada MKKK di atas kesudian untuk meluangkan sedikit masa untuk bersama dengan anak-anak Wilayah Persekutuan yang mana MKKK adalah BKAN Taakhi bagi BKAWM pada sesi ini. Juga terima kasih kepada semua yang turut menjayakan Ribat BKAWM pada kali ini. Semoga dengan kerjasama yang telah diberi dapat mengukuhkan lagi ikatan antara MKKK dengan BKAWM khususnya dan antara ahli-ahli umumnya.

Jalinan sebegini yang perlu untuk diterapkan antara BKAN agar kesatuan kita sentiasa kukuh dan erat serta diberkati oleh Allah s.w.t, bertepatan dengan firmanNya : “Wahai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari kaum lelaki dan kaum wanita, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal sesama kamu.” (al-Hujurat : ayat 13).

Marilah sama-sama kita terus istiqamah dengan Ribat BKAWM. Moga-moga segala amal ibadah kita, segala gerak kerja kita, segala tindak-tanduk kita sentiasa didorongi hidayah Allah s.w.t. dan dinilai di sisi-Nya selain dapat mengeratkan lagi hubungan sesama kita dengan kita beramal bersama-sama. Semoga bertemu kembali pada Ribat di minggu hadapan.

Wallahu a’lam

Kesatuan Ukhuwah Pemangkin Kecemerlangan

Satu Fikrah Satu Amal

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]