[ BIAH SOLEHAH | ETIKA PERGAULAN ]


IKHTILAT LELAKI VS PEREMPUAN

APA ITU IKHTILAT ?
Pergaulan dalam bahasa Arab disebut sebagai ikhtilat. Ia berasal daripada kalimah “khalata yakhlutu khaltan” (خلط يخلط خلطا), yang bererti bercampur.

Maksud pergaulan (ikhtilat) dalam konteks perbincangan ini ialah bergaul atau bercampur antara lelaki dan perempuan ajnabi (yang sah berkahwin) di satu tempat, iaitu berlaku interaksi dalam bentuk pandang-memandang atau perbuatan di antara seseorang dengan yang lain. Ertinya, ia berlaku antara tiga orang atau lebih. Ia berbeza dengan khalwat yang hanya terdiri daripada dua orang sahaja.

ANTARA ADAB-ADAB PERGAULAN DALAM ISLAM:

1) Hendaklah menjaga pandangan matanya daripada melihat lawan jenis secara berlebihan. Dengan kata lain, perlu dihindarkan berpandangan mata secara bebas.
Rasulullah bersabda: “Wahai Ali, janganlah engkau iringkan satu pandangan (kepada wanita yang bukan mahram) dengan pandangan lain, kerana pandangan yang pertama itu (halal) bagimu, tetapi tidak yang kedua!”. ( Hadis Riwayat Abu Daud)

2) Perlu menjaga aurat masing- masing dengan cara berbusana islami agar terhindar daripada fitnah.

3) Tidak melakukan sesuatu yang dapat mendekatkan diri kita kepada perbuatan zina.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah berkhalwat dengan seorang wanita (tanpa disertai mahramnya) kerana sesungguhnya yang ketiganya adalah syaitan”. ( Hadis Riwayat Ahmad)

4) Tidak bersentuhan kulit lelaki dengan perempuan termasuk bersalaman, sebagaimana yang dikatakan Nabi Muhammad SAW, “Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan wanita”. (Hadis Riwayat Malik, Tirmizi dan Nasa’i)

BATAS-BATAS PERGAULAN ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN YANG DIBOLEHKAN:

1. Pergaulan antara lelaki dan perempuan kerana darurat
Sebagai contoh, situasi di mana seorang perempuan bersendirian dalam satu perjalanan yang mungkin mendedahkannya kepada bahaya. Keadaan ini membolehkan seorang lelaki ajnabi bersama dengannya sekadar untuk membantu dan melindunginya daripada bahaya.
Penjelasan an-Nawawi menyakinkan bahawa pergaulan perempuan dan lelaki ajnabi yang dikategorikan sebagai darurat, atas tujuan memberikan perlindungan atau menyelamatkan perempuan terbabit daripada bahaya adalah diharuskan dengan syarat tidak ada tujuan-tujuan lain. Hukum ini adalah satu pengecualian daripada hukumnya yang asal iaitu haram.

2. Pergaulan antara lelaki dan perempuan kerana keperluan (HAJAT)

Antara keperluan-keperluan syar’ie:

a. Pergaulan antara lelaki dan perempuan untuk mengurus muamalah maliyah (urusan harta)
*Pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bertujuan seperti jual beli dan aktiviti transaksi lain dibolehkan kerana tabiat urusan jenis ini memerlukan berlaku interaksi di antara dua pihak sebelum berlaku akad. Pergaulan semasa  muamalah maliyah (urusan harta) dibolehkan dengan syarat menjaga batas-batas syarak seperti berpakaian menutup aurat, menundukkan pandangan dan percakapan biasa.

b. Pergaulan antara lelaki dan perempuan semasa bekerja
* Pergaulan ini dibolehkan dengan syarat-syarat kedua-dua pihak menjaga batas-batas Syarak seperti berpakaian menutup aurat, menundukkan pandangan, percakapan biasa yang tidak mengandungi unsur-unsur fitnah dan tidak berkhalwat.

c. Pergaulan antara lelaki dan perempuan semasa menjadi saksi
* Seperti perempuan yang harus menjadi saksi dalam kes-kes harta dan hak-haknya.

d. Pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam kenderaan awama
*Dibolehkan atas alasan ianya adalah keperluan yang mendesak. Ia mestilah bertujuan syar’ie seperti bekerja untuk menyara diri atau keluarga, menziarahi keluarga, pesakit dan sebagainya.
*Di samping syarat-syarat di atas, batas-batas syarak dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan perlulah dijaga. Mestilah berpakaian menutup aurat, menundukkan pandangan dan cara percakapan hendaklah berlaku secara biasa dan normal.                

Oleh itu, kita sebagai muslim perlulah menitikberatkan tentang isu ikhtilat, yang mana sekiranya ia tidak mengikut ketetapan syar’ie, maka ia boleh menyebabkan pelbagai kes jenayah yang terjadi seperti mengandung anak luar nikah, lelaki dan perempuan yang bukan mahram bersentuhan tangan dan lain-lain. Sesungguhnya, Saidina Ali pernah berkata: “Jahatnya bumi itu bukan kerana jahatnya orang jahat, tetapi jahatnya orang baik yang berdiam diri”. Jadi, kita perlu mencegah diri kita dan orang sekeliling daripada melakukan sesuatu yang dapat mendekatkan diri kepada zina.



Disediakan oleh: Unit Biah Solehah | Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan BKAWM sesi 2017/2018




Comments

Popular posts from this blog

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) AMALI ]