[ KALAM PIMPINAN: NIKMAT BERSATU ]





[ KALAM PIMPINAN: NIKMAT BERSATU ]

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya kita masih diberi nikmat yang paling besar iaitu nikmat kehidupan. Melalui nikmat kehidupan ini, kita dapat merasai nikmat iman dan Islam. Selawat serta salam ke atas junjungan besar kekasih kita rahmat bagi sekalian alam, Nabi Muhammad SAW, keluarga serta sahabat-sahabat baginda. Semoga kita tergolong daripada kalangan yang dikurniakan syafaat daripada Baginda SAW di akhirat kelak.

Meniti hari-hari di bumi bertuah Ardhul Kinanah ini menjanjikan pelbagai pengalaman, kemanisan, kepahitan serta pelajaran yang memberi erti dan makna kepada kita. Ketika diperkenalkan dengan bumi Mesir ini, kebiasaannya kita akan dikisahkan dengan sirah dan sejarahnya, azimat, takjub dengan kehebatannya serta keistimewaannya yang tiada tolok bandingan. Allah SWT berfirman:

 "ادخلوا مصر إن شاء الله ءامنين"

“Masuklah kamu ke negeri Mesir, insyaAllah kamu dalam keadaan yang aman.”
(Surah Yusuf: ayat 99)

Segala puji bagi Allah, pada sesi pengkuliahan tahun ini, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) menerima kedatangan pelajar-pelajar baharu yang lebih ramai daripada kebiasaannya yang terdiri daripada jurusan Pengajian Islam iaitu seramai 70 orang. Tidak seperti Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) yang lain yang kebiasaannya pada saban tahun menerima kedatangan mahasiswa/wi baharu dengan bilangan yang agak ramai berbanding BKAWM yang sudah terbiasa dengan penghantaran yang sedikit.

Menelusuri perjalanan 20 tahun BKAWM sejak penubuhannya, sememangnya BKAWM selaku organisasi yang menjaga kebajikan anak-anak Wilayah Persekutuan di bumi Mesir ini sudah melalui pelbagai cabaran, dugaan dan pengalaman dalam menjayakan matlamatnya. Tempoh 20 tahun bukanlah satu tempoh yang sekejap. Di dalam tempoh ini BKAWM banyak mengajar penggerak serta pendukungnya akan jerih kepayahan, suka duka dan usaha mereka dalam memastikan keberlangsungan BKAWM ini bukanlah sia-sia, malah merupakan satu gerak kerja amal islami yang menjadi kewajipan setiap individu muslim serta menuju Khilafah Islamiah yang agung seperti dahulu.

Biarpun sudah lali dengan keadaan kekurangan tenaga serta pelapis, BKAWM terus berusaha memastikan momentum dalam menggerakkan organisasi ini sentiasa meningkat serta mampu melahirkan para mahasiswa yang unggul dari sudut pengetahuan dan sosial.

Antara agenda utama yang ditekankan dalam BKAWM ialah kesatuan ukhuwah dan kebersamaan ahli-ahlinya yang juga merupakan salah satu tujuan penubuhan BKAWM iaitu menyatupadu dan mengeratkan hubungan antara seluruh anak-anak Wilayah Persekutuan yang sedang menuntut di Mesir. Hal ini jelas seperti dalam sirah baginda Nabi Muhammad SAW, baginda SAW sangat menekankan perihal ukhuwah dan kesatuan semasa peristiwa hijrah apabila kaum Muhajirin dari Mekah dan Ansar dari Madinah dipersaudarakan atas dasar aqidah Islam yang satu. Malah, elemen ukhuwah juga merupakan salah satu daripada Rukun Baiah yang disusun oleh as-Syahid Imam Hasan al-Banna.

Dan ingatlah firman Allah SWT:

"واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا وذكروا نعمت الله عليكم إذ كنتم أعداء فألف بين قلوبكم فأصبحتم بنعمة إخوانا"

“ Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepada kamu ketika dahulu (masa Jahilyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadikan kamu  kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara “
( Surah Ali Imran: ayat 103 )

Al-Imam al-Qurtubi menafsir tentang ayat ini di dalam al-Jami’ li ahkamil Quran bahawa, “Sesungguhnya Allah SAW memerintahkan penyatuan dan melarang perpecahan kerana sesungguhnya perpecahan merupakan kebinasaan dan al jama’ah (persatuan) merupakan keselamatan”. Beliau juga mengatakan, “maka Allah SAW mewajibkan kita berpegang kepada kitabNya dan sunnahNya serta ketika berlaku perselisihan, kembali kepada keduanya“. Beliau juga menyebut bahawa kita mesti bersatu di atas landasan al-Kitab dan as-Sunnah. Daripada tafsiran ini jelas memberitahu kita bahawa langkah menuju persatuan adalah dengan berpegang kepada kitab Allah dan sunnah Nabi Muhammad SAW, baik dalam keyakinan mahupun perbuatan. Dan jika terjadi perselisihan, maka kembalilah kepada keduanya (Al-quran dan Sunnah).

Sehingga ke hari ini, BKAWM terus utuh berdiri mencurahkan bakti dan menjadi organisasi yang sentiasa memelihara kebajikan anak-anak Wilayah Persekutuan di bumi Mesir ini. Tidak dinafikan BKAWM merupakan antara BKAN yang masih muda, namun hal ini tidak melunturkan fungsinya dalam menjadi organisasi yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi, setaraf dengan organisasi-organisasi pelajar yang lain.

Akhirnya, BKAWM akan sentiasa utuh bersama ahlinya yang tidak jemu menjadi penyokong dan pendukung. Semoga BKAWM sentiasa mendapat pemeliharaan dan rahmat daripada Allah SWT serta dilindungi dari anasir-anasir yang cuba memecahbelahkannya.

BKAWM keluarga kita.

Disediakan oleh:
ZAINUL MUTTAQIN BIN MOHD NIZAM
Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan BKAWM sesi 2017/2018

"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021 ]

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) AMALI ]