[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA PANJI DAKWAH ]






[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA PANJI DAKWAH ]

Assalamualaikum wrh wbt.

Segala puji bagi Allah yang Maha Agung, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan yang mulia, Nabi Muhammad SAW, ikutan sepanjang zaman.

Pada bulan Muharram ini, banyak peristiwa yang dicatatkan di dalam buku-buku sirah berkenaan kebangkitan agama Islam di zaman Rasulullah SAW.

Peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW merupakan satu peristiwa yang sangat penting bagi umat Islam. Peristiwa tersebut merupakan titik tolak kepada perjuangan Islam yang sangat penting di mana generasi awal para sahabat telah menjadikan hijrah sebagai permulaan tahun bagi umat Islam.

Hal ini menandakan bahawa perlu untuk sama-sama kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada sirah Nabi Muhammad SAW ini. Di antara iktibar dan perkara penting yang boleh diambil ialah, golongan pemuda atau belia bekerjasama untuk menegakkan agama Islam di tempat masing-masing.

Antara pemuda-pemuda di zaman Rasulullah SAW yang membantu penghijrahan Nabi SAW ialah

- Saidina Ali bin Abi Talib
- Saidina Abdullah bin Abu Bakar
- Saidina Usamah bin Zaid
- Saidatuna Asma' binti Abu Bakar
- Saidina Amir bin Fuhairah dan banyak lagi.

Dr. Said Ramadhan al-buti menulis di dalam kitabnya berkenaan tentang ketekunan golongan pemuda-pamudi dalam menjayakan hijrah Nabi SAW dari Mekah ke Madinah. Antaranya ialah:

1) Abdullah bin Abu Bakar yang mewakili golongan pemuda berulang alik dari kota Mekah ke Gua Thur. Beliau mengintip jejak langkah kaum musyrikin Mekah dan membawa berita tersebut kepada Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Gua Thur.

2) Asma' binti Abu Bakar mewakili golongan pemudi, menyediakan makanan dan kenderaan untuk keperluan Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar As-Siddiq dalam penghijrahan tersebut. Usaha mereka yang bersungguh-sungguh ini membuahkan hasil yang cemerlang dalam Penghijrahan Nabi SAW.

Pendokong dakwah di zaman Nabi SAW adalah terdiri daripada golongan pemuda. Merekalah yang memperjuangkan dakwah Islam, membawa panji-panji Islam, mempertahankan Islam daripada serangan musuh, bahkan mereka inilah yang menjadi panglima-panglima perang, mengetuai tentera Islam menentang musuh-musuh Allah SWT.

Mereka secara keseluruhannya terdiri daripada golongan pemuda. Bahkan ada di antara mereka yang masih belum dewasa tetapi mempunyai semangat juang yang tinggi seperti para sahabat yang lain sebagai contoh, Usamah bin Zaid. Beliau merupakan panglima perang dalam meyerbu Wilayah Syam. Ketika itu beliau baru berusia 18 tahun. Antara contoh yang lain ialah Abdullah bin Umar yang mempunyai semangat juang yang tinggi sejak berusia 13 tahun lagi.

Anugerah Nabi Muhammad SAW kepada umat di akhir zaman merupakan suatu rahmat daripada Allah SWT kepada umat Islam dan kepada seluruh alam. Firman Allah SWT

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Maksudnya : Tidaklah Kami utuskan engkau wahai Nabi Muhammad melainkan sebagai rahmat untuk sekalian alam.
(Surah al-Anbiya': ayat 107)

Al-Imam Ibnu Kathir RH menyebutkan di dalam tafsirnya iaitu Tafsir al-Azim, Allah SWT memberitahu bahawa Nabi Muhammad SAW merupakan rahmat bagi sekalian alam. Barangsiapa yang menerima ajaran Nabi ini serta mensyukuri nikmat Allah SWT, maka dia akan memperoleh kebahagian di dunia dan akhirat. Tetapi barangsiapa yang tidak menerima ajaran Nabi ini serta mengkufuri nikmat, maka dia akan mendapat kerugian dan kerosakan di dunia dan akhirat kelak.

Oleh itu, marilah sama-sama kita menjadi BKAWM sebagai medan untuk memperjuangkan agama Islam, bersama- sama menegakkan Amar Makruf Nahi Mungkar. Wallahua'lam


Disediakan oleh:

LUQMAN HAKIM BIN HAJI KAMARUDDIN
Ketua Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan BKAWM sesi 2017/2018.


"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]