|  Pada tanggal  13 April 2010, telah bertukar tampuk kepimpinan Badan Pengurus (BP HEWI)  Persekutuan Melayu Republik Arab  Mesir 2010. PMRAM yang merupakan persatuan Mahasiswa induk yang  menaungi 12  Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan 8 Dewan Perwakilan  Mahasiswa/wi (DPM) menyaksikan kepada seluruh persatuan dalam dan luar  negara akan kewibawaan dan  keizzahannya yang menarik perhatian pelbagai pihak.
 Pelbagai agenda pembawakan  telah digariskan bersama oleh kepimpinan PMRAM 2010. Begitu juga dengan  Kepimpinan AJKT HEWI PMRAM dalam membawa agendanya kepada seluruh  mahasiswi di Perlembahan Nil ini. HEWI PMRAM pada pentadbirannya kali  ini telah memilih tema “Kesatuan Ukhuwwah Manifestasi Tarbiyah”.   Ini menunjukkan bahawa HEWI PMRAM mengambil berat terhadap kebajikan  mahasiswi dari sudut tarbiyah sama ada lahiriah dan rohaniah. Tarbiyah  merupakan elemen penting dalam membentuk jiwa-jiwa yang mengetahui  matlamat dan sebab kewujudannya sebagai penghuni dan khalifah di muka  bumi Allah SWT ini. Sirah baginda Rasulullah SAW cukup menjadi bukti  kepada kita akan kepentingan tarbiyah dalam pembentukan individu muslim  yang benar-benar bertaqwa.
 Kemunduran dan kealpaan dalam  konsep tarbiyah umat Islam pada hari ini adalah penyebab utama kepada  berlakunya pelbagai gejala tidak sihat yang menimpa individu muslim di  semua peringkat sama ada golongan muda atau lama. PMRAM telah mengambil  peranannya sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam menangani masalah  HISBAH di Bumi Mesir ini. PMRAM menggunakan konsep  “amar makruf nahi  mungkar” adalah tanggungjawab bersama. Biah solehah di peringkat PMRAM  Pusat dan Cawangan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk menghidupkan  dan meningkatkan keizzahan mahasiswa/wi di perlembahan Nil ini.
 Selain itu, AJKT HEWI PMRAM  turut menumpukan terhadap jalinan ukhuwwah dalam kalangan mahasiswi agar  diperkemas dan dimantapkan. Ukhuwwah yang baik akan memberikan impak  yang positif terhadap pembangunan sesebuah masyarakat. Ukhuwwah tidak  dapat dipisahkan dengan Islam. Lihat sahaja kepada kesan persaudaraan  antara kaum Aus dan Khazraj serta Muhajirin dan Ansor dalam menobatkan  perjuangan Islam. Ini membuktikan bahawa kesatuan ukhuwwah memberikan  kesan positif kepada pelaksanaan tarbiyah yang lebih berkesan.
 Ana selaku ketua bagi seluruh  Mahasiswi ahli PMRAM mengharapkan segala tarbiyah yang diberikan PMRAM  bukan hanya disemadikan dalam diri sahaja bahkan disebarkan kepada  manusia di sekelilingnya. Bukan mudah bergelar sebagai mahasiswa/wi  Mesir, perlu diingat bahawa mentaliti masyarakat kita di Malaysia kini  memandang serius terhadap penampilan dan ketinggian nilai ilmu yang ada  pada diri mahasiswa/wi.
 Di kesempatan ini, ana  mewakili barisan kepimpinan AJKT HEWI PMRAM 2010 mengucapkan selamat  berjaya dalam peperiksaan yang bakal berlangsung tidak lama sahaja lagi.  Panjatkan doa kepada Tuhan Semesta Alam. Jauhilah perkara-perkara yang  mungkar dan tegakkanlah perkara-perkara yang makruf.
 Sesungguhnya tugas ini tidak  terpundak kepada Lajnah dan Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM  Pusat dan PMRAM cawangan semata-mata, tetapi sedarlah ia merupakan  tanggungjawab bersama bagi  insan yang melafazkan  dua kalimah syahadah.  Setiap hembusan pernafasan, tutur bicara dan tingkah laku akan dihitung  oleh Pemilik  Sekalian Makhluk. Usaha, Doa dan Tawakkal.
 Salam imtihan,
 
 Norhafiza  Abdul Wahab,
 Timbalan Pengerusi HEWI
 Persekutuan Melayu Republik  Arab Mesir 2010
 | 
Comments
Post a Comment