MASA, SESUATU UNTUK 'DIINFAKKAN'
Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita masih lagi diberi nikmat iman dan Islam sehingga kini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW, kaum kerabatNya dan para pengikutnya sehingga hari akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-’Asr yang bermaksud: “Demi masa. Sungguh manusia di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.” Sesungguhnya Allah SWT telah memperingatkan kita akan kepentingan masa melalui kalam-Nya, iaitu al-Quran. Melalui ayat di atas, kita ketahui bahawa manusia itu akan sentiasa berada di dalam kerugian kecuali bagi mukmin yang sedar akan kepentingan masa lalu menggunakan masa tersebut untuk melakukan kebajikan dan kebaikan serta peringatan untuk manfaat diri sendiri dan masyarakat sekeliling secara umumnya.