Kalam Pimpinan: Persekitaran Kondusif Menjamin Kesihatan


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

          Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Bersyukur kita kepada Allah kerana dengan limpah kurnia dan inayah-NYA kita masih diberi nikmat yang paling besar iaitu nikmat kehidupan. Melalui nikmat kehidupan ini, kita dapat merasai nikmat iman dan islam. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, keluarga baginda, serta sahabat-sahabat baginda.

Firman Allah SWT, mafhumnya;

“…sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri. “ ( Surah Al-Baqarah, ayat 222.)

          Berdasarkan ayat Al-Quran di atas maka, jelaslah kepada kita bahawa kebersihan itu adalah suatu keperluan yang mesti diterapkan dalam diri seorang muslim yang berpegang teguh dengan syari’at Allah SWT. Dalam fatrah peperiksaan yang kian menjelang tiba ini, amatlah wajar bagi kita untuk menjaga kebersihan sama ada diri, pakaian, tempat tinggal, masjid serta alam sekitar. Hal ini supaya kesihatan kita terjaga dan terpelihara. Sesungguhnya kesihatan yang baik itu berpunca daripada persekitaran yang bersih dan kondusif. Sehubungan dengan itu, maka perlulah kita menjaga kebersihan sama ada dari sudut jasmani mahupun rohani.

          Seterusnya, kebersihan juga dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT seperti yang telah disebutkan dalam hadith Rasulullah SAW “Kebersihan itu separuh daripada keimanan”. Oleh hal yang demikian, tidak syak lagi dengan sekecil-kecil perkara seperti menjaga kebersihan dapat mendekatkan diri kita kepada Allah. Hal ini juga bertepatan dengan pendapat Imam Ghazali rahimahullah, ‘Kebersihan itu dapat menyingkirkan anggota badan dari perbuatan jahat dan dosa’.

          Dalam debaran bagi menghadapi fatrah peperiksaan, adalah diingatkan kepada semua ahli bahawa kebersihan diri dan tempat tinggal haruslah dijaga dengan rapi supaya kesihatan diri dapat terjamin serta dapat mewujudkan suasana belajar yang sempurna. Lantas, dapat memudahkan kita untuk beribadat kepada Allah SWT. Kerana apa? Kerana Allah itu cantik dan Allah suka kepada kecantikan.

          Akhir kalam, kebersihan itu amatlah penting di sisi Islam dan ianya bukan sekadar pada dialog sahaja, akan tetapi kebersihan itu perlulah dipraktikkan dalam setiap diri seseorang yang berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

Sekian.

"Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah"
"Satu Fikrah Satu Amal"

الفقير الى الله عز وجل فى العلم
Muhammad Hakimi Bin Rosli
Ketua Unit Perumahan dan Rehlah
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2013/2014

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]