MASA, SESUATU UNTUK 'DIINFAKKAN'

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita masih lagi diberi nikmat iman dan Islam sehingga kini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW, kaum kerabatNya dan para pengikutnya sehingga hari akhirat.
Firman Allah SWT dalam surah al-’Asr yang bermaksud:

“Demi masa. Sungguh manusia di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.”

Sesungguhnya Allah SWT telah memperingatkan kita akan kepentingan masa melalui kalam-Nya, iaitu al-Quran. Melalui ayat di atas, kita ketahui bahawa manusia itu akan sentiasa berada di dalam kerugian kecuali bagi mukmin yang sedar akan kepentingan masa lalu menggunakan masa tersebut untuk melakukan kebajikan dan kebaikan serta peringatan untuk manfaat diri sendiri dan masyarakat sekeliling secara umumnya.

Masa itu emas. Sungguh masa sangat berharga sehingga orang-orang terdahulu mengumpamakan masa dengan emas. Malah ada yang mengatakan bahawa masa lebih berharga daripada emas. Bayarlah emas seberapa banyak pun tetap tidak boleh mengembalikan sedetik masa yang telah berlalu.

Saya yakin dan percaya, kita semua sedar akan kepentingan masa. Namun, berapa ramaikah yang berjaya menyusun kehidupannya dengan baik tanpa ada pembaziran pada masanya. Rasulullah SAW pernah bersabda,

“Dua nikmat yang sering manusia tertipu, iaitu nikmat sihat dan masa lapang.” (Riwayat Bukhari)

Ada mahasiswa yang mampu menguruskan masa dengan baik sehinggakan setiap detik masa yang ada diinfakkan untuk melakukan kebaikan dan memperoleh redha daripada Allah SWT. Ada juga sebahagiannya yang tidak tahu menghargai masa dan selalu menghabiskan masa untuk perkara yang menggembirakan hati mereka semata-mata tanpa menghiraukan yang lain. Ada juga yang mampu menggunakan masa dengan baik pada mulanya. Tetapi, tidak kekal lama. Akhirnya kembali meneruskan tabiat yang lama.

Sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah SWT,

Secara puratanya, keberadaan kita di bumi Mesir ini hanyalah selama empat hingga enam tahun sahaja. Masa yang sangat singkat untuk kita garap segala mutiara ilmu yang terdapat di sini. Sekiranya sebahagian besar daripada masa kita dihabiskan untuk perkara yang tidak berfaedah, maka semakin berkuranglah masa yang kita ada untuk melangsaikan amanah kita di bumi kinanah ini. Sabda Rasulullah SAW,

“Sesungguhnya Allah SWT menyukai apabila seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.” (Riwayat Abu Daud) 

Nabi SAW menekankan supaya apabila kita ingin melakukan sesuatu, maka lakukanlah dengan bersungguh-sungguh. Dalam konteks penggunaan masa, kita hendaklah bersungguh-sungguh melakukan sesuatu pekerjaan agar masa yang digunakan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Justeru, saya menyeru kepada semua sahabat-sahabat agar kita saling memperingati antara satu sama lain untuk memanfaatkan masa yang terluang dengan sebaiknya. Janganlah disebabkan sikap kita yang sambil lewa pada hari ini akan menyebabkan kita menyesal di masa akan datang. Sungguh benda yang paling jauh adalah masa yang telah berlalu! 

Nabihah binti Ahmad Rosdi
Timbalan Setiausaha Agung II
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2014/2015












 "BKAWM Keluarga Kita"
"Pemantapan Fikrah Tunjang Kebersamaan"
Satu Fikrah Satu Amal

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]